Sabtu, 11 Oktober 2014

Cabaran utama mendidik anak-anak kecil.

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Ramai ibu bapa yang saya temui  berkata mereka rasa susah dan agak mencabar mengajar anak sendiri.

Antara perkara yang disebut menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak kecil ialah:

~ anak-anak yang aktif, tidak boleh duduk diam, ada sahaja benda yang mereka buat dan selongkar, lasak, berlari ke sana ke mari
~ tidak mahu mendengar, tidak mahu ikut arahan, melawan, degil



~ suka buat sepah mainan, suka menconteng
~ cepat mengantuk, cepat bosan, tidak berikan perhatian.
Sebenarnya ibu dan ayah yang prihatin, itu bukanlah cabaran utama. Itu adalah perkara semulajadi bagi seorang anak kecil. Kita perlu sentiasa faham bahawa anak-anak kecil belajar melalui bermain. Apabila mereka seronok dan gembira mereka lebih mudah untuk belajar.

Jadi, apakah cabaran utama?
Ibu dan ayahlah cabaran utama. Tanyakan semula soalan-soalan berikut kepada diri kita:

~ apakah persediaan ibu dan ayah sebelum dikurniakan cahaya mata dari segi ilmu dan kemahiran keibubapaan.

~ sikap dan perangai yang ibubapa tunjukkan kepada anak-anak kecil. Cara bercakap? Cara makan? apakah hobi kita? mengaji, membaca, menonton, tidur 

~ sudah kenalkah ibu dan ayah tentang anak-anak mereka, apakah kecenderungan mereka, apakah pendedahan yang sudah diberikan. Apakah cara belajar anak ?

~ apakah makanan yang kita berikan kepada anak-anak ? makanan sihatkah ? makanan halalkah?

~ apakah yang selalu kita katakan kepada anak-anak? kata-kata yang baik? nilai-nilai yang baik?

Sekali lagi, ingin saya tekankan, kitalah sebagai ibubapa yang menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak.

Perlunya ada ilmu, kemahiran, sikap yang positif dalam mendidik anak-anak. Kitalah yang perlu memperbaiki diri supaya anak mengikut contoh yang baik dari diri kita. Kita perlu mendidik diri kita dahulu, latih diri menjadi sabar, tenang dan penyayang.

Mana mungkin kita dapat senyum dan memberi pelukan apabila kita tidak berjaya mengawal perasaan marah atau stress bekerja. Mana mungkin kita dapat memujuk anak yang meragam apabila kita kepenatan dengan tugas seharian.

Bagaimana anak mahu belajar, apabila muka kita tegang dan ketat? Bagaimana anak mahu belajar jika ianya tidak menarik dan tiada unsur-unsur menggembirakan? Bagaimana anak mahu belajar jika kita tidak pernah memberi pujian kepada usaha mereka?


Anak-anak kecil tidak meminta yang bukan-bukan. Mereka tidak meminta pakaian yang berjenama, makanan atau permainan yang mahal. Mereka hanya perlu kasih sayang, pelukan, senyuman, kata-kata dorongan, kata -kata semangat, kata-kata galakan dan pujian. Bermainlah dengan mereka. Ceritakan mereka dengan cerita yang mempunyai nilai-nilai yang baik. Berikan mereka senyuman dan pelukan. Ajar dan didik mereka mengikut umur dan tahap kematangan mereka.

Fahami dan hormati naluri semulajadi anak-anak kecil. Kenali mereka dan perhatikan kecenderungan mereka. Kenalpasti kecerdasan mereka agar kita sebagai ibubapa dapat membantu pembelajaran mereka. Berikan mereka pendedahan yang luas tentang kehidupan dan perkara di sekeliling mereka.

Rabu, 8 Oktober 2014

Perpustakaan Mini Di Rumah

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Siapa ada perpustakaan atau perpustakaan mini di rumah?

Saya pernah berbual dengan pegawai perpustakaan tentang perpustakaan di rumah. Pegawai tersebut memaklumkan bahawa dahulu, jika ada sesiapa yang mahu adakan perpustakaan di rumah, boleh beritahu pihak perpustakaan, kemudian mereka akan datang 'set -up' perpustakaan kita di rumah.

Menarik bukan?

Namun katanya lagi, sekarang sudah tidak ada perkhidmatan begitu.

Impian

Saya mahu adakan perpustakaan di rumah. Sudah lama berimpian mahu wujudkan perpustakaan di rumah. Saya mahu jadikan salah satu bilik atau ruang di rumah sebagai  perpustakaan.Saya mahu perpustakaan itu digunakan sepenuhnya oleh ahli keluarga saya dan menjadikannya antara ruangan rumah yang paling mereka sukai. Tempat lepak terbaik di rumah.

Perpustakaan Mini Sebagai Permulaan


Oleh kerana belum memiliki rumah sendiri, saya adakan satu ruang kecil untuk perpustakaan mini di rumah sewa. Hanya ada rak buku, sofa dan meja kecil.




Alhamdulillah, buku-buku koleksi saya dan suami sudah pun saya proses sedikit demi sedikit. Saya gunakan buku dari Dewan Bahasa ini sebagai rujukan untuk tujuan pengelasan buku.





Cop untuk logo perpustakaan dan maklumat buku ini sudah lama saya buat, namun baru tahun lepas saya dapat menggunakannya. Punya lama saya peram.




Apa yang saya dapati sejak saya adakan perpustakaan mini di rumah, anak-anak dan suami suka duduk di ruangan yang  disediakan. Walaupun kecil, saya sangat bersyukur mereka manfaatkannya.

Saya doakan semua rumah mempunyai perpustakaan atau mini perpustakaan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga. Aamiin ya rabbal'alamiin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...