Isnin, 17 September 2018

Isteri Yang Diuji

Teks: Faridah Yusof

Hati isteri mana yang tidak kecewa apabila suami masih tidak berubah perangai. Masih tidak mengurus kewangan dengan baik. Hutang buat tidak tahu. Walau sudah mengambil kaunseling di pejabat agama. Bahkan menyusahkan isteri dan anak dengan sikapnya yang sambil lewa, asyik makan dan tidur sahaja pada hari cuti. Sehingga gas di rumah dah habis pun, boleh pula nak pinjam duit isteri.

Geram pula saya bila mendengar cerita ini. Saya sendiri tidak dapat membantu untuk bagi pendapat. Hanya mampu membiarkan si isteri meluahkan rasa hatinya. Semoga lega sedikit tekanan perasaan yang ditanggungnya. Syukur, dia seorang yang positif. Bila dirudung ujian, hanya doa, Al-Quran dan zikir jadi peneman. Cuma dia berfikir, apa lagi yang perlu dia buat. Tidak mahu hanya duduk dan sabar sahaja. Apa yang boleh dia usahakan?

Saya bertanya pendapat seorang sahabat yang saya percayai. Apa yang patut wanita yang diuji ini dibantu.

Alhamdulillah, sahabat saya yang doktor ini sungguh bijak dan berpengalaman.

Mudah sahaja sahabat saya meneka situasi si isteri ini walau saya belum bercerita sepenuhnya perihal masalah suami dan isteri ini.

Dari hasil perbincangan, wanita kebanyakan dari awal mula berkahwin selalu memanjakan suami. Semua kerja di rumah dibuatnya seorang diri. Belum ada anak tidak apa, bila anak sudah ramai, diri sendiri yang terasa penat. Bila suami tidak ambil peduli hal rumah atau tentang pendidikan anak-anak, itu lebih menyakitkan hati.

Begitu juga bila suami tidak cukup duit, cepat sahaja menghulur duit. Membantu tidak salah, malah sangat bagus. Tetapi jangan dibiasakan. Sampai suatu peringkat suami tidak kuat berusaha, dia tahu isteri pasti membantu menghulur duit atau barang kemas untuk dirahnukan.

Jadi, solusi yang dicadangkan ialah isteri jangan berleter atau membebel lagi. Diam dan buat seperti biasa. Memang sakit di dalam hati. Teruslah berdoa, berzikir dan bermunajat memohon bantuan dan kemudahan dari Allah. Yang isteri perlu lakukan, bila sudah sejuk keadaan, tanyakan masalah dan ambil berat tentang suami. Dengarkan masalahnya. Memang suami ada egonya. Tetapi isteri jangan mencari salah, menyalahkan atau menambah masalah si suami. Dengar sahaja. Menjadi isteri yang diuji begini memang perlu extra sabar. InsyaAllah, Allah bersama-sama orang yang bersabar.

Sesekali, luahkan rasa kebimbangan dan biar suami pula yang berfikir mencari jalan. Kata doktor sahabat saya ini, suami si isteri ini pasti ada banyak lagi sudut baik, sebab jarang suami mahu mendapatkan kaunseling di pejabat agama. Carilah titik-titik kebaikan si suami. Bantu suami dengan terus berdoa memohon petunjuk dan hidayah dari Allah.

Sahabat saya ini turut berkongsi ada rakannya yang lebih teruk di uji. Si suami berzina berulang kali. Berzina, bertaubat. Berzina lagi. Allahuakbar. Si isteri masih mampu bersabar dan bertahan. Katanya, mungkin ujian ini untuk dia lebih dekat dengan Allah.

MasyaAllah, saya pula dapat pengajaran dari masalah orang lain. Turut belajar dan mengambil iktibar.

Untuk semua suri dan isteri di luar. Yakinlah Allah sentiasa melihat, mendengar. Yakinlah.

Ahad, 16 September 2018

Tiga Suri ber'Me Time'

Teks: Faridah Yusof

Hari ini cuti bersempena Hari Malaysia. Teringat saya kepada 'me time' bersama dua lagi suri pada malam Sambutan Kemerdekaan Malaysia baru-baru ini.

Pagi 30 hb Ogos, sahabat suri menghubungi melalui Whatsapp. Bertanya khabar dan bertanya samada malam nanti saya free atau tidak. Saya seperti biasa memang ada kelas membaca sebelah malam. Selepas kelas baru free.

Rupanya, sahabat ini merancang mahu belanja saya dan seorang lagi suri makan di luar. Kami sudah lama tidak berjumpa. Mahu 'me time' katanya.

Alhamdulillah. Selepas selesai semua urusan di rumah, para suami semua beri keizinan, kami pun jumpa di sebuah tempat makan berdekatan. Saya sampai agak lewat sedikit kerana ada ibu mahu berjumpa selepas kelas.

Alhamdulillah, kami berbual panjang, berkongsi rasa, suka duka, mengambil ibrah dari kisah dan pengalaman suri lain. MasyaAllah, kesimpulannya syurga itu mahal. Hanya dengan ihsan dan kasih sayang Allah, kita layak untuk ke syurga. Bergetar rasa di hati. Ya Allah, masih jauh untuk melayakkan diri ke sana.

Juga kami menyimpulkan dari pertemuan itu, hati kena selalu dididik untuk bersangka baik dengan semua orang. Usah lihat luaran, pakaian dan aksesori. Usah menilai orang itu baik, orang itu jahat. Nilai dan muhasabah diri itu lebih utama. Wallahu'alam.

Syukur pada Allah dan terima kasih tidak terhingga pada para suami yang beri masa untuk ber' me time'. Barulah bersemangat.

Sabtu, 15 September 2018

Doa Untuk Ibu dan Ayah

Teks: Faridah Yusof

Semasa belajar di sekolah dahulu, usatz dan ustazah memang biasa menyuruh dan mengingatkan supaya selalu mendoakan ibu dan ayah.

Sewaktu itu, sekadar mengikut arahan dan patuh kepada saranan para asatizah.

Namun, semakin meningkat usia, setelah berumah tangga, mempunyai anak dan lebih terasa selepas abah meninggal dunia, doa buat ibu bapa itu sangat memberi kesan dalam sanubari.

Dulu, doa itu sekadar lafaz di mulut dan sedikit di hati.

Sekarang, menyebut doa yang pendek itu, boleh menyebabkan air mata mengalir laju.

Benar-benar mahu Allah makbulkan doa buat emak dan abah.

Merasa segala cabaran berumahtangga, membesarkan anak-anak, mengingatkan diri begitulah agaknya mak dan abah berkorban segalanya untuk membesarkan kami lapan beradik.

Tiada yang layak sebagai balasan melainkan syurga buat keduanya.

Bila abah meninggal dunia pada tahun 2008. Saya masih lagi mengajar di Sabah. Memang tidak dapat menatap muka abah untuk kali terakhir. InsyaAllah, saya redha.

Hanya kiriman doa yang baik-baik untuk abah di sana. Mengharapkan kasih sayang Allah buat abah kerana abah telah mendidik dan berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk semua anaknya. Smoga Allah mengurniakan tempat rehat abah seperti taman-taman syurga sementara menanti hari perhitungan nanti.

Abah, kami semua bakal menyusul.

Jumaat, 14 September 2018

Mengidam Petai

Teks: Faridah Yusof

Semasa masak sambal udang untuk makan tengahari, dalam hati berbisik, sedap ni kalau ada petai.

Hanya membayang dan terbayang-bayang ada petai sambil tangan membalik-balikkan udang di dalam kuali.

Tidak lama lepas itu, suami pun sampai untuk makan tengahari. Waktu rehat tengahari, suami memang balik untuk makan. Jadi memang akan sediakan makan tengahari. Jika terlalu sibuk, terlalu  penat  atau  anak meragam dek kerana sakit, memang  tidak sempat masak lauk.

Suami buka tudung saji,  lalu  nampak  lauk  sambal udang  dan sayur kangkung goreng belacan. Saya pun mengusik,  "sedap ni  kalau ada  petai  kan? buat selera  makan".  Dia hanya  mengangguk-angguk  sahaja. Alahai,  tiada  sokongan.  Hehehe.  Tak mengapalah.

Makanlah  apa  yang  ada.  Syukur kepada-Nya  atas  nikmat makanan  dan masih boleh menikmati  makanan.  Alhamdulillah.

Maha Baik Allah. Dengan  tidak disangka-sangka, lewat  petang  jiran berikan beberapa papan  petai. Ya  Allah, rasa  seperti  mahu melompat. Katanya, menantu  bawa  balik dari Pahang.  Dapat  lagi  buah-buahan. Ada rambutan, manggis dan langsat.

Syukur  tak  terhingga. Terima kasih, ya  Allah.

Malam  itu,  sambal  udang digandingkan dengan  petai dengan jayanya. MasyaAllah. Nikmat
tak terkata. Rasa nak menagis pun ada. Sungguh tidak sangka.

Itu baru nikmat yang kecil di dunia. Bagaimana agaknya nikmat di dalam syurga?

Khamis, 13 September 2018

Duhai Suri, Berbahagialah

Teks: Faridah Yusof

Apa khabar sahabat maya hari ini? Apa khabar para ibu yang baik dan penuh kasih sayang.

Ibu, sesungguhnya makhluk yang Allah ciptakan penuh cinta dan kasih sayang pada anaknya. Marahnya juga kerana sayang. Mahu lihat anak itu menjadi yang baik-baik sahaja.

Ibu, ada masanya mengorbankan diri. Korban masa, tenaga, jiwa dan raga khusus untuk anak dan keluarga.

Namun, ibu juga manusia. Ibu juga perlu rasa disayangi, perlu sihat, perlu bersemangat, perlu masa untuk dirinya sendiri.

Beruntung para ibu di mana, suaminya selalu menyokong, memahami, memberi kecukupan material dan emosinya. Ibu boleh mengurus rumah dengan lebih efektif dan penuh bersemangat.

Realitinya di zaman akhir ini, ramai ibu yang berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran kehidupan. Ada ayah yang tidak ambil peduli dan kurang bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak. Ibu sendirian mengurus anak dan rumahtangga. Ibu tidak diberikan perhatian, tidak difahami kehendak dan keinginannya oleh pasangan hidupnya. Tiada komunikasi yang berkesan di antara suami dan isteri.

Ada ibu yang menanggung derita akibat dari pengurusan kewangan suaminya yang lemah. Si ibu terpaksa berjimat cermat dan menahan rasa mahu makan makanan yang berkhasiat. Ada masanya pula menanggung malu dengan jiran serta sanak saudara kerana tidak dapat menyumbang duit dalam acara keluarga. Jiran pula nampak bil merah di pagar, tanda bil bertunggak atau ada masanya bekalan air/elektrik terpaksa dipotong atau dihalau dari rumah sewa. Juga ada ibu yang terpaksa membiarkan barang emasnya tergadai tanpa dapat ditebus kerana tiada lagi duit di dalam simpanan. Ada juga yang terpaksa menjual aset yang ada seperti kereta atau rumah bagi meringankan bebanan kewangan yang mendesak.

Ibu mahu bekerja, mahu menyumbang kepada keluarga, malah ada yang perlu membayar balik hutang pelajaran seperti PTPTN. Namun, bila sudah mempunyai anak, ibu perlu menjaga anaknya sendiri. Ibu mahu mendidik anak sendiri pada usia emas anak. Apatah lagi bila ada anak yang diuji kesihatannya.

Maka pilihan yang mungkin ada, ibu bekerja dari rumah. Ibu bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama menjaga dan mendidik anak. Mencabar bukan? Sedangkan tugas di rumah sahaja banyak dan tidak habis-habis, ditambah pula tugas menjana pendapatan.

Di sinilah banyak cabaran yang menambah tekanan dan menganggu emosi ibu.

Ibu, yakinlah, sepanjang hidupmu itulah pelajaran dan pembelajaran yang akan mematangkan. Memohon dan bergantung harap hanya kepada Dia. Pasti kau lebih mudah menghadapi ujian dan cabaran yang mendatang. InsyaAllah tugas mendidik anak tidaklah menjadi bebanan dan tekanan buatmu kerana kau yakin Allah sentiasa ada mendengar rintihan dan rayuan serta doamu.

Salam kebahagian buat semua isteri dan ibu.

Rabu, 12 September 2018

Minyak But-But HPA

Teks:  Faridah  Yusof

Semasa kami berkelah di Teluk Batik hari tu, ada banyak tebuan. Ada yang menghurung sisa makanan di tepi pantai. Ada yang terbang dekat-dekat dengan tempat kami berkelah.
Mak mertua kibas-kibas dengan tuala kecil supaya tebuan tidak hinggap pada anak cucunya. Anak-anak yang kecil bukan tahu takut, mereka relax je tengok tebuan. Mak-mak yang risau. Berdoalah banyak-banyak dalam hati minta dijauhkan dari sengatan sang tebuan.
Sedang kami sedap mengunyah dan menikmati kesedapan ayam bakar, datang seorang pakcik dengan muka yang agak cemas.
'Dik, maaf tanya, ada bawa minyak sapu tak? Cucu saya kena gigit tebuan.'
'Ada pakcik. Sekejap ya.'
Dalam beg baju anak memang saya masukkan sebotol Minyak But-But. Sepantas kilat saya ambil dari beg dan hulurkan botol minyak kepada pakcik.
Tidak lama kemudian pakcik tadi datang semula. Dia pulangkan botol minyak But-but dan bersungguh-sungguh ucap terima kasih.
Kami nampak anak kecil yang disengat tebuan tu, belum berhenti esakannya sambil dibawa oleh salah seorang ahli keluarga ke arah tandas dan bilik air. Kata pakcik lagi, bengkak tempat kena sengat tebuan. Aduhai, kasihan si anak kecil.
Kali ini, saya pula jadi pemerhati anak-anak. Risau juga jika masih ada tebuan yang terbang dekat dengan anak-anak yang kecil. Mereka bukan tahu sengatan tebuan itu menyakitkan dan boleh jadi bahaya.
Hari sudah menjelang petang. Kami berkemas untuk balik. Ada pengunjung yang juga sedang berkemas mahu pulang. Tidak kurang juga ada lagi pengunjung yang baru sampai. Meriah sungguh suasana Teluk Batik bila ada cuti panjang seperti minggu ini.
Sebelum pakcik tadi balik, dia singgah sekali lagi di tempat kami berkelah. Mahu balik ke Selama katanya. Kali ini wajahnya nampak ceria. Dia ucap terima kasih kerana menolong. Katanya lagi bengkak di tangan sudah surut. Alhamdulillah. Syukur dan gembira mendengarnya. Didoakan anak kecil tadi sihat dan sejahtera hendak-Nya. Aamiin.

Selasa, 11 September 2018

20 Idea 'Me Time' Bajet Untuk Suri

Teks: Faridah Yusof

Bagi suri yang tiada masalah kewangan di dalam keluarga, mencari idea untuk 'me time' bukanlah suatu yang sukar. Boleh sahaja ke restoran kegemaran, pergi ke spa, ke kelas renang, berkuda atau memanah, pergi shopping dan sebagainya.

Namun bagi suri yang mempunyai bajet yang terhad, saya ada 20 idea yang mungkin sesuai untuk kalian.

1. Membaca, tadabbur Al-Quran & Hadith dan berzikir
2. Jogging, bersenam atau berjalan kaki di sekitar kawasan rumah
3. Membaca buku atau novel
4. Menulis atau membuat catatan di buku, jurnal atau blog
5. Berhubung dengan surirumah lain secara 'online' atau 'offline'
6. Berkebun secara kecil-kecilan di dalam pasu
7. Memasak menu kegemaran
8. Menjahit atau menghasilkan kraf
9. Melukis 
10. Mengambil foto :anak-anak, pemandangan, tumbuh-tumbuhan
11. Ke perpustakaan
12. Hadir ke kelas-kelas percuma di kawasan perumahan/komuniti setempat
13. Menyertai free market/garage sale/kumpulan kebajikan
14. Menyertai kumpulan facebook atau Telegram untuk kaum ibu
15. Mendengar audio/lagu kegemaran/siaran radio kegemaran
16. Rehat tanpa perlu buat apa-apa, mandi dan membersihkan diri dengan lemon/limau purut/mandian kegemaran
17. Bancuh minuman kegemaran dan nikmatinya 
18. Mencuba resepi baru
19. Mewarna 
20. Membuat refleksi diri, lihat kembali vision board, buku matlamat atau catatan peribadi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...