Sabtu, 4 April 2015

Anak Tumpahkan Air Minum

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah, hari ini dapat bersarapan bersama suami dan anak-anak.

Anak-anak selalunya suka minum susu, manakala saya dan suami suka minum kopi O halia.

Sedang menikmati sarapan, anak yang sulung mengusik si adik dengan kata-kata sehingga si adik marah dan tertolak cawan minumannya. Lalu tumpahlah air susunya tadi. Bertambah riuhlah dengan tangisan si adik pula.

Sebagai ibu, saya memang pada awalnya seperti mahu terkeluar respon secara spontan marah kepada anak yang sulung kerana menjadi punca insiden tadi.

Cepat-cepat istighfar. Mulut tutup rapat-rapat. Diam seketika, tarik nafas dan bertenang.

Saya minta si kakak ke dapur, ambil kain lap dan lap minuman yang tumpah. Saya gantikan minuman si adik. Saya juga alihkan tumpuan dengan bercerita tentang aktiviti selepas bbersarap

Saya fokuskan kepada solusi iaitu keringkan air yang tumpah dan lupakan kesilapan anak.

Alhamdulillah, situasi panas dan tegang tidak berlarutan.

Rabu, 1 April 2015

1 April 2015

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah, diberi peluang lagi oleh Allah untuk mencari bekal ke negeri abadi.

Hari ini genap sudah empat tahun saya meninggalkan kerjaya sebagai cikgu sekolah. Alhamdulillah, empat tahun penuh kesyukuran dan keinsafan. Adakah saya rasa bosan atau menyesal? Tidak sama sekali. Bahkan kesibukan setiap hari membuatkan saya tidak sempat untuk melihat belakang.

Hari ini juga, genap tujuh tahun ayahanda kami pulang kepadaNya. Doa kami agar ayahanda dapat berehat dari kesibukan dunia sementara menanti kami pulang dan tibanya Hari Kiamat.

Hari ini juga, perlaksanaan GST berkuatkuasa. Pelbagai respon di segenap lapisan masyarakat.

Sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah (WAHM), saya juga tidak terkecuali dari GST. Sebagai contoh, awal pagi tadi, saya membeli tambahnilai prabayar telefon secara 'online'. Sebelum ini, saya hanya perlu membayar RM 10, namun pagi ini perlu membayar RM 10.60. Untuk tambahnilai RM 50 pula kini menjadi RM 53. Itu baru satu perbelanjaan.

Ya, ramai yang mengeluh. Namun, dengan mengeluh, tiada yang dapat diubah.

Jadi, apa yang boleh kita ubah?
Ubah apa yang ada pada diri kita.

Ubah cara kita melihat setiap yang berlaku. Lihat bahagian positifnya, lihat kepada manfaatnya.

Kita akan jadi orang yang lebih berusaha, pengguna yang bijak dan lebih berhikmah dalam berbelanja.

Bersyukur dan berusahalah. Dialah Yang Memberi Rezeki, Maha Kaya dan Maha Pemurah.

Dia juga Maha Mendengar doa orang yang dizalimi.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...