Sabtu, 10 September 2016

Balik Kampung

Teks: Faridah Yusof

Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya 'Aidiladha. Pasti ramai yang mengambil peluang untuk berhari raya di kampung. Termasuklah kami.

Setiap kali mahu balik kampung, perkara yang mencabar adalah untuk mengemas beg pakaian dan barang-barang keperluan. Saya suka mengemas pada awal pagi, lebih tenang kerana tiada gangguan. Namun, ada juga waktunya, terbabas masa. Maka, terpaksalah saya mengemas dengan anak-anak aktif. Memang huru-hara. Beg balik kampung dijadikan sampan dan tempat bermain. Baju yang sudah diasingkan, di campur semula. Proses mengemas menjadi lebih panjang.

Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan ada barang yang tertinggal, saya pasti menulis senarai semak. Jadi mudah untuk saya untuk membuat semakan barang-barang yang perlu disediakan.
Antara barangan yang kami mesti bawa setiap kali pulang ke kampung ialah Mesin Ionizer Kangen. Mudah dibawa dengan memasukkannya ke dalam kotak. Selain itu, buku-buku bacaan dan buku menconteng anak tidak dilupakan.

Saya ambil kesempatan untuk ucapkan selamat pulang ke kampung buat sahabat-sahabat. Semoga kita semua dapat manfaatkan masa bersama keluarga dan sanak saudara dan mengeratkan silaturrahim. Banyakkan berdoa di sepanjang perjalanan kerana antara doa yang mustajab adalah doa ketika bermusafir.

Jumaat, 9 September 2016

Kelebihan Mengajar Sendiri Anak Membaca Di Rumah.

Teks: Faridah Yusof

Mengajar anak kecil membaca di rumah ada cabarannya. Namun, ibu atau ayah yang mengajar anak mereka di rumah mempunyai kelebihan tersendiri.

1. Ibu atau ayah lebih mengenali anak.

Ibu atau ayah tentunya lebih memahami corak atau cara belajar anak. Adakah anak jenis aktif, pasif, mudah belajar dari lagu atau video, suka pergerakan dan sebagainya. Dengan mengetahui corak atau cara belajar anak, ibu atau ayah dapat memberikan dorongan atau sokongan yang sewajarnya kepada anak dalam membantu mereka belajar membaca.

2.  Fokus pembelajaran kepada anak sahaja.

Berbanding di sekolah, guru perlu mengajar kepada ramai murid. Manakala di rumah, ibu atau ayah boleh memberi tumpuan dan fokus kepada anak. Pembelajaran juga dapat disesuaikan mengikut keadaan anak pada waktu itu. Sebagai contoh, jika anak kelihatan penat, maka sesi membaca dipendekkan dan boleh disambung semula esok. Sebaliknya, jika anak bersemangat untuk membaca berikan mereka peluang dan sokongan untuk mereka terus membaca. Walau bagaimanapun, pembelajaran yang santai dan bersahaja di rumah dapat dilaksanakan setiap hari dalam tempoh yang singkat tetapi berterusan adalah lebih baik.

3. Memberi contoh yang baik kepada adik beradik yang di bawahnya.

Sekiranya kakak atau abang belajar membaca di rumah, adik di bawah mereka pasti teruja untuk mengikut dan meniru aksi kakak atau abang mereka. Sambil ibu atau ayah mengajar anak membaca, adik yang masih kecil juga memasang telinga dan memerhati. Apabila, tiba usia yang sesuai untuk mereka belajar membaca, mereka selalunya lebih mudah membaca.


Khamis, 8 September 2016

5 Tips Atasi Hilang Sabar Terhadap Anak.

Teks: Faridah Yusof

Apabila anak buat sesuatu yang menyebabkan kita sebagai ibubapa  geram dan hilang sabar,  tips berikut boleh digunakan:

1. Duduk dan tarik nafas dalam - dalam.  Segera istighfar sebanyak-banyaknya. Tenangkan diri dan jadi cool sehabis boleh. Bayangkan muka kita lebih cantik atau kacak apabila kita tenang dan cool.

2. Kenang kembali zaman kita semasa usia anak. Kita juga belum matang  pada usia seperti mereka. Kenangkan juga ayah dan ibu yang sabar mendidik kita. Entah-entah,  perangai kita lagi teruk dari perangai anak kita. Hehehe.

3. Cepat - cepat lihat gambar-gambar anak semasa mereka bayi. Aduhai,  pastinya comel dan buat kita tersenyum melihat gambar mereka. Hilang rasa mahu marah.  Muncul rasa kasih dan sayang. Boleh jadi, kerana didikan atau kesilapan kita juga yang menyebabkan anak bersikap begitu. 

4. Sentiasa beri maaf dan tunjuk ajar. Mendidik anak-anak adalah proses yang berterusan. Anak-anak memerlukan kita sebagai contoh dan tauladan paling dekat.

5. Lihat segala yang baik dan positif pada anak. Cuba kenang sesuatu yang baik tentang anak. Pasti ada. Besarkan kebaikan itu berbanding kekurangan atau kelemahannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...