Isnin, 22 Disember 2014

Bermain layang-layang

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Anak-anak suka bermain layang-layang. Pada musim cuti sekolah kali ini, kami beri peluang mereka bermain layang-layang. Kami pun dapat bermain sekali.

Aktiviti bermain layang-layang sesuai dijalankan di kawasan yang lapang dan berangin seperti di padang, di tepi pantai dan  kawasan bendang.

Alhamdulillah, anak-anak seronok dapat melihat layang-layang terbang tinggi. Tambah seronok bila dapat bermain layang-layang di dua lokasi yang berbeza, di bendang dan di padang.


Bermain layang-layang di bendang

Suami dan bapa mertua bawa kami sekeluarga bermain layang-layang di kawasan bendang di kampung suami, Felcra Changkat Lada, Perak.

Anak-anak diberi peluang mencuba bermain layang-layang. Mereka belum pandai menaikkan layang-layang sendiri, juga belum dapat mengawal layang-layang.

Oleh kerana mereka tidak dapat mengawal layang-layang apabila ditiup angin yang kuat, mereka terlepas tali layang-layang. Layang-layang mereka terbang ke dalam bendang. Terpaksalah suami dan bapa mertua menyinsing seluar turun ke bendang untuk mengambil layang-layang mereka.

Selain dapat bermain layang-layang, dapat buat aktiviti luar, lihat keindahan alam dan makhluk ciptaan Allah yang ditemui di bendang/sawah padi. Mereka teruja melihat pokok padi, sawah bendang, tali air, burung-burung yang berterbangan, siput dan telur siput yang berwarna merah jambu.










Bermain layang-layang di padang

Bermain layang-layang di padang juga seronok. Anak-anak lebih bebas berlari. Cuma anak-anak masih belum pandai mengawal tali layang-layang apabila angin bertiup kuat atau pada masa tiada angin.

Mereka kelihatan kecewa apabila layang-layang tidak berjaya diterbangkan dan sangat gembira apabila layang-layang berjaya diterbangkan.


         


         


Tips Bermain layang-layang bersama anak 
#1 Pilih kawasan yang bersesuaian, berangin dan selamat seperti padang atau  tepi pantai.

#2 Elakkan kawasan yang berhampiran dengan tiang elektrik, tiang lampu, pokok, tebing bukit. tepi jalanraya

#3 Main layang-layang bersama anak. Libatkan anak seperti minta dia pegangkan badan layang-layang.

#4 Tunjukkan kepada anak cara bermain layang-layang ketika angin bertiup kuat dan ketika tiada angin.

#5 Beri peluang kepada anak untuk menaikkan layang-layang seperti ibu atau ayah pegangkan badan layang-layang dan minta anak berlari sedikit untuk terbangkan layang-layang.

#6 Beri kata galakan dan pujian di atas usaha mereka.


Ahad, 14 Disember 2014

Mama, nak pergi kedai nenek!

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah.

Anakanda saya yang sulung dan kedua, pagi-pagi sudah bangun. Kata mereka " Mama, nak pergi kedai nenek!"

Saya tahu mereka memang suka pergi kedai runcit emak saya. Mana tidaknya, macam-macam yang ada di kedai menarik perhatian mereka.

Bila pulang ke kampung sekali - sekala, mereka dilayan manja oleh adik - beradik saya yang lain. Diikatkan rambut, dipakaikan butang tudung yang comel, dapat aiskrim, belon dan macam-macam lagi.

Sebelum mereka ke kedai, saya sempat berpesan, tolong nenek jaga kedai, tolong sapu sampah dan lain-lain.

Di sebelah kedai runcit emak, ada padang bola. Cucu-cucu emak yang lelaki memang suka bermain di padang. Mereka bebas berlari di situ. Puas hati dapat berlari di kawasan lapang tanpa sebarang halangan. Puteri dan putera saya juga tidak ketinggalan.  Mereka juga seronok berlari-lari di padang.

Berlari keliling padang dapat mengeluarkan peluh, badan jadi sihat dan cergas. Selain itu, ia juga membantu perkembangan emosi anak-anak. Anak-anak rasa gembira dan ceria bila dapat berlari bebas dan berkejar-kejaran sesama mereka.





Alhamdulillah, saya pula dapat belajar dengan adik cara-cara untuk membuat puding. Belajar cara asasnya, kemudian boleh dipelbagaikan rasa dan dekorasinya.

Sabtu, 13 Disember 2014

Mahu Balik Kampung

Teks dan foto : Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak sungguh gembira bila diberitahu kami sekeluarga akan pulang ke kampung nenek di Melaka. Berulang kali mereka bertanya bila nak balik kampung. Selalu hujung minggu balik ke rumah opah di Perak. Alhamdulillah, waktu cuti sekolah yang panjang ini, boleh ambil peluang untuk pulang ke Melaka.

Dek kerana mereka sedang teruja dan gembira mahu balik kampung, saya minta mereka pilih baju dan barang-barang yang mereka mahu bawa.

Saya pula mahu sediakan roti sarang lebah dan mini pizza permintaan suami dan anak-anak. Selalunya bila berjalan jauh dari Perak ke Melaka, kami berhenti sebentar di masjid atau kawasan R&R untuk solat, rehat dan makan.

Alhamdulillah,  salah satu tempat yang kami selalu singgah ialah Masjid Simpang Lima, Sungai Besar Selangor. Berlatarbelakang kawasan sawah padi, sungguh damai dan tenang dapat berehat sebentar.




Rabu, 10 Disember 2014

Anak dan Roti

Teks dan foto :Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar semua? Semoga semua sentiasa tenang dan positif menjalani kehidupan.

Apa makanan kegemaran anak anda?

Anak-anak saya sangat menggemari roti. Kalau dengar saya atau suami mahu ke kedai beli barang, mereka pasti memesan untuk dibelikan roti. Jika beli roti sandwich, kami panggil roti potong, yang pek panjang, satu hari sahaja boleh habis dimakan.

Akhirnya, suami beri cadangan buat roti sendiri di rumah. Kebetulan juga sedang musim cuti sekolah. Jadi, boleh beri peluang anak-anak bermain dengan doh untuk mengasah kemahiran motor halus mereka. Alhamdulillah, dapatkan bahan-bahan untuk buat roti seperti tepung berprotein tinggi, telor, yis dan marjerin, terus menguli.

Satu keluarga teruja mahu buat roti. Si manja Darwisy juga mahu turut serta.




Saya guna resepi doh asas roti manis, selepas itu boleh buat macam-macam bentuk roti.

Resepi doh asas roti manis:

1. 5 gm garam
2. 500gm tepung roti (high protein flour)
3. 100 gm gula
4. 20gm susu tepung
5. 6gm bread improver * saya tidak gunakan
6. 50gm marjerin
7.10gm yis kering
8. 2 biji telor
9. 250gm air sejuk + ais
10. 6gm bread softener * saya tidak gunakan

Cara:

Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk adunan mengikut turutan nombor dari 1-10.
Uli sehingga doh elastik dan berkilat.
Uji dengan basahkan jari dengan minyak, ambil sedikit adunan, tarik nipis, doh tidak koyak.
Anggaran masa 20-25 minit mengikut kelajuan mesin pengadun masing-masing.
Sementara itu, minyakkan loyang. Bulatkan doh mengikut citarasa seperti bun, roti pizza,roti bun sarang lebah dan sebagainya. Tunggu doh naik sekali ganda baru taburkan bijan atau bahan-bahan lain.
Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 150 atau 170 darjah celcius selama 20 minit atau sehingga roti masak.





Anak-anak semua mahu membulatkan doh yang sudah siap.

"Nak buat roti, nak buat roti". Masing-masing merengek nak buat roti sendiri.


Saya berikan mereka seorang sedikit doh dan loyang pelapik. Bukan main seronok. Syaratnya dah bakar nanti mesti makan.

Aktiviti ini sesuai untuk tajamkan kemahiran motor halus anak-anak berumur 5-7 tahun. Ia membantu koordinasi tangan/jari dan mata.

Anak-anak dapat bermain dengan doh. Mereka boleh uli, tekan, gelek, picit, golek doh.
Buat bentuk yang digemari. Macam-macam bentuk mereka buat. Siap buat mata, mulut dan hidung roti.



Alhamdulillah, memang mereka seronok dapat bermain doh dan buat roti bun mereka sendiri. Makan pula bersama air teh panas.

Ibu pula perlu senyum dan positif untuk mengendalikan lantai dan baju anak-anak yang dipenuhi cebisan-cebisan doh.




Selasa, 9 Disember 2014

Membaca Bahasa Inggeris Lebih Mudah Dengan Fonik

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi nikmat kepada seluruh alam ciptaanNya. Selawat dan salam buat Nabi Muhamad SAW.

Alhamdulillah, Najihah, puteri sulung sudah habis membaca buku 8, Readeasy. Laju sahaja dia membaca ayat pendek, berima dan berulang di dalam set buku Readeasy tersebut.

Sesekali tersilap membunyikan perkataan, dia ulang semula untuk membetulkan bunyinya.

Mengajar membaca Bahasa Inggeris menggunakan kaedah fonik Readeasy lebih mudah dan cepat setelah dia mengenali bunyi-bunyi huruf melalui kaedah fonik Bacalah Anakku. Sudah boleh mula ajar anak membaca Readeasy semasa anak membaca Buku 7 Bacalah Anakku.

Dari Buku 1 ke Buku 8, Najihah mengambil masa beberapa hari sahaja. Saya dapati dia juga lebih yakin menyebut perkataan Bahasa Inggeris yang baru pertama kali dibaca. Ini kerana anak hanya perlu menggabungkan bunyi yang telah dipelajari. Lagipun, perkataan dalam Bahasa Inggeris tidak perlu dieja mengikut suku kata. Hanya gabungkan bunyi huruf. Namun ada huruf yang berbeza bunyinya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti bunyi huruf A, C, O, U dan sebagainya.

Selain itu, anak suka saya rakam bacaannya dan perdengarkan kembali. Dari situ, dia dapat mendengar sendiri bacaannya. Mungkin itu yang buat dia bersemangat untuk membaca.

Jadi, langkah seterusnya saya perlu beri peluang dan galakan kepada anak membaca lebih banyak buku Bahasa Inggeris untuk menambahkan perbendaharaan kata. Boleh pinjam buku Bahasa Inggeris di perpustakaan nanti.

Selalu rakam suara sahaja, kali ini rakam video bacaannya dari Buku 8 Readeasy.




,

Ahad, 7 Disember 2014

Tips Urus Stress dari Ustazah Norhafizah Musa

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pagi ini, sambil memasak saya mendengar siaran ulangan di radio IKIM.fm.

Sambil memasak saya berkesempatan mendengar perkongsian dari Ustazah Norhafizah Musa dalam slot Usrati. Topik yang dibincangkan berkaitan mengurus stress.

Antara isi perbincangan yang saya masih ingat:

1. Kita perlu sedikit tekanan dan ketahui bagaimana untuk urus stress dan tekanan.

2. Senyum banyak-banyak dengan senyuman ikhlas dari hati,  boleh kurangkan tekanan dan darah tinggi.

3. Ketika stress atau sangat tertekan, menangislah dan luahkan supaya dapat mengurangkan tekanan dan terbaik mengadu dan menangis kepada Allah di atas tikar sejadah.

4. Perbanyakkan selawat. Jika kita lihat orang lain terutama ahli keluarga atau sahabat yang bersedih atau tertekan, ucapkanlah 'Sollu'ala Nabi' iaitu kita galakkan mereka berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

5. Perbanyakkan membaca Al Quran, baca banyak-banyak dengan hati yang khusyuk bukan dengan hati yang masih lalai. Al Quran boleh merawat atau menjadi syifa' kepada pelbagai masalah dan penyakit.

50 Idea Aktiviti Bersama Anak-anak Pada Musim Cuti Sekolah

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Apa khabar semua? Didoakan semuanya sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Yang Maha Esa.

Saya pasti ada ibu yang sibuk dengan anak-anak di rumahkan? Saya juga. Anak-anak pula cepat lapar selepas bermain, melompat, berguling dan macam-macam lagi. Riuh rendah rumah, sekejap dengar sedang bermain-main, sekejap dengar bunyi bergaduh dan menangis, selepas itu dengar gelak ketawa pula.

Pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat boleh dibuat bersama anak-anak pada musim cuti persekolahan. Sebelum cuti bermula, saya ada menyenaraikan idea aktiviti untuk anak-anak di rumah, namun tidak berkesempatan untuk dikongsikan di blog ini.

Berikut adalah 50 aktiviti untuk anak-anak.  Mungkin ada yang sesuai atau kurang sesuai untuk anak  anda. Boleh pilih, ubahsuai dan laksanakan bersama anak-anak anda.

1. Bermain layang-layang di padang, tepi pantai atau di bendang.
2. Origami
3. Permainan bahasa
4. Pergi ke perpustakaan
5. Menziarahi keluarga/sanak saudara
6. Menghadiri jemputan kenduri
7. Pergi ke zoo
8. Melukis
9. Mewarna
10. Pemeriksaan gigi di klinik gigi
11. Gotong-royong mengemas rumah
12. Menghafalkan surah-surah Al Quran dan hadith
13. Membaca buku cerita
14. Membuat buku skrap tentang diri atau keluarga, hobi dan sebagainya
15. Ujikaji sains yang mudah
16. Menziarahi kubur keluarga, bersihkan, hadiahkan alfatihah
17. Kem solat mini
18. Hias donat/kek cawan/biskut
19. Bermain permainan traditional
20. Menyanyi lagu/nasyid kanak-kanak
21. Aktiviti anak bercerita
22. Berkelah di tepi pantai
23. Chef cilik: uli-uli doh, sandwich telor, cookies
24. Kolaj
25. Kebun mini
26. Bermain plastisin
27. English hour
28. Menonton video / kartun
29. Pergi ke taman permainan
30. Jemput saudara atau kawan sekolah minum petang di rumah
31. Main kira-kira
32. Susun 'puzzle'
33. Main teka-teki
34. Aktiviti sukan/riadah
35. Ke rumah anak yatim atau orang tua
36. Menziarah rumah saudara atau keluarga yang sakit
37. Aktiviti asas keusahawanan, car boot sale
38. Berlakon
39. Beli barang keperluan sekolah bersama-sama
40. Ulangkaji pelajaran lalu
41. Belajar menggunakan komputer seperti menaip
42. Aktiviti menggalakkan untuk berfikir secara kreatif, seperti lukis bentuk bulat dan apa yang boleh dilukis dengan bentuk bulat itu.
43. Perpustakaan mini di rumah
44. Aktiviti senamrobik/menari di rumah
45. Ke masjid-masjid, membiasakan anak-anak dengan masjid
46. Kebersihan diri seperti penjagaan rambut, kuku
47. Aktiviti memerhati alam sekitar seperti corak pada daun yang berbeza
48. Membacakan anak buku cerita
49. Aktiviti kitar semula seperti kumpul botol plastik, tin minuman dan sebagainya
50. Bermain dam

Sebenarnya ada banyak lagi aktiviti yang boleh dijalankan bersama anak-anak semasa cuti sekolah mereka.

Bagi yang telah merancang awal, mungkin ada yang boleh merancang kewangan untuk menghantar anak ke kelas-kelas kemahiran yang berbayar seperti kelas berenang, berkuda,memanah, seminar motivasi dan sebagainya.

Namun apa jua pilihan kita, saya doakan anak-anak kita sema dapat menikmati cuti sekolah dengan gembira dan mendapat manfaat dari aktiviti yang dijalankan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...