Isnin, 5 Januari 2015

5 Langkah Awal Untuk Anak Demam

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak demam secara bergilir-gilir.

Demam beserta selsema dan batuk. Bunyi batuknya mengokol. Duduk dekat terasa panas badan mereka.

Anak-anak yang sedang demam memang akan meragam. Makan tidak mahu, minum tidak mahu. Bila malam, tidur tidak lena, senang terjaga bila terbatuk.

Ibu juga tidak dapat tidur.

Berikut 5 langkah awal berhadapan dengan anak demam.

1. Pantau suhu badan dan keadaan anak.

Suhu yang tinggi boleh membawa kesan tidak baik kepada perkembangan minda anak kecil. Turunkan suhu panas anak dengan mengelap badan anak dengan tuala lembap dengan perlahan.

Perhatikan perubahan pada badan anak seperti bintik-bintik merah, begkak di leher, bintik putih atau ulser di dalam mulut.

Jika suhu masih tidak turun, bawa ke klinik.


2. Berikan sup dan minum air suam.

Anak-anak memang tidak mahu makan. Namun mereka perlu makan dan minum untuk tenaga. Berikan mereka sup. Untuk tarik minat mereka minum, berikan air suam dalam cawan atau bekas yang comel.

Jika demam disebabkan sakit mulut atau tonsil bengkak, berikan mereka minum menggunakan straw.

Pengalaman anak  kecil demam disebabkan oleh sakit di dalam mulut dan tonsil bengkak, dia lansung tidak mahu makan atau menyusu, sehingga saya berikan dia aiskrim  vanila kepadanya baru dia mahu menyusu. Itupun, saya berikan susu ibu perahan yang saya sejukkan sebentar  di dalam bekas minuman yang comel. Saya juga kerapkan penyusuan bila dia sudah mahu menyusu.


3. Banyakkan pelukan

Ini memang luarbiasa kesannya.

Anak demam yang meragam jadi lebih tenang bila dipeluk.

Anak kedua saya kerap menangis semasa demam terutamanya pada waktu malam.

Namun, bila saya peluk dan pegang tangannya, baru dia tidak lagi menangis.


4.  Urutan

Ini juga berkesan untuk memberikan sedikit kelegaan pada anak.

Urut kakinya atau belakangnya dengan lembut dan perlahan.

Terpulang jika mahu menggunakan sedikit minyak bayi.



5. Kata-kata  dan doa

Banyakkan berkomunikasi dengan anak.

Banyakkan memberi kata-kata semangat dengan senyuman dan wajah yang ceria.

Ibu dan ayah juga banyakkan berdoa memohon kepadaNya supaya diberikan kesembuhan dan dipertemukan dengan ubat yang sesuai.

Ajarkan juga anak-anak berdoa sendiri kepada Allah supaya mereka tahu sakit dan kesembuhan datang dari Allah.

Ibu juga rasa mahu demam.

Ya Allah berikan kami kesembuhan. Aamiin.

Ahad, 4 Januari 2015

Bah

Teks: Faridah Yusof

Kami pulang ke rumah mertua setiap Ahad.

Kami biasanya dapat melihat kehijauan sawah bendang yang terbentang luas.

Namun, permandangan kami kali ini bukan lagi sawah bendang yang menghijau. Sawah bendang telah dipenuhi air banjir menjadi lautan yang luas di tepi jalan.

Banyak kenderaan dan ramai orang berhenti di tepi jalan seperti ada pesta.
Ada yang merakam gambar, ada yang sedang mengambil peluang memasang jaring, ada yang melihat dan macam-macam lagi.

Banjir di bahagian Perak Tengah sudah meluas ke Hulu Kayan.

Banjir kali ini dikatakan besar dan kesannya juga besar.

Adik dan kakak ipar saya, rumah mereka masing-masing ditenggelami air. Adik ipar menumpang di rumah mertua.  Adik-adik ipar yang lain juga sudah beberapa hari tidak bekerja.

Dikhabarkan kepada kami dua kisah kematian, anak kecil berumur 4 tahun yang terlepas dari pegangan tangan semasa merentas arus air banjir dan seorang pemuda 20an yang lemas semasa cuba menangkap ikan.

Adik ipar sendiri menceritakan pengalamannya yang berpindah pada jam 2 pagi ketika air sudah naik ke paras pinggang bersama anak- anak kecilnya menaiki bot bomba dan air yang deras, hanya Allah  tempat bergantung. Jika sudah sampai masanya semua perlu redha.

Allahuakbar.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Apa yang saya perhatikan di kawasan di landa banjir, anak-anak kecil pastinya tidak mengerti apa yang berlaku.

Ini peluang yang baik untuk bercerita kepada anak-anak tentang banjir.

Anak saya sendiri saat melihat banjir, dia mahukan banjir di rumah. Katanya boleh main air, boleh berenang.

Setelah melalui satu detik cemas melalui kawasan banjir, barulah  dia tidak lagi menyebut mahu banjir.

Namun yang pasti, kejadian bah yang dialami di beberapa negeri di Malaysia seperti di Kelantan, Terenggan, Pahang, Perak, Perlis, Johor dan Sarawak adalah ujian dariNya.

Allah, ampunkan dosa-dosa kami. Terimalah taubat kami. Aamiin.

Sabtu, 3 Januari 2015

Hari Yang Indah

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Hari ini hari yang indah.

Biar mentari tidak bersinar seterik selalu, hari ini memberi sinar yang cemerlang dan ceria.

Hari ini hari ulangtahun kelahiran manusia yang dicintai ramai orang. Ramai orang cinta, sayang, kagum, sanjung dan rindu kepadanya walau tidak pernah bertemu atau mendengar suaranya.

Ajarkan dan kenalkan anak-anak kepada manusia ini. Biasakan mereka berselawat kepada Nabi. Jika belum biasa, jadikan hari ini permulaannya.

Allahummasolli'ala Muhammad.

Kami rindu padamu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...