Rabu, 17 Julai 2013

Pupuk Minat Membaca di Kalangan Kanak-kanak


Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Pertama kali bawa anak-anak  ke perpustakaan

Setiap kali saya ke Klinik Ibu dan Anak untuk temujanji bulanan, saya pasti akan terpandang tanda arah ke Perpustakaan Desa yang terletak berhampiran dengan klinik tersebut. Sudah beberapa kali saya merancang ke sana. Namun, atas kekangan masa, saya belum berkesempatan berkunjung ke perpustakaan itu.

Baru-baru ini, secara kebetulan suami ada tugas dan tidak dapat menjemput saya dari klinik. Maka dengan pantas, saya teringat untuk ke perpustakaan desa sementara menunggu suami. Bersama dua orang anak kecil saya, kami melangkah masuk ke perpustakaan tersebut. Inilah pertama kali saya membawa mereka ke perpustakaan. Mereka sungguh gembira , jika boleh diukur tahap kegembiraan mereka itu, saya simpulkan mereka gembira seperti berada di taman permainan. Anak-anak saya bergerak dari satu ke satu rak mencari buku. Saya memerhatikan sahaja gelagat mereka. Akhirnya mereka berjaya memilih sendiri buku untuk mereka 'baca' (mereka belum pandai membaca).

Anak-anak gembira ke perpustakaan
Bermula dari hari itu, jika saya ke klinik, anak pasti mengajak saya ke perpustakaan desa tersebut. Akhirnya kami mendaftar untuk menjadi ahli agar boleh meminjam buku dan boleh dibaca di rumah.

Perlu pupuk minat membaca dari kecil

Penulis Buku ' Ajar Anak Kecil Membaca Awal' ,Puan Nik Eliani Nik Nawi di dalam bukunya berkongsi pengalaman beliau ketika mengandung anak pertama mereka di luar negara.

" Saya ingin berkongsi pengalaman yang menjadi titik tolak kepada semangat saya mengajar anak membaca awal.

   Pada suatu hari ketika mengandung anak pertama, saya menaiki bas ke pusat membeli-belah. Di dalam perjalanan, bas itu berhenti untuk mengambil seorang nenek dan cucunya yang berumur lebih kurang 3 tahun. Mereka baru kembali dari perpustakaan. Anak kecil itu membawa dua tiga buah buku di tangannya dan asyik berbual dengan neneknya mengenai lawatan mereka ke perpustakaan. Saya berfikir, jarang sekali saya melihat seorang nenek membawa cucu ke perpustakaan sepanjang saya membesar di Malaysia. Malah saya berani menyatakan saya tidak pernah melihat seorang nenekmembawa cucu ke perpustakaan daripada tahun 1963 hingga 1981...........Tetapi di negara -negara maju, kita akan dapat melihat budaya membaca di merata tempat, di perhentian tren dan bas, di dalam tren dan bas, tua dan muda asyik membaca sambil menunggu
"


Saya begitu terkesan dengan perkongsian penulis di dalam bukunya. Sememangnya minat membaca perlu dipupuk ketika anak masih kecil dan seawal mungkin, seawal anak dalam kandungan.

Aktiviti membawa anak ke perpustakaan sememangnya sangat digalakkan dan ia salah satu cara untuk memupuk dan menanam minat membaca. Selain dari itu, mewujudkan perpustakaan mini di rumah juga sangat bermanfaat.

Harapan saya, agar lebih ramai ibu bapa membawa anak mereka ke perpustakaan dan mendedahkan mereka kepada pelbagai bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan. Sama-sama kita membudayakan amalan membaca di dalam keluarga. Semoga pada suatu hari nanti rakyat Malaysia juga menjadikan amalan membaca sebagai satu aktiviti utama mereka walau di mana jua mereka berada.

Ahad, 14 Julai 2013

Perkongsian dari Semanis Kurma tentang Ibu Bapa Genius


Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Pada hari Khamis, 11 Julai 2013 yang lalu, alhamdulillah saya berpeluang menonton rancangan Semanis Kurma yang bertajuk " Ibu Bapa Genius".

Berikut adalah perkongsian yang sempat saya catat dari program tersebut. Semoga kita sama-sama dapat belajar dan mengambil manfaat dari perkongsian tersebut.

========================================================= 

# Ayah mesti ada komunikasi yang baik dengan anak...  

# Ibubapa perlu beri contoh pada anak-anak.  

# Anak yang cerdik banyak bertanya..ibu bapa jangan sekat anak bertanya. 

# Bagi galakan untuk anak bertanya dengan memberi respon seperti bertanya semula kepadanya. Jangan sekat pemikiran anak dengan memberi reaksi supaya anak-anak jangan banyak bertanya, tetapi perlu beri galakan (respon) bagi menjawab semua soalan mereka. Terapkan juga nilai akidah dalam menjawab soalan anak-anak seperti kenapa buah kurma berkedut ? contoh jawapan seperti berikut, "Ini adalah ciptaan Allah.." 

# Anak-anak yang suka menconteng ialah anak-anak yang kreatif dan punya bakat tertentu...sediakan kertas banyak-banyak.  

# Pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya...“Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yg bernama Takwa, isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada ALLAH.”
# Ibu-ibu mengandung, jika tidak pandai membaca Al-Quran, perdengarkan bacaan ayat Al-quran..ada kesannya.
# Amalan semasa mengandung:-Ibu bapa perlu banyakkan membaca Al-Quran. Antara surah pilihan adalah:

a) Surah Al-Fatihah - untuk terang hati & kuat ingatan
b) Surah Maryam - untuk memudahkan ibu bersalin & memperoleh anak yang sabar & taat
c) Surah Luqman - untuk melahirkan anak yang cerdik akal & cerdik jiwa
d) Surah Yusof - untuk melahirkan anak yang cantik rupa & cantik akhlak
e) Surah Al-Hujurat - untuk memperbanyakkan susu ibu & melahirkan anak yang bersifat lebih berhati-hati
f) Surah Yasin - untuk ketenangan hati & menjauhi ganguan syaitan

# Jaga kelakuan suami isteri semasa mengandung

# Banyakkan makan makanan yang menjadi sunnah nabi semasa mengandung seperti kurma, kismis dan minum susu.

# Selepas kelahiran: ibu perlu menyusukan anak-anak dengan susu ibu (sehingga 2 tahun - atau sehingga yang mampu)  

# Mulakan mengajar dan perkenalkan Al-Quran kepada anak-anak sewaktu mereka masih kecil dan menggalakkan mereka menghafaz & memahami kandungan Al-Quran, kerana Al-Quran itu mempunyai garis panduan lengkap dalam meneruskan kehidupan di dunia & akhirat. Anak-anak juga akan mudah mendengar kata..insyaAllah anak mudah belajar dan mudah fokus.  

# Mengikut kajian sains, lebih banyak anak-anak bermain, lebih banyak mereka belajar.  

# Anak-anak biasanya belajar melalui 3 kaedah: 
      1. kinestetik (pergerakan) 
      2. visual (penglihatan) 
      3. audio (pendengaran)

# Oleh itu, ibu bapa perlu meneroka semua cara tersebut untuk mencari cara manakah yang paling sesuai dengan anak mereka. 

# Ibubapa perlu kenal anak-anak dengan betul dan didik mereka secara berhikmah.
# Hikmah adalah tindakan yang sesuai, dengan orang yang sesuai, kadar yang sesuai & pada waktu yang sesuai. Ia membawa maksud bahawasanya pendekatan terhadap anak-anak adalah berbeza berdasarkan jiwa atau personaliti anak tersebut.  

# Ibu bapa perlu menjadikan Luqman Al-Hakim sebagai idola dalam dunia keibubapaan.
"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (kami perintahkan kepadanya)  Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu). Dan sesiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji"        -Surah Luqman : Ayat 12

# Pendidikan gaya Luqman adalah secara menyeluruh (seimbang dunia & akhirat):
- Iman/Akidah
- Ibadah
- Akhlak
- Dakwah  

# Menjadikan Luqman sebagai idola dalam mendidik, seorang ayah itu perlu kerap berkomunikasi dengan anak-anaknya (cth: bergurau, nasihat, galakan). Ketahuilah 50 Nasihat yang pernah disampaikan oleh Luqman kepada anaknya.
# Moral dari kisah biji sawi di langit & di bumi yang diceritakan oleh Luqman kepada anaknya:
# Luqman menggunakan perumpamaan dalam mendidik supaya lebih jelas maksud yang ingin disampaikan.

# Luqman menanamkan kepada anak-anak nilai dosa & pahala sejak mereka kecil.

# Cabaran dalam mendidik anak-anak boleh dibahagikan kepada dua kategori:
- Luaran (Cth: hiburan)
- Dalaman (Cth: pengaruh keluarga dan ibu bapa)

# Kita perlu fokus kepada faktor dalaman, kerana dalaman yang baik akan menghasilkan luaran yang baik.
# Sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, kita perlu membekalkan kemahiran kepada anak-anak kita. Ianya bukan sekadar kemahiran dalam akademik, malah kemahiran untuk hidup di dunia & akhirat dengan berjaya.    

# Contoh kemahiran yang perlu diterapkan kepada anak-anak adalah:  
~ Kemahiran menyelesaikan masalah 
~ Kemahiran membuat pilihan  
~ Kemahiran untuk berdikari & bergantung kepada Allah 

# Bagaimana nak seimbangkan anak-anak berjaya dunia dan akhirat?
# Ibu bapa apabila marah, ajar atau apa2 juga yg kita buatkan utk anak perlu niat kerana Allah 

# Kaitkan sesuatu yang duniawi dengan perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.contoh bila ajar..nombor..nombor 1: Allah itu satu, nombor 2: Allah jadikan mata ada 2, telinga ada 2 

# Report card ibubapa adalah di akhirat nanti,  bukan sekadar pencapaian akademik anak-anak, bukan juga sekadar pekerjaan yang dilakukan oleh anak-anak di dunia, malah ia menjangkau sehingga ke Akhirat kelak, samada anak yang dilahirkan itu mampu menjadi anak yang dirahmati Allah atau sebaliknya.

Bagi yang ingin menonton semula rancangan tersebut, boleh tengok di sini....

Semoga bermanfaat... (^_^)

Saat kesakitan melanda..saat terbaik untuk bermuhasabah....

Teks: Faridah Yusof

Bismillah

Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia ini, pastinya kita diuji dengan kesakitan. Inilah hakikat kehidupan. Adakalanya kita sihat dan dapat melakukan pelbagai kerja atau aktiviti seharian dengan begitu cekap dan tangkas. Namun saat kesihatan diri terganggu, terasa diri begitu lemah dan tidak berdaya.

Bagi seorang ibu, banyak kerja-kerja rumah tergendala dan pastinya mengharapkan pasangan atau ahli keluarga dapat membantu menyiapkan tugas-tugas tersebut. Inilah waktu terbaik kita bermuhasabah dan merenung diri kita...renungi dan berfikirlah tentang kejadian diri kita...tentang pencipta kita..tentang dekatnya kita dengan saat kematian...betapa lemahnya diri kita. Pasti ada hikmah di sebalik ujian kesakitan itu.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang Muslim, kita harus meyakini ujian kesakitan itu datangnya dari Allah dan hanya Dia yang dapat memberi kesembuhan dan kesihatan. Kita cuma perlu berusaha untuk mendapatkan rawatan dan terus berdoa agar dikurniakan kesihatan yang terbaik.

Saat kita kesakitan, hanya kepada Allah tempat mengadu. Kita perlu banyak berdoa , beristigfar dan berzikir. Pada saat itu juga, anak-anak melihat bagaimana kita menghadapi kesakitan , bagaimana cara ayah atau ahli keluarga yang lain menghadapi atau melayan orang yang sakit. Ini juga waktu mendidik anak-anak agar turut mendoakan kesihatan buat orang yang sakit apatah lagi yang sedang sakit itu adalah ibu mereka. Tanamkan di minda anak-anak, sakit adalah ujian dari Allah agar kita sentiasa bersyukur dan menghargai kesihatan.

Semoga kita semua sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan dengan menjaga pemakanan dan gaya hidup kita. Bersyukurlah saat kita sihat dan bertenaga. Gunakanlah waktu sihat kita dengan banyak memberi manfaat. InsyaAllah sama-sama kita berusaha.


*** Lagu "Muhasabah Cinta" nyanyian EdCoustic begitu menyentuh hati...

Muhasabah Cinta

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu
Tuhan... baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

sumber : http://liriknasyid.com




sumber video : http://www.youtube.com/watch?v=gE8OfuiUG5Y


Selasa, 9 Julai 2013

Mama, macamana nak tengok bapak bulan?

Teks : Faridah Yusof
Gambar : carian Google

Bismillah.

Semalam saya dan suami berbual tentang tempat mencerap hilal/anak bulan di Segari yang tidak jauh dari tempat kami. Tiba-tiba anak sulung kami bertanya.

" Mama, macamana nak tengok bapak bulan?"

Tersenyum saya dan suami mendengar soalan yang satu ini.

Kemudian barulah saya terangkan kepadanya..kita bukan tengok bapak bulan tapi kita tengok 'anak bulan'....Kita tengok anak bulan untuk tentukan samada kita akan berpuasa pada esok hari atau lusa....

Anak saya masih tidak berpuas hati ..kenapa tak tengok bapa bulan?

Nampaknya perlu penerangan yang lebih ni...

Sebenarnya...bulan yang kita tengok adalah bulan yang sama. Satu-satunya bulan yang kita lihat dari Bumi.

Bulan bukan ada emak atau bapa...(^_^)

Jadi, hari ini, saya buka internet dan tunjukkan kepadanya imej bulan, imej anak bulan/hilal....saya juga tunjukkan kepadanya bagaimana orang tengok anak bulan..Nampak dia sangat berminat.

Tiba-tiba dia kata  " Mama, malam ni Jiha nak tengok anak bulan."

Alahai, anak. Untuk tengok anak bulan/hilal perlu ada alat-alatnya..



 Fasa Bulan mengikut kedudukan Bulan dalam orbit mengelilingi Bumi.
Tengok hilal/anak bulan perlu alatnya
imej hilal/anak bulan


~Untuk baca tentang anak bulan/hilal..boleh baca di sini ...http://ms.wikipedia.org/wiki/Anak_bulan

~Keratan akhbar tentang penggunaan 'hilal' berbanding 'anak bulan' bagi mengelakkan kekeliruan boleh baca di sini ...http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010090509223220100905092232/Article/index

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan...

Selamat Menjalani Ibadah Puasa semua..sama-sama kita merebut tawaran hebat dari Allah sepanjang bulan Ramadan ini...

Lagu Ramadan oleh Maher Zain versi Bahasa Melayu yang lebih menyentuh hati ...


Isnin, 8 Julai 2013

Marhaban Ya Ramadan

Teks : Faridah Yusof

Bismillah....

Sungguh hampir kita dengan Ramadan. Berdebar-debar di dalam hati ..adakah masih ada kesempatan untuk bertemu Ramadan pada tahun  ini? Setiap hari, pasti kita ada mendengar khabar tentang saudara seagama yang kembali ke rahmatullah sebelum tibanya Ramadan. Hanya doa dan harapan yang dapat dipanjatkan agar Allah beri kesempatan lagi untuk merasai keberkatan di bulan yang penuh barakah, keampunan dan rahmat ini...

Oh Ramadan yang dirindui saban tahun oleh seluruh umat Islam....Pastinya ada yang tidak sabar untuk bersahur, berpuasa, bertadarus, berbuka, bertarawih, berzakat fitrah, bersedekah dan sebagainya...Di dalamnya ada malam yang dicari........malam Lailatul Qadar..Semoga kita semua diberi kesempatan untuk merebut ganjaran hebat dari Allah sepanjang Ramadan kali ini..Aamin Ya Rabb...


Maher Zain - Ramadan | Arabic - ماهر زين - رمضان | النسخة العربية



Jumaat, 5 Julai 2013

Hari Jumaat Penuh Keberkatan

Teks dan foto: Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt.

Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW.

Salam Jumaat buat para pembaca.

Hari Jumaat adalah hari yang mulia bagi umat Islam.

Banyak saranan oleh para alim ulamak agar kita memperbanyakkan berdoa, bersedekah, berselawat, membaca Al-Quran dan berzikir pada hari Jumaat.



Kelebihan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat

Ayuh..sambil-sambil online, kita berzikir, beristighfar dan berselawat...boleh juga buka audio alunan bacaan merdu Al-Quran seperti surah Yaasin dan al-Kahfi..

Sama-sama kita amalkan..:)


Khamis, 4 Julai 2013

Dari Sepanggar ke Seri Manjung

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt buat para pembaca.

Cerita ini cerita empat bulan yang lalu..Tiba-tiba hari ini terimbas semula kenangan berada di Sabah dan saat-saat berpindah ke Perak.

Suami dapat bertukar tempat bertugas dari Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah ke Seri Manjung, Perak. Alhamdulillah urusan perpindahan telah dipermudahkanNya..Terima kasih Ya Allah kerana memakbulkan doa kami. Saya juga tidak mengalami masalah pertukaran sepertimana ketika kami mula-mula berpindah ke Sabah kerana sekarang saya bekerja sendiri. Alhamdulillah.


Saat berangkat dari Kota Kinabalu

Namun begitu, bagi seorang ibu yang sedang mengandung seperti saya, berpindah bukanlah sesuatu yang mudah. Memang keletihan. Banyak perkara perlu diselesaikan.

Agak sukar juga mencari rumah sewa di kawasan Manjung ni. Walaupun kawasan taman perumahan banyak namun, kebanyakan rumah telah didiami oleh penduduk setempat atau penyewa.

Setelah kami mendapat rumah untuk disewa, walaupun kecil dari rumah sewa di Sabah, kami tetap bersyukur, sekurang-kurangnya kami boleh mula merancang dan menyusun kehidupan baru di sini.


Anak-anak turut membantu

Kini empat bulan telah berlalu, masih banyak lagi kotak-kotak belum dibuka dan dikemas. Semoga saya dapat menguruskannya sebelum kelahiran bayi saya pada Ogos nanti.

Doakan saya berjaya..:)


Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 2

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt ,

Pada entri Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 1 , saya telah berkongsi dengan anda tentang bilakah usia emas anak-anak  dan cadangan amalan-amalan buat ibu mengandung dalam usaha untuk melahirkan anak yang sihat dan cerdas.

Bagaimana pula pendidikan awal bagi anak yang baru dilahirkan?


Setelah anak dilahirkan (0-6 bulan)




: : Setelah anak dilahirkan ke dunia, tiada ungkapan terbaik yang harus dilafazkan selain Alhamdulillah.. Segala Puji Hanya Bagi Allah...yang telah mengizinkan kita mempunyai anak ketika di dunia. Haruslah kita sedar bahawa anak ini bukan sekadar membawa kegembiraan buat kita dan pasangan serta seluruh ahli keluarga bahkan anak tersebut juga amanah untuk kita jaga dengan sebaik-baiknya.

: : Anak yang telah dilahirkan mestilah diberikan dan dipanggil dengan nama yang baik dan elok maknanya.

: : Menyusukan anak dengan susu ibu adalah pilihan yang terbaik. Berikan anak anda susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan. Kemudian perkenalkan dengan makanan yang baik, halal serta berkhasiat. Berusahalah melengkapkan penyusuan susu ibu selama 2 tahun. Pemakanan yang baik dan berkhasiat juga membantu perkembangan minda dan fizikal anak.

: : Berikan kasih sayang dengan mengusap, memeluk dan mencium anak. Kajian menunjukkan usapan dan belaian kepada bayi dapat memberi kesan fizikal, emosi dan kognitif yang positif kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi.

: : Berbual-bual dan berceritalah kepada bayi. Aktiviti berbual dan bercerita kepada bayi boleh dilakukan secara santai ketika menyusukan bayi, memandikan bayi, menukar lampin atau pada bila-bila masa sahaja. Walaupun kelihatan seperti tidak memberi kesan kepada bayi kerana bayi belum pandai memberi respon atau berkata-kata, sebenarnya aktiviti ini membantu mendedahkan anak anda kepada perbendaharaan kata dan kecerdasan bahasanya.

: : Ransang penglihatan dan kordinasi mata anak dengan menggunakan kad imbas atau objek yang berwarna hitam dan putih atau merah. Perhatikan anak matanya bergerak mengikut pergerakan kad atau objek yang digerakkan.

: : Bacakan atau perdengarkan ayat-ayat Al-Quran, zikir dan selawat. Selain itu juga, ibu atau bapa juga boleh membacakan kepada anak cerita pendek ,berima dengan pelbagai intonasi dan suara. Aktiviti-aktiviti begini dapat membantu perkembangan auditori (pendengaran) serta membantu meningkatkan kecerdasan bahasa anak.

Selasa, 2 Julai 2013

Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 1


Teks : Faridah Yusof
Sumber gambar : Google

Assalamu'alaikum wbt...

Apa khabar pengunjung dan pembaca Tips Pendidkan Awal Kanak-kanak ? Semoga kita semua sentiasa dalam hidayah dan rahmat Allah.

Apa khabar anak-anak kita hari ini? Semoga mereka juga sentiasa dalam hidayah dan rahmat Allah serta sentiasa melihat kita sebagai ibubapa yang menjadi contoh terbaik dalam kehidupan mereka.

Usia Emas Anak-anak

Tahukah anda bilakah usia emas anak-anak kita ?

Usia / masa keemasan anak-anak kita adalah masa- masa penting dalam kehidupan anak-anak yang tidak akan berulang lagi.. Ada terdapat beberapa pendapat dari pakar tentang usia /masa keemasan ini. Ada yang berpendapat usia/masa keemasan anak-anak ialah di antara 0-2 tahun, 0-3 tahun, 0-5 tahun atau 0-8 tahun. Namun secara umumnya, awal-awal tahun pertama kehidupan anak-anak adalah masa-masa emas mereka.

Pada masa-masa ini, otak anak-anak kita berkembang dengan sangat pesat. Otak dan minda anak-anak mampu untuk menyerap dan menyimpan pelbagai maklumat. Segala maklumat diserap dan menjadi input yang mampu mempengaruhi kehidupan mereka pada masa akan datang. Minda dan otak mereka juga perlu diransang untuk pertumbuhan dan perkembangan otak yang maksimum.

Ketika Anak  di dalam Kandungan

Oleh kerana itulah kita seringkali mendengar para ilmuan, pakar kanak-kanak, pakar motivasi dan sebagainya amat menitikberatkan penerapan nilai-nilai positif , kasih sayang dan nilai-nilai murni seawal mungkin iaitu seawal anak-anak di dalam kandungan. Ketika mengandung, para ibu sangat disarankan untuk menjaga kesihatan, emosi dan tingkah laku sebagai salah satu usaha untuk melahirkan anak yang sihat dan cerdas. Para bapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan dan bantuan kepada para ibu dalam melalui tempoh 9 bulan yang penuh dengan cabaran.



Sewaktu mengandung antara perkara yang amat digalakkan untuk para ibu ialah :

~Menjaga waktu solat fardhu, sebaik-baiknya berusahalah untuk solat di awal waktu serta ditambah dengan amalan solat-solat sunat.

~ Menutup aurat dengan sempurna


~ Membaca dan memperdengarkan bacaan Al-Quran . Antara surah-surah Al-Quran yang sangat digalakkan adalah seperti berikut :

* Surah al Fatihah
* Surah at-Taubah
* Surah Yusuf
* Surah Maryam
* Surah Luqman
* Surah an-Nahl
* Surah Yassin
* Ayat Kursi
* 3 Qul : Surah al-Falaq, an-Nas, al-Ikhlas



~ Banyakkan berzikir seperti SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar

~ Banyakkan selawat dan istighfar

~ Banyakkan berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan ibu dan anak dalam kandungan, keselamatan dan kemudahan proses kelahiran

~ Perdengarkan lagu-lagu nasyid, selawat, lagu-lagu klasik seperti Mozart

~ Mengusap lembut kandungan dari bawah perut ke pusat sambil berbual-bual dengan anak dalam kandungan

~ Membacakan cerita kanak-kanak, kisah Nabi, pantun dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau  Bahasa Arab dengan pelbagai nada suara dan inovasi.

~ Menjaga kata-kata dan tingkah laku. Tingkah laku ibu bapa yang baik di saat ibu mengandung merupakan salah satu pendidikan awal yang sangat digalakkan.

~ Menjaga emosi agar tenang, positif  dan ceria selalu

~ Menjaga kebersihan diri

~ Mengambil makanan yang halal, sihat dan seimbang


Semoga dengan usaha yang bersungguh-sungguh dapat menjadi asbab Allah mengurniakan anak-anak yang sihat dan cerdas mindanya. InsyaAllah.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...