Ahad, 30 September 2018

Rezeki Laksa Pangkor dan Buah Pisang

Teks: Faridah Yusof

Hari ini masih tidak sihat. Lemah terasa seluruh badan. Hanya berehat di katil. Mahu menulis atau membaca juga tidak berdaya.

Di waktu ini, hanya zikir dan fikir sahaja yang jadi teman paling nyaman.

Selera juga tidak ada.

Pagi ini, minum air koko Radix IQ, telur rebus dan sedikit buah.

Waktu tengahari, suami masak untuk anak-anak. Saya menjamah sesuap dua sahaja.

MasyaAllah sebelah petangnya jiran sebelah hantar laksa pangkor. Biasanya laksa pangkor dimakan bersama kuah sup ketam. Tapi jiran tidak gemar laksa bersup ketam. Lebih suka kuah ikan.

Alhamdulillah, mulanya menjamah sedikit. Mungkin juga lapar dan mungkin juga rasanya yang sedap. Selera terbuka dan makan banyak juga.

Suami pula bawa dari rumah mertua, bawa banyak pisang minyak dan pisang abu. MasyaAllah. Syukur pada_Nya di atas rezeki yang banyak hari ini.

Anak-anak sudah buat permintaan cucur pisang dan muffin. InsyaAllah. Semoga ada kesempatan untuk buatkan. Aamiin.

Sabtu, 29 September 2018

Diuji Dengan Kesakitan

Teks: Faridah Yusof

Semasa suami berkursus di Kuala Lumpur baru-baru ini, sayalah yang perlu menghantar dan menjemput anak ke sekolah.

Selain itu, seorang sahabat juga meminta pertolongan menghantar dan menjemput anaknya yang sama kelas dengan anak saya. Bapanya juga perlu bertugas di luar kawasan. Dan sahabat saya ini pula baru sehari bersalin.

Memang mencabar juga kerana saya perlu menjaga masa dengan begitu teliti. Terutama waktu mahu menjemput anak-anak ini dari sekolah. Mereka tamat kelas tambahan jam 6.00 petang. Saya pula ada kelas membaca jam 6.15 petang. 

Berdoalah saya ini memohon Allah beri kemudahan dan kelancaran trafik sepanjang perjalanan. Anak-anak yang kecil saya awal-awal suruh duduk elok-elok dalam kereta. Memang tegas sahaja. Ala tentera. Tiada gurau senda.

Ada satu petang sedang saya agak tergesa-gesa. Dengan perut yang semakin kedepan dan membesar ini, kaki saya tidak dapat menekan pedal 'clutch' untuk menukar 'gear'. Saya menyengetkan badan dan menolak kaki kiri lebih ke dalam. Nah, akibatnya kaki, peha, betis dan akhir sekali bawah perut terasa tegang dan menyakitkan.

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa saya sedang menahan kesakitan waktu itu. Saya gagahkan juga memandu sehingga sampai ke rumah. Turun perlahan-lahan dari kereta dan masuk ke dalam rumah dengan tangan menahan sakit di bawah perut.

Ambil minyak but-but dan saya lumurkan ke keseluruhan kaki kiri yang sakit. Selepas itu saya baring dan berehat.

Dan kepala macamana lah nak jemput mereka petang ini dan hari seterusnya, Hanya kepada Allah saya memohon bantuan.

Jumaat, 28 September 2018

Suami Pulang Dari Kursus

Teks: Faridah Yusof

Suami berkursus seminggu di Kuala Lumpur.

Anak-anak yang kecil dan belum faham, setiap hari bertanya soalan tentang ayahnya.  Pantang  terdengar bunyi motor lalu di depan rumah. Mesti ingat motor ayahnya. Berlari ke pintu mahu tengok. Setiap hari bertanya soalan yang sama.

"Ayah mana?"

"Ayah kerja."

"Kenapa ayah belum balik?"

"Ayah tidak balik, ayah kerja jauh di Kuala Lumpur."

Syukur juga tiada yang meragam menangis malam-malam mencari ayah.

Tidak dapat dibayangkan, anak-anak yang ayahnya bertugas jauh di lautan samudera atau di angkasa.

Ada yang berbulan-bulan tidak berjumpa. Ada yang setahun tidak bertemu  kerana ayahnya bertugas di Lubnan.

Ada seorang anak murid di kelas membaca, ayahnya sudah berada di Lubnan hampir setahun. Dan akan balik tidak lama lagi. Setiap hari dia bercerita, ayahnya akan balik tidak lama lagi. Nanti, dia akan bercuti sehari dari kelas untuk pergi menjemput ayahnya pulang. Dapat saya rasakan dia begitu teringat dan rindu kepada ayahnya.

Alhamdulillah. Suami sudah pulang dari kursus. Anak-anak paling gembira. Habis beg ayahnya dibuka. Bergurau senda, panjat belakang ayahnya macam selalu. Naik belakang ayahnya macam naik kuda. Aduhai anak.

Khamis, 27 September 2018

Rezeki Rak Buku Stail Korea

Teks: Faridah Yusof

Dapat panggilan telefon dari suami yang berkursus seminggu di Damansara, Kuala Lumpur. Pesannya, tunggu hari ini ada kurier akan hantar barang. Buka dan semak barang yang ada samada cukup atau sebaliknya.

Apalah agaknya barang yang akan dipos.

Lebih kurang jam 2.10 minit petang, sebuah lori kurier membunyikan hon berulang kali di depan rumah. Saya memang sudah bersedia tudung dan jubah di tepi, sarung dan terus keluar.

Setelah menandatangani dokumen terima, saya bawa masuk bungkusan.

Seperti yang disuruh suami untuk buka bungkusan dan semak kandungannya.

Rupanya rak buku. Rak buku DIY stail Korea. Alhamdulillah. Sementara anak tidur, saya cuba pasangkan besi-besi dan plastiknya.

Terharu pula rasa. Tak sangka suami belikan rak buku untuk gantikan rak buku saya yang patah dipijak anak baru-baru ini. Syukur alhamdulillah.

Suka dengan desainnya. Lain kali jika perlu berpindah, rak ini boleh dibuka dan dipasang semula.

Harganya juga murah. Lebih kurang RM 40.00 termasuk pos. Suami rupanya beli dari LAZADA. Ada lapan ruang kotak buku.

Rabu, 26 September 2018

Dapat Nasi Lemak Di Pagi Hari

Teks: Faridah Yusof

Anak-anak yang kecil masih tidur. Suami dan anak sulung sudah keluar  tadi.

Saya seperti selalu, menyiram pokok. Menikmati indah alam dan kehijauan daun-daun dari kebun kecil di depan rumah.

Nampak banyak rumput-rumput kecil dicelah pokok bunga jepun pink yang menghiasi tanah. Saya cabut dan masukkan ke bekas untuk buat kompos.

Sedang asyik mencabut rumput, sebuah motosikal berhenti di tepi. Rupanya salah seorang jiran.

Dia menghulurkan sebuah beg plastik berisi bekas makanan. Nampak mahu cepat sahaja. Tidak sempat berbual panjang. Saya ucap terima kasih dan berbalas senyuman. Dia terus ke rumah selang dua pintu dari rumah saya. Juga dihulurkan bungkusan yang sama.

Selesai mencabut rumput, terus masuk ke dalam.

Alhamdulillah. Nasi lemak rupanya. Berkongsilah saya dan anak-anak yang ada di rumah.

Alhamdulillah. Sudah lama tak makan nasi lemak. Hari ini dapat menikmatinya. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberikan kebaikan yang banyak kepada jiran tadi. Aamiin.

Selasa, 25 September 2018

Keputusan Ujian Minum Air Gula

Teks: Faridah Yusof

Telefon bimbit berbunyi sedang saya sibuk memasak di dapur.

Di skrin tiada paparan nama. Tetapi dari nombornya, ia menunujukkan, panggilan tempatan.

Saya menjawab panggilan, rupanya dari klinik.

Pemanggil tentunya salah seorang staff klinik, memaklumkan keputusan darah sudah sampai.

Berdebar juga hati. Apa agaknya keputusan darah yang mahu dikhabarkan. Adakah saya menghidap diabetes kali ini?

Staff memaklumkan, keputusan darah agak baik, cuma....

Allahu..syukur alhamdulillah. Saya tidak ada diabetes kali ini. Terima kasih Ya Allah di atas kesihatan yang baik ini.

Cuma keputusan HB agak rendah berbanding sebelum ini. Maka, saya dicadangkan untuk makan makanan yang dapat meningkatkan HB seperti kerang, sayur-sayuran hijau.

InsyaAllah.

Isnin, 24 September 2018

Kursus Kaedah Mengajar Bacalah Anakku di Seri Manjung


Teks: Faridah Yusof

Khas untuk ibubapa dan guru yang mencari kaedah mengajar membaca yang cepat dan berkesan.

November ini, dibawakan kepada anda Kursus Intensif Kaedah Mengajar Bacalah Anakku di Seri Manjung, Perak.

Kursus akan disampaikan sendiri oleh penulis dan pengasas Bacalah Anakku dan Readeasy. 

Jangan lepaskan peluang. Bukan selalu mereka dapat turun ke Seri Manjung.

Untuk mendapatkan kaedah dan teknik yang betul dan berkesan mengajar anak membaca, hadiri Kursus Intensif Kaedah Mengajar Bacalah Anakku di:

Lokasi: Seri Manjung, Perak
Tarikh: 24 November 2018 (Sabtu)
Masa:9.00 pagi-5.00 petang
Yuran : RM 170 seorang
Dapatkan DISKAUN RM 10 bagi penyertaan berkumpulan/ 2 orang ke atas.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran,
hubungi :
Cikgu Farah 012-5940646

Ahad, 23 September 2018

Buat Biskut Roselle

Teks: Faridah Yusof

Hari ini anak-anak buat permintaan mahu biskut.

Teringat ada puri roselle yang baru dibuat semalam. Jadi, inilah masa untuk berkarya lagi.

Kita guna bahan-bahan yang ada. Minyak masak, gula tebu organik, puri roselle, telur, tepung beras, tepung ubi dan tepung jagung.

Minyak masak digaul dengan gula tebu sehingga sebati. Masukkan telur dan kacau sebati. Masukkan pula puri roselle. Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh yang lembut.

Bulat-bulatkan dan tekan dengan garpu. Hiaskan dengan biji badam halus.

Alhamdulillah.

Anak-anak suka dan habis licin tak tinggal habuk.

Syukur.

Si kakak bertanya. Kenapa biskut ni warna ungu, roselle kan warna merah?

Mama pun tak pasti kenapa warnanya menjadi ungu. Mungkin setelah dicampurkan tepung dan dibakar, maka warnanya berubah menjadi warna ungu.

Gambar: Adik yang tidak sabar mahu menjamah biskut yang baru keluar oven.

Sabtu, 22 September 2018

Aiskrim Yogurt

Teks: Faridah Yusof

Semalam ada beli sebekas 'Natural Yogurt'. Anak-anak memang suka. Walau pun rasanya agak masam, tetapi sekejap sahaja habis.

Pagi ini, si kakak minta kebenaran untuk buat aiskrim dari yogurt dan campur dengan hirisan buah epal. Saya berikan kebenaran.

Petang tadi, balik dari perpustakaan, si kakak berdua terus menuju ke peti ais. Sukanya mereka bila aiskrim sudah beku.

Seronok bukan main. Saya pun dapat sebatang. Sedap, kami semua suka kecuali suami. Rasa sejuk dan lembut yogurt yang sudah dibekukan, rasa masam berselang seli dengan rasa manis buah epal.

Selepas ini mahu cuba dengan buah pisang, kurma dan kekacang pula. Atau boleh juga ditambah sedikit coklat cip kan? Atau puri buah roselle yang ada di dalam peti ais tu. InsyaAllah, nanti kita cuba berkarya dengan anak-anak bila sudah ada bahannya.

Jumaat, 21 September 2018

Minum Air Gula

Teks: Faridah Yusof

Hari ini ada temujanji untuk ujian MGGT atau biasanya  kita panggil minum air gula. Saya buat buku pink di klinik panel suami, jadi ujian MGGT dijalankan di Path Lab.

Dari mengandung anak sulung memang kena minum air gula sebab saya termasuk kategori berisiko untuk mendapat diabetes semasa mengandung. Anak ketiga memang saya ada diabetes. Alhamdulillah, diabetes yang terkawal. Tidak perlu makan ubat atau cucuk insulin. Memang kena jaga pemakanan. Alhamdulillah, mengandung anak keempat tiada risiko diabetes. Semoga kandungan kali yang keenam ini juga saya tiada risiko diabetes. Aamiin.

Sebelum menjalani ujian MGGT, kena berpuasa dari malamnya. Maka, pagi ini memang tidak ambil sebarang sarapan. Cuma sediakan sarapan anak-anak. Tengok sahajalah mereka makan tadi.

Kami ke Path Lab sekitar jam 9.30 pagi sebab suami ada program di tempat kerja. Alhamdulillah, tidak ramai orang, maka cepat sahaja urusan. Dilayan mesra oleh dua orang staff Path Lab berbangsa Cina yang ramah dan murah dengan senyuman. Salah seorang staff memberi penerangan ringkas untuk prosedur. Saya mengangguk faham kerana sudah melaluinya beberapa kali sebelum ini.

Memang mencabar bila kena minum satu mug air gula yang bukan main lagi manisnya.

Sebelum minum air, baca Bismillah dan berdoa semoga ujian dapat dijalankan dengan lancar. Tak mahu kena ulang ujian jika termuntah selepas minum. Yakinkan diri, insyaAllah boleh lalui ujian ini dengan baik.

Staff sudah sediakan air gula di dalam mug putih yang bersih. Suam sahaja airnya.

Minum dengan tenang, tarik nafas dan minum. Fokus untuk selesaikan ujian. Jangan fikir manisnya air ni. Dalam hati, berdoa agar Allah beri kemudahan untuk menjalani ujian ini. Self talk dalam hati, you can do it, mama.

Semasa ujian tu anak dan suami ada berhampiran. Saya minum, tengok mereka, saya senyum. saja tak nak fokus kepada air. Saya minum tengok staff, saya beri senyuman lagi. Kemudian saya minum dan habiskan.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Selesai minum air gula.  Lega rasa. Selepas satu jam, kena datang semula untuk ambil sample darah lagi. Sepanjang itu, saya hanya boleh minum air putih sahaja.

Selepas satu jam, datang lagi ke Path Lab dan ambil sample darah dan urin. Kali ini kami tidak balik rumah, singgah ke Kedai Eco yang berhampiran dengan Path Lab. Suami terpaksa ke tempat kerja semula. Maka tinggal saya dan tiga lagi anak.

Alhamdulillah, selepas satu jam, pergi semula ke Path Lab untuk ambil sample darah dan urin lagi.
Selesai.

Saya dan anak tidak menunggu di ruang menunggu di situ. Kami menunggu di tempat menunggu bus yang berhampiran dengan Path Lab. Sempatlah menjamah beberapa keping biskut setelah berpuasa dari malam tadi.

Sambil menunggu suami datang, saya membawa anak melihat sekeliling. Lihat bas, kereta, motor. Di tepi tempat menunggu bas itu ada dua batang pokok bunga raya berwarna merah yang rimbun dan banyak bunga yang sedang berkembang. Tiba-tiba nampak seekor burung kelicap sedang terbang dari satu bunga ke satu bunga. Alhamdulillah, leka sekejap mereka.


Khamis, 20 September 2018

'Me Time' Dengan Berkebun

Teks: Faridah Yusof

Salah satu 'me time' yang buat saya ceria dan gembira ialah berkebun.

Rasa seronok dan bahagia apabila dapat melihat daun-daun hijau yang segar pada waktu pagi atau petang. Kadang-kadang, sengaja saya mencubit sedikit daun pudina yang saya tanam dan hidu baunya, Segar dan nyaman.

Juga menjadikan rasa kagum dengan kekuasaan Allah bila dapat lihat pelbagai kumbang, rama-rama yang datang singgah di atas daun atau bunga yang berkembang. MasyaAllah, sungguh damai rasa.

Ada juga pokok yang tumbuh bukan dari yang kami tanam. Ada dua pokok yang bukan kami tanam tetapi tumbuh subur dan memberikan hasil kepada kami dan jiran untuk menikmatinya. Satunya pokok cili burung dan satu lagi pokok terung pipit. Kedua-dua pokok ini, adalah dari bawaan burung. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Ada tanaman sayuran seperti kangkung, kailan dan ulam-ulaman yang memang kami tanam untuk makanan keluarga. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah, subur dan dapat kami nikmati sayur yang segar dari kebun kecil kami. Ada masanya dapat bertukar-tukar / sistem barter dengan kawan-kawan.

Anak-anak juga seronok. Mereka juga seronok waktu membeli biji benih. Seronok mahu bantu menyiram. Dan seronok juga bila suruh petikkan sayur atau apa-apa yang saya perlukan dari kebun kecil. Mereka juga seronok tengok siput, kumbang yang datang singgah. Belalang pun pernah mereka tangkap.

Rabu, 19 September 2018

' Me Time ' Dengan Menulis

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Saya temui aktiviti menulis sejak mula belajar menulis blog dengan Puan Masayu Ahmad.

Sejak dari itu, menulis ini menjadi satu terapi. Saya suka menulis di mana-mana sahaja. Di dalam buku catatan, blog atau hantaran di Facebook. Cuma menulis di blog dan di facebook, ada masa yang tidak sempat untuk menulis dan hampir dua tahun blog ini ditinggalkan kerana komputer rosak. Alhamdulillah, sekarang komputer sudah sihat.     

Melalui aktiviti menulis, ia seperti dapat mencurahkan segala yang tersimpan dan terbuku di dalam. Selepas menulis, terasa lega dan lapang.

Dulu, saya suka menulis dalam jawi jika di dalam buku catatan sendiri atau dalam Bahasa Inggeris yang berterabur (broken English). Sekarang masih lagi suka, tetapi lebih banyak menulis dalam Bahasa Melayu dan belajar untuk menulis dengan ejaan penuh.




Selasa, 18 September 2018

Mama, Jom Buat Biskut.

Teks: Faridah Yusof

Kasihan dengan anak-anak. Berulang kali meminta dan mengajak mamanya buat biskut. Mama sibuk yang teramat.

Ya Allah. Hanya Engkau Yang Mengetahui. Dalam hati berdoa dan mengharapkan kesempatan masa untuk buat aktiviti bersama anak. Bahan-bahannya ada, tinggal mahu buat sahaja.

Akhirnya, setelah selesai beberapa tugas yang penting, kami pun memulakan projek membuat biskut.

Bila mereka benar-benar mahukan, senang sahaja tugas. Beritahu sahaja apa yang perlu dibuat, anak-anak semua menurut perintah.

Kak Aina dan Kak Jiha, "Keluarkan tepung-tepung, telur, minyak, gula merah, cip coklat, badam hiris, kemudian ambil bekas dulang untuk bakar biskut. Dan bekas serta sudip untuk gaulkan bahan".

Si adik lelaki berdua sudah menunggu di depan meja untuk sama-sama buat biskut.

Telur sudah dibasuh oleh Kak 'Aina.

Ok, jom kita buat biskut.

Minyak dan gula merah dikacau sebati. Kakak dan adik bergilir-gilir mahu menggaul adunan. Si adik pun mahu juga. Baiklah, kita tambah giliran.

Ok, bila sudah larut gula, masukkan telur.

Masukkan pula tepung ubi, beras, jagung. Tepung dimasukkan sedikit-sedikit sehingga menjadi doh.

Sekarang taburkan badam dan cip coklat.

Ok, sekarang, sapukan dulang dengan sedikit minyak, semua boleh bulat-bulatkan adunan menjadi bebola yang sama besar. Si kakak berdua sudah mahir. Si adik lelaki berdua, masih belajar membentuk bola. Inilah 'part' yang paling mereka suka. Macam main plastisin.

Sambil itu, mama panaskan oven mengikut suhu yang sesuai.

Setelah bersusun bebola di atas dulang pembakar, minta kak Aina ambil garfu. Berebut mahu menekan corak garpu di atas bebola biskut. Bila ditekan, bebola menjadi bentuk leper dan corak bergaris-garis di atasnya.

Adik tertekan lebih, maka penyek habislah bebola doh. Tidak mengapa, kita bulatkan semula.

Siap sedia untuk dibakar. Sementara itu, waktu solat pun masuk. Kita solat dulu.

Alhamdulillah. Bau sudah semerbak satu rumah.

Anak-anak menjadi semakin teruja dan tidak sabar-sabar mahu makan.

'Ting'..bunyi dari oven menunjukkan tamat masa membakar yang telah diset terlebih dahulu. Masing-masing menjerit kegembiraan. Biskut dah masak!

Hehehehe, sekali bila mama 'check' belum betul-betul masak. Kena tambah lima minit lagi.
Kasihan melihat wajah kecewa. Sabarlah anak-anak.

'Ting' kali kedua. InsyaAllah kali ini sudah masak biskutnya. Alhamdulillah. Semua menuggu di tepi oven. Panas ni, jauh sedikit.

Agak sudah suam sedikit, semua pakat serbu. Licin sekelip mata.

Alhamdulillah. Ucap terima kasih pada Allah sebab Dia bagi kita buat biskut.






Isnin, 17 September 2018

Isteri Yang Diuji

Teks: Faridah Yusof

Hati isteri mana yang tidak kecewa apabila suami masih tidak berubah perangai. Masih tidak mengurus kewangan dengan baik. Hutang buat tidak tahu. Walau sudah mengambil kaunseling di pejabat agama. Bahkan menyusahkan isteri dan anak dengan sikapnya yang sambil lewa, asyik makan dan tidur sahaja pada hari cuti. Sehingga gas di rumah dah habis pun, boleh pula nak pinjam duit isteri.

Geram pula saya bila mendengar cerita ini. Saya sendiri tidak dapat membantu untuk bagi pendapat. Hanya mampu membiarkan si isteri meluahkan rasa hatinya. Semoga lega sedikit tekanan perasaan yang ditanggungnya. Syukur, dia seorang yang positif. Bila dirudung ujian, hanya doa, Al-Quran dan zikir jadi peneman. Cuma dia berfikir, apa lagi yang perlu dia buat. Tidak mahu hanya duduk dan sabar sahaja. Apa yang boleh dia usahakan?

Saya bertanya pendapat seorang sahabat yang saya percayai. Apa yang patut wanita yang diuji ini dibantu.

Alhamdulillah, sahabat saya yang doktor ini sungguh bijak dan berpengalaman.

Mudah sahaja sahabat saya meneka situasi si isteri ini walau saya belum bercerita sepenuhnya perihal masalah suami dan isteri ini.

Dari hasil perbincangan, wanita kebanyakan dari awal mula berkahwin selalu memanjakan suami. Semua kerja di rumah dibuatnya seorang diri. Belum ada anak tidak apa, bila anak sudah ramai, diri sendiri yang terasa penat. Bila suami tidak ambil peduli hal rumah atau tentang pendidikan anak-anak, itu lebih menyakitkan hati.

Begitu juga bila suami tidak cukup duit, cepat sahaja menghulur duit. Membantu tidak salah, malah sangat bagus. Tetapi jangan dibiasakan. Sampai suatu peringkat suami tidak kuat berusaha, dia tahu isteri pasti membantu menghulur duit atau barang kemas untuk dirahnukan.

Jadi, solusi yang dicadangkan ialah isteri jangan berleter atau membebel lagi. Diam dan buat seperti biasa. Memang sakit di dalam hati. Teruslah berdoa, berzikir dan bermunajat memohon bantuan dan kemudahan dari Allah. Yang isteri perlu lakukan, bila sudah sejuk keadaan, tanyakan masalah dan ambil berat tentang suami. Dengarkan masalahnya. Memang suami ada egonya. Tetapi isteri jangan mencari salah, menyalahkan atau menambah masalah si suami. Dengar sahaja. Menjadi isteri yang diuji begini memang perlu extra sabar. InsyaAllah, Allah bersama-sama orang yang bersabar.

Sesekali, luahkan rasa kebimbangan dan biar suami pula yang berfikir mencari jalan. Kata doktor sahabat saya ini, suami si isteri ini pasti ada banyak lagi sudut baik, sebab jarang suami mahu mendapatkan kaunseling di pejabat agama. Carilah titik-titik kebaikan si suami. Bantu suami dengan terus berdoa memohon petunjuk dan hidayah dari Allah.

Sahabat saya ini turut berkongsi ada rakannya yang lebih teruk di uji. Si suami berzina berulang kali. Berzina, bertaubat. Berzina lagi. Allahuakbar. Si isteri masih mampu bersabar dan bertahan. Katanya, mungkin ujian ini untuk dia lebih dekat dengan Allah.

MasyaAllah, saya pula dapat pengajaran dari masalah orang lain. Turut belajar dan mengambil iktibar.

Untuk semua suri dan isteri di luar. Yakinlah Allah sentiasa melihat, mendengar. Yakinlah.

Ahad, 16 September 2018

Tiga Suri ber'Me Time'

Teks: Faridah Yusof

Hari ini cuti bersempena Hari Malaysia. Teringat saya kepada 'me time' bersama dua lagi suri pada malam Sambutan Kemerdekaan Malaysia baru-baru ini.

Pagi 30 hb Ogos, sahabat suri menghubungi melalui Whatsapp. Bertanya khabar dan bertanya samada malam nanti saya free atau tidak. Saya seperti biasa memang ada kelas membaca sebelah malam. Selepas kelas baru free.

Rupanya, sahabat ini merancang mahu belanja saya dan seorang lagi suri makan di luar. Kami sudah lama tidak berjumpa. Mahu 'me time' katanya.

Alhamdulillah. Selepas selesai semua urusan di rumah, para suami semua beri keizinan, kami pun jumpa di sebuah tempat makan berdekatan. Saya sampai agak lewat sedikit kerana ada ibu mahu berjumpa selepas kelas.

Alhamdulillah, kami berbual panjang, berkongsi rasa, suka duka, mengambil ibrah dari kisah dan pengalaman suri lain. MasyaAllah, kesimpulannya syurga itu mahal. Hanya dengan ihsan dan kasih sayang Allah, kita layak untuk ke syurga. Bergetar rasa di hati. Ya Allah, masih jauh untuk melayakkan diri ke sana.

Juga kami menyimpulkan dari pertemuan itu, hati kena selalu dididik untuk bersangka baik dengan semua orang. Usah lihat luaran, pakaian dan aksesori. Usah menilai orang itu baik, orang itu jahat. Nilai dan muhasabah diri itu lebih utama. Wallahu'alam.

Syukur pada Allah dan terima kasih tidak terhingga pada para suami yang beri masa untuk ber' me time'. Barulah bersemangat.

Sabtu, 15 September 2018

Doa Untuk Ibu dan Ayah

Teks: Faridah Yusof

Semasa belajar di sekolah dahulu, usatz dan ustazah memang biasa menyuruh dan mengingatkan supaya selalu mendoakan ibu dan ayah.

Sewaktu itu, sekadar mengikut arahan dan patuh kepada saranan para asatizah.

Namun, semakin meningkat usia, setelah berumah tangga, mempunyai anak dan lebih terasa selepas abah meninggal dunia, doa buat ibu bapa itu sangat memberi kesan dalam sanubari.

Dulu, doa itu sekadar lafaz di mulut dan sedikit di hati.

Sekarang, menyebut doa yang pendek itu, boleh menyebabkan air mata mengalir laju.

Benar-benar mahu Allah makbulkan doa buat emak dan abah.

Merasa segala cabaran berumahtangga, membesarkan anak-anak, mengingatkan diri begitulah agaknya mak dan abah berkorban segalanya untuk membesarkan kami lapan beradik.

Tiada yang layak sebagai balasan melainkan syurga buat keduanya.

Bila abah meninggal dunia pada tahun 2008. Saya masih lagi mengajar di Sabah. Memang tidak dapat menatap muka abah untuk kali terakhir. InsyaAllah, saya redha.

Hanya kiriman doa yang baik-baik untuk abah di sana. Mengharapkan kasih sayang Allah buat abah kerana abah telah mendidik dan berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk semua anaknya. Smoga Allah mengurniakan tempat rehat abah seperti taman-taman syurga sementara menanti hari perhitungan nanti.

Abah, kami semua bakal menyusul.

Jumaat, 14 September 2018

Mengidam Petai

Teks: Faridah Yusof

Semasa masak sambal udang untuk makan tengahari, dalam hati berbisik, sedap ni kalau ada petai.

Hanya membayang dan terbayang-bayang ada petai sambil tangan membalik-balikkan udang di dalam kuali.

Tidak lama lepas itu, suami pun sampai untuk makan tengahari. Waktu rehat tengahari, suami memang balik untuk makan. Jadi memang akan sediakan makan tengahari. Jika terlalu sibuk, terlalu  penat  atau  anak meragam dek kerana sakit, memang  tidak sempat masak lauk.

Suami buka tudung saji,  lalu  nampak  lauk  sambal udang  dan sayur kangkung goreng belacan. Saya pun mengusik,  "sedap ni  kalau ada  petai  kan? buat selera  makan".  Dia hanya  mengangguk-angguk  sahaja. Alahai,  tiada  sokongan.  Hehehe.  Tak mengapalah.

Makanlah  apa  yang  ada.  Syukur kepada-Nya  atas  nikmat makanan  dan masih boleh menikmati  makanan.  Alhamdulillah.

Maha Baik Allah. Dengan  tidak disangka-sangka, lewat  petang  jiran berikan beberapa papan  petai. Ya  Allah, rasa  seperti  mahu melompat. Katanya, menantu  bawa  balik dari Pahang.  Dapat  lagi  buah-buahan. Ada rambutan, manggis dan langsat.

Syukur  tak  terhingga. Terima kasih, ya  Allah.

Malam  itu,  sambal  udang digandingkan dengan  petai dengan jayanya. MasyaAllah. Nikmat
tak terkata. Rasa nak menagis pun ada. Sungguh tidak sangka.

Itu baru nikmat yang kecil di dunia. Bagaimana agaknya nikmat di dalam syurga?

Khamis, 13 September 2018

Duhai Suri, Berbahagialah

Teks: Faridah Yusof

Apa khabar sahabat maya hari ini? Apa khabar para ibu yang baik dan penuh kasih sayang.

Ibu, sesungguhnya makhluk yang Allah ciptakan penuh cinta dan kasih sayang pada anaknya. Marahnya juga kerana sayang. Mahu lihat anak itu menjadi yang baik-baik sahaja.

Ibu, ada masanya mengorbankan diri. Korban masa, tenaga, jiwa dan raga khusus untuk anak dan keluarga.

Namun, ibu juga manusia. Ibu juga perlu rasa disayangi, perlu sihat, perlu bersemangat, perlu masa untuk dirinya sendiri.

Beruntung para ibu di mana, suaminya selalu menyokong, memahami, memberi kecukupan material dan emosinya. Ibu boleh mengurus rumah dengan lebih efektif dan penuh bersemangat.

Realitinya di zaman akhir ini, ramai ibu yang berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran kehidupan. Ada ayah yang tidak ambil peduli dan kurang bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak. Ibu sendirian mengurus anak dan rumahtangga. Ibu tidak diberikan perhatian, tidak difahami kehendak dan keinginannya oleh pasangan hidupnya. Tiada komunikasi yang berkesan di antara suami dan isteri.

Ada ibu yang menanggung derita akibat dari pengurusan kewangan suaminya yang lemah. Si ibu terpaksa berjimat cermat dan menahan rasa mahu makan makanan yang berkhasiat. Ada masanya pula menanggung malu dengan jiran serta sanak saudara kerana tidak dapat menyumbang duit dalam acara keluarga. Jiran pula nampak bil merah di pagar, tanda bil bertunggak atau ada masanya bekalan air/elektrik terpaksa dipotong atau dihalau dari rumah sewa. Juga ada ibu yang terpaksa membiarkan barang emasnya tergadai tanpa dapat ditebus kerana tiada lagi duit di dalam simpanan. Ada juga yang terpaksa menjual aset yang ada seperti kereta atau rumah bagi meringankan bebanan kewangan yang mendesak.

Ibu mahu bekerja, mahu menyumbang kepada keluarga, malah ada yang perlu membayar balik hutang pelajaran seperti PTPTN. Namun, bila sudah mempunyai anak, ibu perlu menjaga anaknya sendiri. Ibu mahu mendidik anak sendiri pada usia emas anak. Apatah lagi bila ada anak yang diuji kesihatannya.

Maka pilihan yang mungkin ada, ibu bekerja dari rumah. Ibu bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama menjaga dan mendidik anak. Mencabar bukan? Sedangkan tugas di rumah sahaja banyak dan tidak habis-habis, ditambah pula tugas menjana pendapatan.

Di sinilah banyak cabaran yang menambah tekanan dan menganggu emosi ibu.

Ibu, yakinlah, sepanjang hidupmu itulah pelajaran dan pembelajaran yang akan mematangkan. Memohon dan bergantung harap hanya kepada Dia. Pasti kau lebih mudah menghadapi ujian dan cabaran yang mendatang. InsyaAllah tugas mendidik anak tidaklah menjadi bebanan dan tekanan buatmu kerana kau yakin Allah sentiasa ada mendengar rintihan dan rayuan serta doamu.

Salam kebahagian buat semua isteri dan ibu.

Rabu, 12 September 2018

Minyak But-But HPA

Teks:  Faridah  Yusof

Semasa kami berkelah di Teluk Batik hari tu, ada banyak tebuan. Ada yang menghurung sisa makanan di tepi pantai. Ada yang terbang dekat-dekat dengan tempat kami berkelah.
Mak mertua kibas-kibas dengan tuala kecil supaya tebuan tidak hinggap pada anak cucunya. Anak-anak yang kecil bukan tahu takut, mereka relax je tengok tebuan. Mak-mak yang risau. Berdoalah banyak-banyak dalam hati minta dijauhkan dari sengatan sang tebuan.
Sedang kami sedap mengunyah dan menikmati kesedapan ayam bakar, datang seorang pakcik dengan muka yang agak cemas.
'Dik, maaf tanya, ada bawa minyak sapu tak? Cucu saya kena gigit tebuan.'
'Ada pakcik. Sekejap ya.'
Dalam beg baju anak memang saya masukkan sebotol Minyak But-But. Sepantas kilat saya ambil dari beg dan hulurkan botol minyak kepada pakcik.
Tidak lama kemudian pakcik tadi datang semula. Dia pulangkan botol minyak But-but dan bersungguh-sungguh ucap terima kasih.
Kami nampak anak kecil yang disengat tebuan tu, belum berhenti esakannya sambil dibawa oleh salah seorang ahli keluarga ke arah tandas dan bilik air. Kata pakcik lagi, bengkak tempat kena sengat tebuan. Aduhai, kasihan si anak kecil.
Kali ini, saya pula jadi pemerhati anak-anak. Risau juga jika masih ada tebuan yang terbang dekat dengan anak-anak yang kecil. Mereka bukan tahu sengatan tebuan itu menyakitkan dan boleh jadi bahaya.
Hari sudah menjelang petang. Kami berkemas untuk balik. Ada pengunjung yang juga sedang berkemas mahu pulang. Tidak kurang juga ada lagi pengunjung yang baru sampai. Meriah sungguh suasana Teluk Batik bila ada cuti panjang seperti minggu ini.
Sebelum pakcik tadi balik, dia singgah sekali lagi di tempat kami berkelah. Mahu balik ke Selama katanya. Kali ini wajahnya nampak ceria. Dia ucap terima kasih kerana menolong. Katanya lagi bengkak di tangan sudah surut. Alhamdulillah. Syukur dan gembira mendengarnya. Didoakan anak kecil tadi sihat dan sejahtera hendak-Nya. Aamiin.

Selasa, 11 September 2018

20 Idea 'Me Time' Bajet Untuk Suri

Teks: Faridah Yusof

Bagi suri yang tiada masalah kewangan di dalam keluarga, mencari idea untuk 'me time' bukanlah suatu yang sukar. Boleh sahaja ke restoran kegemaran, pergi ke spa, ke kelas renang, berkuda atau memanah, pergi shopping dan sebagainya.

Namun bagi suri yang mempunyai bajet yang terhad, saya ada 20 idea yang mungkin sesuai untuk kalian.

1. Membaca, tadabbur Al-Quran & Hadith dan berzikir
2. Jogging, bersenam atau berjalan kaki di sekitar kawasan rumah
3. Membaca buku atau novel
4. Menulis atau membuat catatan di buku, jurnal atau blog
5. Berhubung dengan surirumah lain secara 'online' atau 'offline'
6. Berkebun secara kecil-kecilan di dalam pasu
7. Memasak menu kegemaran
8. Menjahit atau menghasilkan kraf
9. Melukis 
10. Mengambil foto :anak-anak, pemandangan, tumbuh-tumbuhan
11. Ke perpustakaan
12. Hadir ke kelas-kelas percuma di kawasan perumahan/komuniti setempat
13. Menyertai free market/garage sale/kumpulan kebajikan
14. Menyertai kumpulan facebook atau Telegram untuk kaum ibu
15. Mendengar audio/lagu kegemaran/siaran radio kegemaran
16. Rehat tanpa perlu buat apa-apa, mandi dan membersihkan diri dengan lemon/limau purut/mandian kegemaran
17. Bancuh minuman kegemaran dan nikmatinya 
18. Mencuba resepi baru
19. Mewarna 
20. Membuat refleksi diri, lihat kembali vision board, buku matlamat atau catatan peribadi

Isnin, 10 September 2018

Kenapa Perlu Ada 'Me Time'

Teks: Faridah Yusof

Kenapa para suri di rumah perlu ada 'me time'?

Ya, suri perlu ada 'me time'nya.

Saya pernah melalui fasa tekanan yang begitu menyakitkan. Terasa sayu bila teringatkan keadaan saya dahulu. Syukur alhamdulillah. Segala puji-pujian selayaknya hanya untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia telah menyelamatkan saya dari melakukan perkara yang keji.

Dengan anak ramai yang agak rapat, masalah kewangan, rasa bersendirian dan tertekan, si ibu yang lemah emosi pasti mahu segera keluar dari masalah. Jika menurut rasa hati, mahu lari dari rumah, mahu terjun dari kereta atau mahu tamatkan riwayat di dunia. Tinggallah segala masalah. Sedangkan masalah yang lebih besar sebenarnya menanti iaitu kehidupan yang hina di akhirat. Malah itulah kehidupan yang kekal. Na'uzubillahiminzalik.

Tetapi sewaktu emosi tidak tenteram dan jiwa yang sungguh kacau. Kewarasan fikiran tidak ada  untuk memandu ibu melihat hakikat yang dilalui. Mungkin doa insan lain seperti doa ibubapa, doa suami atau doa sahabat atau mungkin doa anak yang Allah sambut sebagai asbab hidayah dari Allah supaya ibu insaf dan sedar.

Alhamdulillah, dengan petunjuk, hidayah dan kasih sayang Allah, sekarang saya dapat melihat hikmah-hikmah kesusahan dan penderitaan yang saya lalui sebelum ini. Syukur, Allah memberi saya kesedaran. Saya tidak mengikut rasa hati yang sakit dan menderita.

Timbul rasa simpati dan empati bila membaca kisah ibu yang tertekan dan cuba untuk terjun dari jambatan bersama anak-anaknya. Saya menangis di dalam hati. Sungguh pedih di hati seperti melihat diri sendiri. Hanya mampu berdoa kepada Allah agar wanita tersebut diberikan hidayah dan kekuatan jiwa oleh Allah. Saya yakin, pasti ada hikmah-Nya.

Apabila ibu merasa seperti tertekan, cepat naik angin dan marah-marah kepada orang sekeliling terutama suami dan anak-anak, rasa penat, lemah dan tiada semangat, maka segeralah cari jalan untuk menghilangkan tekanan. Usahakan untuk 'me time'.

Pertama sekali, berdoa dan mengadu kepada Allah. Dia yang tidak tidur dan Maha Mendengar sentiasa ada untuk kita. Rayulah kepada-Nya dengan rendah hati dan akuilah kelemahan diri. Terus dan terus berdoa.

Cari dan berkongsi dengan sahabat yang amanah yang sedia membantu. Ini juga perlu minta dari Allah.

Ahad, 9 September 2018

Me Time

Teks: FaridahYusof

Ibu atau suri di rumah  seharian bersama anak-anak. Pelbagai karenah anak dilalui dari awal  pagi  sehingga malam. Ada masanya, waktu malam  juga perlu bangun dan berjaga untuk memantau anak yang kurang  sihat. Ibu selalu mendahulukan keperluan anak-anak sehingga ada masanya  keperluan dan diri ibu sendiri terabai.

Tugas  ibu yang banyak  dan tidak habis-habis memang memenatkan. Itu belum lagi termasuk tugas  sampingan  ibu menjana  pendapatan  dari  rumah. Tidak  kurang hebat stress dan  tekanannya. Jika  ibu  tidak mengawal dan mengurus rasa dan fikiran  dengan baik,  ia boleh membawa kepada situasi  yang  kurang  baik  kepada diri  dan emosi ibu.Seterusnya akan memberi kesan kepada anak-anak dan keluarga.

Lebih memeritkan dan mencengkam jiwa, apabila ibu juga menanggung derita emosi dari suami yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan.

Ada ibu yang merasakan  diri  tidak  berguna dan  tidak  hebat  seperti  rakan-rakan  mereka  yang  lain. Ibu merasa rendah dan kurang keyakinan  pada diri apabila tidak dapat  buat banyak  perkara melainkan mengurus rumah dan  anak-anak  sahaja.

Maka ibu  perlu mempunyai 'me  time'.

Apakah itu  'me time'?

'Me  time'  merujuk kepada masa yang  digunakan untuk diri  sendiri, berhenti sebentar dari  tugasan yang rutin  dan biasa dilakukan  setiap hari.  Bagi seorang ibu, 'me time' dapat dinikmati apabila anak  tidur atau selepas suami berehat sebentar setelah pulang dari bekerja atau pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.

'Me time'  ini penting bagi seorang ibu. Ia dapat membantu  ibu meredakan tekanan sekali gus dapat memulihkan semangat dan emosi ibu setelah penat mengurus rumahtangga.

Setelah ibu dapat meredakan tekanan dan kepenatan, ibu akan kembali ceria, bersemangat bahkan menjadi kreatif dalam menguruskan rumahtangga.

Sabtu, 8 September 2018

Berkelah di Teluk Batik

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Seronok dapat berkelah di Teluk Batik kali ini.

Anak-anaklah yang paling seronok dan ceria dapat bermain pasir, air dan berkelah.

Pagi-pagi lagi sudah bersiap untuk ke pantai.

Untuk menu kali ini, kami bawa bihun goreng, salad, ayam yang diperap untuk dibakar, buah jambu batu, air roselle homemade dan yang paling diminati ramai, kek fruit pastry.

Mak mertua pula bawa nasi, ayam yang siap diperap untuk dibakar, sambal bilis petai, telur rebus dan air kopi.

Memang ramai orang di Teluk Batik apabila ada cuti panjang. Kami sampai awal untuk mencari tempat yang sesuai untuk bakar ayam.

Selepas cari tempat yang sesuai, anak-anak sudah mahu makan. Sambil suami menyediakan tempat untuk membakar ayam.

Baru menjamah sedikit makanan, hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya. Mujur kami dekat dengan pondok. Orang ramai berpusu-pusu mahu mencari tempat berteduh. Lengang seketika pantai yang tadinya penuh dengan orang ramai.

Selepas hujan reda, kami sambung berkelah dan bakar ayam semula. Perut yang kelaparan terisi akhirnya. Alhamdulillah. Nikmat sungguh.

Jumaat, 7 September 2018

Mencuba Resepi Kek Fruit Pastry Yang Viral

Teks: Faridah Yusof

Beberapa hari yang lalu, banyak kali melintas di Facebook tentang Kek Fruit Pastry. Viral sungguh. Memang kelihatan menarik dan mengiurkan buah-buahan citrus seperti strawberry, peach, blueberry, plum di bahagian atas kek.

Ada post yang beserta resepi. Timbul keinginan mahu mencuba kerana tidak terlalu rumit cara menyediakannya.

Ini resepi dari Facebook seorang rakan. Resepinya juga diambil dari sahabatnya.

Resepi terbaik dari chef Ainie Syeema ... wajib cuba tau gerenti puas hati. ini knisa dah taip resepinya selamat mencuba
Resepi Fruits Pastry Cake
100gm butter (knisa guna salted) tak lembik tak keras sedang2 saje
160gm gula kastor
100gm sour cream (knisa guna 120gm)
3 biji telor
1 tsp vanila essence
1 tsp parutan lemon (akak guna 1 sudu besar)
210gm tepung gandum ayak
1 tsp baking powder ayak bersama
buahan2 citrus - strawberry, peach, plum, blueberry, kiwi - basuh bersih
caranya
1. Pukul butter dan gula kastor sehingga creamy (bertukar warna putih)
2. Masukkan telor satu persatu pukul sehingga sebati sahaja tak perlu lama
3. Masukkan pula vanila essence dan parutan lemon kacau lagi guna spatula sahaja
4. Tepung gandum yang telah diayak bersama baking powder dimasukkan sedikit demi sedikit guna spatula kaup balik sahaja sehingga sebati dan akhir sekali baru masukkan sour cream dan kacau sebati.. tuang ke atas loyang 8 inci yang telah diglis dan dilapik dgn parchment paper.
5. sebelum tu panaskan oven api atas bawah suhu 160c selama 15 minit
6. Bakar lebih kurang 45 minit.. (akak bakar dlm 60 minit) boleh test dgn cucuk lidi pada kek.
7. kek dah sejuk boleh tabur snow powder atasnya.
Tadi, suami maklumkan mak, apok dan adik ipar akan datang ke rumah esok dan mahu berkelah di Teluk Batik. Yeah. Bolehlah buat kek ini sebagai pemanis mulut sambil berkelah. 

Khamis, 6 September 2018

Emak Sudah Pulang dari Mekah.

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Mak telah selamat sampai di Melaka semalam. Syukur, akhirnya mak selesai menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.

Syukur tidak terhingga kepada Allah kerana merealisasikan impian emak dan kami adik beradik. Walaupun pada awalnya emak berkemungkinan besar tidak dapat menunaikan ibdah haji pada tahun ini di atas masalah kesihatan.

Doktor suspek kanser ataupun TB. Alhamdulillah, setelah menjalani penilaian dan pemeriksaan doktor, akhirnya emak disahkan tiada sel kanser atau TB. Penyakit emak dirujuk sebagai 'chronic lung diseases'.

Adik kelima yang berkerja sebagai jururawat, bila melihat dokumen x-ray paru-paru emak, dia sendiri berkata memang agak teruk keadaan paru-paru emak.

Kami merelakan pemergian emak dengan perasaan yang berbaur. Sedih walau gembira emak dapat menunaikan haji. Hanya kepada Allah kami serahkan segalanya. Hanya mampu berdoa dari jauh. Mudah-mudahan segala urusan ibadah mak berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Kerap kali sepanjang emak di Madinah dan Mekah, ada adik yang menghubungi emak samada melalui Whatsapp atau video call dan akan memaklumkan adik-beradik lain di dalam group Whatsapp adik beradik. Saya kira nikmat ini sangat besar berbanding para jemaah haji pada 20/30 tahun dahulu. Bukan mudah dapat terus berhubung dan bertanya khabar dari kejauhan. Alhamdulillah.

Rindu nak balik Melaka untuk berjumpa emak dan mendengar pengalaman mak menunaikan ibadah haji. InsyaAllah, semoga Allah beri keizinan dan kemudahan. Anak emak yang sulung ini jauh di Perak dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Rabu, 5 September 2018

BIla Si Kecil Cirit Birit

Tek: Faridah Yusof

Kasihan tatkala melihat anak yang kecil merengek kesakitan.

"Sakit perut, mama".

Malam tadi, katanya ayahnya sudah buang air besar. Cirit. Habis bantal dan tilam terkena najis. Maka pagi ini, tugas membersihkan bertambah.

Beri dia minum madu dan air suam, sapu minyak di perut. Nampak dia tenang. Peluk dan cium, serta mendoakan dia dikurniakan kesembuhan dan kesihatan oleh Allah.

Waktu anak kurang sihat, memang mereka lebih manja dan mahu mendekat dengan ibunya sahaja. Jadi, ibu mengalah beri penuh perhatian dan masa kepada si anak.

Buat kerja yang boleh duduk di sekitar anak. Membaca, membalas pertanyaan pelanggan di telefon dan post iklan dan maklumat walau terpaksa berhenti banyak kali.

Bila dia tidur, dengan pantas menyelesaikan tugas yang lain.

Tabahlah duhai ibu, ada pahala ibadah bagi pekerjaanmu yang kau niatkan kerana Allah. Dia yang tidak pernah tidur melihat segala usahamu. Ini dugaan kecil buatmu.

Semoga sihat sejahtera hendak-Nya. Aamiin.

Selasa, 4 September 2018

'Me Time' di Petang Hari

Teks: Faridah Yusof

Petang-petang selepas selesai kelas membaca, jika tiada urusan lain, saya akan menyertai sembang petang bersama jiran.

Saya kira ini salah satu sesi 'me time' saya.

Seronok dapat duduk berkumpul berbual dan berkongsi cerita. Yang penting bukan cerita hal orang atau membawang.

Selalunya ada tips-tips, petua dan kisah pengalaman diri yang dikongsikan oleh sahabat jiran yang lebih veteren dan berpengalaman.

Juga ada cerita tentang menu masakan. Ini memang seronok. Lain negeri lain cara memasak atau penyediaannya.

Ada kisah-kisah lucu dan kelakar yang cukup menghiburkan.

Biasanya bila nampak sudah mahu gelap, masing-masing beransur pulang ke rumah masing-masing.

Isnin, 3 September 2018

Ajak Anak Belajar Kitar Semula Kertas

Teks: Faridah Yusof

Di rumah ini, kertas memang banyak digunakan. Kertas putih untuk melukis, mewarna, menconteng. Kertas berwarna untuk buat kraf, origami. Kertas surat khabar dan pamplet iklan yang selalu dapat di peti surat untuk aktiviti menggunting. Jadi, memang banyak kertas. Itu belum masuk buku tulis, buku yang koyak dan sudah rosak.

Jadi kami memang kumpul dan jual kepada lori yang selalu lalu di depan rumah. Campur lagi barang-barang kitar semula yang lain, ada masa dapat RM 15, ada juga dapat RM 20. Pernah juga dapat RM 48.

Baru-baru ini, lori yang selalu beli barangan kitar semula tu, asing-asingkan kertas dari satu plastik besar yang kami bagi. Saya perhatikan sahaja. Akhirnya dia kata, kalau hantar terus satu plastik macam ini ke tempat kitar semula, mereka tidak ambil. Itu sebab mereka asing-asingkan.

Dari situ, saya belajar. Ada beberapa kategori untuk asingkan. Jadi, untuk kumpul kertas seterusnya, saya tulis pada plastik untuk letak kertas yang sudah tidak dipakai lagi mengikut kategori.

1. Kertas putih
2. Kertas berwarna
3. Kertas Surat khabar
4. Buku koyak/rosak
5. Kotak

Saya tunjukkan kepada anak-anak supaya mereka tahu plastik yang mana satu untuk masukkan kertas yang mahu dikitar semula.

Ahad, 2 September 2018

Tempah Penanda Buku Dari Anak

Teks: Faridah Yusof

Apabila seorang ibu membaca buku sambil melayan anak, memang selalu terpaksa berhenti-henti membaca. Baru nak sambung baca, anak mahu itu dan ini. Jadi, berhentilah sekejap.

Membaca buku sendiri, saya lipat sahaja di hujung muka surat. Tapi bila baca buku yang dipinjam dari perpusatakaan, rasa bersalah pula nak lipat.

Biasanya saya akan guna penanda buku. Kebanyakan penanda buku yang saya ada pula jenis sekeping yang menegak. Jadi selalu juga penanda buku itu tercicir dari muka surat yang dibaca. Hmm.

Satu hari tu, kami tengok vedio klip kraf untuk penanda buku dari kertas. Lipat-lipat jadi penanda buku yang boleh disangkut pada hujung buku. Nampak lebih best dari penanda buku yang tegak biasa tu.

Anak yang sulung memang suka kraf yang guna kerats dan lipat-lipat macam origami. Dia tengok dan cuba buat. Menjadi. Maka saya pun menempahlah dengan anak. Murah je dia jual. Satu dua puluh sen sahaja. Alhamdulillah.



Sabtu, 1 September 2018

Selamat Datang September

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Hari ini sudah 1 September 2018.

Katanya sudah bermula SST menggantikan GST. Macam-macam yang diperkatakan oleh rakan facebook. Tapi, nak turut berbincang, diri sendiri pun belum sempat hadam isu SST ini. YAng pasti, semalam terbaca di satu post fb, buku tidak dikenakan SST. Alhamdulillah.

Tinggal 3 bulan menuju 2019. Impian untuk menulis masih membara. Masih berusaha.

Sedar diri tidak banyak ilmu dan kemahiran dalam bidang penulisan. Pengalaman juga tiada. Hanya kepada Allah tempat memohon. Mudah-mudahan Allah perkenankan hajat yang satu ini. Aamiin.

Tadi sempat singgah ke kedai buku semasa menemani suami ke pasaraya AEON. Puas rasa dapat menatap dan membaca tajuk dan sinopsis buku-buku baru. Membakar semangat untuk menulis. Walaupun tidak membeli sebarang buku, jiwa rasa ceria dan bahagia berada di antara celah-celah rak buku. Mengumpul semangat dan motivasi untuk turut berusaha. InsyaAllah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...