Sabtu, 10 Disember 2016

Meraikan bonda berangkat menunaikan Umrah

Teks: Faridah Yusof

Pada tengahari Selasa yang lalu, kami adik beradik bersama pasangan dan anak-anak menemani emak di KLIA sebelum berangkat menunaikan ibadah Umrah di Mekah. Suasana di ruang daftar masuk KLIA agak sibuk pada waktu tersebut.

Ada banyak kumpulan rombongan jemaah yang bakal terbang umtuk menunaikan umrah. Dapat lihat banyak bagasi sedang diurus untuk daftar masuk. Ada bermacam-macam warna mengikut agen atau syarikat yang menguruskan para jemaah. Ada bagasi yang berwarna biru muda,  ada yang berwarna merah hitam, ada juga ungu dan ada yang hijau.

Turut memeriahkan suasana adalah ahli keluarga dari yang masih kecil hingga yang dewasa. Semua meraikan bakal jemaah umrah. Tenang dan penuh harapan wajah para bakal jemaah. Sejuk hati melihatnya.

Kapal terbang bonda kami dijadualkan berlepas ke Dubai pada jam 7.20 malam bersama penerbangan Emirates. Jam 6.30 petang, pihak agensi JAD Travel and Tours sudah memaklumkan supaya rombongan jemaah mesti sudah berkumpul untuk ke balai berlepas. Kami berpuas hati dan menyaksikan sendiri cara kerja pihak JAD Travels and Tours, teratur dan memuaskan.

Kami semua ambil peluang bersalaman dengan para jemaah berhampiran bonda. Bersalam dengan bonda dan mengucup pipi bonda. Ada rasa sebak dan air mata mula bergenang. Hanya doa dan penyerahan kepada yang Esa agar bonda kami sentiasa dalam jagaanNya. Semoga Allah berikan kesihatan, kesejahteraan dan kemudahan sepanjang berada di sana.

Apabila bayang bonda sudah tidak kelihatan, kami menuju pula ke Anjung Tinjau. Melihat deretan pesawat penerbangan yang bersusun di parkir masing-masing. Juga melihat keretapi yang membawa para penumpang pesawat ke balai berlepas. Anak-anak begitu seronok melihat ada kapal terbang yang mahu mendarat dan ada yang mahu berlepas. Pengalaman baru bagi anak ketiga dan keempat. Yang sulung dan kedua biasa menyaksikan suasana begitu semasa kami menetap di Kota Kinabalu, Sabah. Bila rindu mahu pulang ke kampung, aktivitinya melihat kapal terbang turun naik di Tanjung Aru.

Baru 30 minit bonda berlalu, kami semua sudah rindu. Hanya doa dan harapan agar bonda sejahtera selalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...