Jumaat, 18 September 2015

Perkongsian dari Ustazah Norhafizah Musa di Program Baiti Jannati Siri 2 - sambungan

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah.

Baik, saya sambung lagi perkongsian Ustazah Norhafizah tentang pengalaman beliau bersama pelajar dari Malaysia ketika berada di Jepun untuk suatu program dan bagaimana ustazah melihat bahasa dapat mempengaruhi seseorang.

Ustazah melihat, anak muda ini sangat disenangi oleh orang-orang Jepun yang dia temui. Ada makcik yang begitu menyenanginya sehingga dipeluknya pelajar tersebut. Anak muda tersebut belajar bahasa dan peradaban Jepun. Dari pemerhatian ustazah, jika seseorang menguasai sesuatu bahasa, ia dapat mempengaruhi karakter seseorang.

Berkaitan dengan Bahasa Arab, selain ia adalah Bahasa Al-Quran, pada pandangan ustazah, ia boleh mempengaruhi seseorang untuk bersifat halus dan mudah memahami orang lain. Selain itu, kekuatan Bahasa Arab pula, pendek ayatnya tetapi jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, panjang ayatnya.

Ok, nanti saya sambung lagi.

Khamis, 17 September 2015

Perkongsian dari Ustazah Norhafizah Musa di Program Baiti Jannati Siri 2

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah.

Hati saya berbunga-bunga gembira dapat menghadirkan diri ke Program Baiti Jannati- Siri 2 yang diadakan di Dewan IKM Manjung pada hari Rabu, 16 September 2015 bersamaan 2 Zulhijjah 1436H. Syukur kepadaNya diatas izinNya jua dapat saya mendengar ceramah dari ustazah kesayangan ramai, Ustazah Norhafizah Musa.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada suami yang kebetulan bercuti pada hari tersebut sempena cuti umum Hari Malaysia. Beliaulah yang memberi keizinan, menghantar saya ke IKM dan kemudian menjaga anak-anak di rumah. Saya doakan Allah membalas jasa baiknya di syurga kelak.

Alhamdulillah.

Semasa memulakan sesi ceramah, Ustazah Norhafizah Musa meminta semua hadirin untuk bersama-sama mengungkapkan ALHAMDULILLAH. Kata beliau, ucapkan Alhamdulillah sebab Allah telah memilih kita untuk hadir ke majlis ilmu.

Ustazah kelahiran Jempol, Bahau, Negeri Sembilan yang berusia 40 tahun ini, dikurniakan 8 orang cahaya mata, 4 lelaki dan 4 perempuan. SubhanAllah. Beliau yang mendapat pendidikan di peringkat Sarjana Muda di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Sastera Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Seterusnya beliau menyempurnakan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Sekarang sedang menyempurnakan pengajian di peringkat PHD. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur dan mempunyai kemahiran khusus di dalam Psikoterapi Dakwah & Pembangunan Insan. 

Kemudian ustazah ditanya oleh moderator majlis bagaimanakah bentuk didikan yang diterima ustazah sehingga ustazah sampai ke peringkat sekarang.

Ustazah mengucapkan syukur dan terima kasih kepada ibu dan bapa ustazah yang telah memberi didikan kepada beliau.


1. Ditanamkan cinta Al-Quran bukan setakat tahu membaca

Ibu ustazah menanamkan perasaan suka dan cinta kepada Al-Quran bukan setakat tahu membaca. Dari umur 3 tahun, ustazah sudah diperkenalkan kepada Al-Quran tanpa mengira masa dan tempat. Tidak kira pagi, petang atau malam. Tidak kira tempat walaupun di dapur. Di dapurlah tempat ustazah paling takut. Kemudian, ustazah khatam Al-Quran pada penghujung umur 5 tahun. Kemudian masuk Darjah 1(7 tahun), sudah belajar taranum. Maknanya, belajar Al-Quran tidak berhenti.  Darjah 5 (11 tahun), ustazah belajar Bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran. 
Sehingga Ustazah ada menyebut, 'mak ni, sikit-sikit Al Quran". Ustazah yang masih kecil ketika itu, merasa rimas. Namun, menurut ustazah, pada usianya 20 tahun, ustazah merasa syukur di atas asbab ibu dan ayah ustazah buat begitu.

Oleh sebab itu, ustazah berpesan, sekiranya anak-anak menunjukkan rasa kurang senang apabila ibu dan ayah mendidik, usah bimbang. Teruskan mendidik dan insyaAllah lagi 20 tahun, mereka akan bersyukur dan tidak tahu bagaimana nak ucapkan terima kasih kepada ibu dan ayah.

2. Sangat kurang hiburan

Di rumah ustazah hanya ada televisyen yang kecil. Walaupun pada awalnya ayah sudah beli televisyen yang besar. Kemudian ayah ustazah pergi semula ke kedai dan tukar kepada televisyen yang kecil. Bahkan untuk menonton televisyen juga syaratnya 'volume' juga sangat perlahan. Ayah ustazah bimbang, hiburan-hiburan akan melalaikan anak-anak.

Ustazah berpesan, untuk anak-anak yang sedang menuntut ilmu, perlu kurang hiburan. Ilmu bersifat sebagai cahaya. Fikiran dan hati perlu bersih.

3. Penekanan Bahasa Arab

Ayah ustazah, seorang guru Bahasa Arab. Beliau sangat menekankan anak-anak belajar Bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa asas untuk anak-anak pelajari biar apa juga cita-cita atau kerjaya anak-anak.

Pada pendapat Ustazah, bahasa boleh mempengaruhi anak-anak walaupun tiada kajian mendalam tentang pengaruh bahasa terhadap karakter atau perangai seseorang. Sebagai contoh, jika seseorang fasih dalam Bahasa Inggeris, dia bersifat lebih yakin dan berani. Manakala menurut ustazah, Bahasa Arab juga dapat mempengaruhi anak-anak kerana Bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran.

InsyaAllah saya akan kongsikan nanti kisah pengalaman ustazah bersama anak muda dari Malaysia ketika ustazah berada di Jepun.

Rabu, 16 September 2015

Sudah Lebih Hari

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Semalam, 15 September 2015 bersamaan 1 Zulhijjah sepatutnya hari jangkaan bersalin. Namun, belum ada sebarang tanda saya akan bersalin.

Alhamdulillah.

Saya yakin dengan perancangan dan ketentuan Allah.

Oleh kerana saya belum bersalin, jadi pagi ini saya berpeluang menghadiri Program Baiti Jannati yang sememangnya saya teringin mahu hadir. Saya mahu mendengar secara lansung ceramah dari ustazah kesayangan ramai, Ustazah Norhafizah Musa.

Lewat malam 15 September , saya menghantar pesanan ringkas melalui Whatsapp kepada salah seorang AJK penganjur untuk bertanya sekiranya saya boleh datang mendaftar secara 'walk in' ke program tersebut. Alhamdulillah. boleh katanya. Walaupun peserta yang mendaftar sudah mencapai 800 orang, namun pihak penganjur masih membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk hadir. Mereka memaklumkan cuma dapat duduk di lantai beralaskan tikar.

Alhamdulillah. Suami menghantar saya ke tempat program. Ramai dan penuh dewan. Pada awalnya saya duduk di lantai beralaskan tikar. Namun, sebelum ceramah Ustazah bermula, ada beberapa kerusi kosong berdekatan tempat saya duduk.

InsyaAllah, nanti saya kongsikan catatan saya dari ceramah Ustazah Norhafizah. Memang sangat menarik apa yang Ustazah sampaikan.

Selasa, 15 September 2015

Jerebu

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Kebanyakan negeri di Malaysia dilanda jerebu semenjak dua tiga hari yang lalu.

Biarpun hujan turun, jerebu masih lagi menyelubungi kebanyakan bandar utama termasuk tempat kami, Manjung.

Cuaca mendung namun terasa panas dan perit di tekak. Mata juga terasa pedih.

Dalam cuaca begini, anak-anak memang tidak beraktiviti di luar. Banyak aktiviti di dalam rumah sahaja.

Amalkan meminum air dengan kuantiti yang banyak, iaitu 8 gelas air sehari supaya air yang mencukupi dapat membekalkan oksigen dan bendalir di dalam badan.


Bagi anak-anak yang tidak gemar minum air, boleh buatkan sup ayam atau sup sayur. Kurangkan garam dan tidak perlu ditumis. InsyaAllah pasti mereka menggemarinya.

Seperti menu makan malam kami hari ini, sayur cendawan dan sawi masak air. Tidak ditumis, hanya perlu hirisan bawang merah, bawang putih dan air. Didihkan, kemudian masukkan cendawan tiram. Kemudian masukkan sawi dan telur. Secubit garam.

Alhamdulillah, licin.






Isnin, 14 September 2015

Berbual Dengan Bayi Dalam Kandungan

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Ibu dan ayah yang bakal menerima cahaya mata atau mempunyai anak kecil perlu rajin bercakap-cakap dengan anak kecil mereka.


Ibu dan ayah boleh mula bercakap-cakap sejak bayi mereka dalam kandungan lagi. Kajian menunjukkan bercakap-cakap dengan bayi di dalam kandungan membantu perkembangan otak bayi untuk kemahiran bahasa dan pendengaran. 
Menurut Puan Nik Eliani, pengasas dan penulis buku Set Bacalah Anakku Kaedah Fonik, bayi dalam kandungan mula mendengar bermula umur 5 bulan dan lebih peka pada waktu malam di antara pukul 8 hingga 12 malam (waktu paling baik untuk meransang bayi dalam kandungan). Beliau dan suami lebih kerap berbual-bual dan mengusap bayi mereka apabila kandungan berumur 8 bulan. Pada usia kandungan tersebut, berat otak bayi bertambah dua kali ganda yang menunjukkan bilangan sel-sel otak dan pertumbuhan dendrait yang pesat.

Bayi dapat mendengar degupan jantung ibu, bunyi perut ibu yang sedang berkeroncong kelaparan dan juga bunyi dari luar.


Kajian Sains juga menunjukkan bayi dalam kandungan memberi respon dengan menendang atau bergerak apabila mendengar bunyi muzik, suara ibu atau bunyi yang terlalu kuat. Terdapat juga kajian yang mengukur degupan jantung bayi apabila mendengar rakaman sajak yang dibacakan oleh ibu mereka.


Bunyi suara ibu antara bunyi yang selalu didengar oleh bayi dan bayi akan merasa selesa mendengar suara ibu apabila lahir kelak.


Apa yang perlu dibualkan?


Berbuallah dengan pelbagai nada dan intonasi dengan bayi. Berceritalah tentang aktiviti yang ibu lakukan, perasaan ibu atau apa sahaja yang ibu ingin katakan. Ibu atau ayah juga boleh bacakan cerita, membaca ayat-ayat Al-Quran, zikir, selawat, menyanyi lagu kanak-kanak dan sebagainya.


Biarpun bayi tidak memahami apa yang ibu dan ayah bacakan, katakan dan nyanyikan kepada mereka, namun menurut kajian, bunyi suara ibu terutamanya membuatkan bayi teruja.


Saya masih ingat sewaktu mengandung anak ketiga, saya kerap membaca Al-Fatihah pada waktu malam sambil memegang perut. Setelah bayi lahir, apabila saya bacakan Al-Fatihah, matanya memandang ke arah saya dan mulut saya, seolah-olah mengamati apa yang saya bunyikan.


Usap perut dari bawah ke atas dengan lembut, sebaik-baiknya ketahui kedudukan badan anak. Gosok persekitaran perut dengan perlahan.

Usap dengan lembut sambil ibu berkata-kata dengan perlahan. Apabila anda merasa bayi bergerak, balaslah dengan sentuhan dan usapan penuh kasih sayang. Ada kalanya ibu dapat merasa bayi bertindak balas/memberi respon terhadap sentuhan yang diberikan. Ia seperti satu ikatan mesra yang terbina antara bayi dan ibu sejak dari dalam kandungan. Juga pastinya ibu dan ayah teruja, melihat pergerakan bayi seperti bonjolan tajam yang bergerak di dalam perut.

Di Malaysia, belum ada kajian yang terperinci tentang kesan bercakap atau berbual dengan bayi di dalam kandungan menjadikan bayi tersebut seorang yang pintar dan bijak kelak.

Namun, seringkali saya mendengar nasihat kepada ibu yang kandungannya sonsang untuk berbual, bercakap dan memujuk bayi sambil mengusap perut supaya bayi mengubah kedudukannya kepada kedudukan normal. Setakat mana kebenarannya, tidak dapat disahkan.

Selain itu, bagi ibu Muslim, sangat digalakkan untuk membaca Al-Quran, berzikir dan selawat sepanjang tempoh kehamilan. Walaupun tidak dapat disahkan secara saintifik, namun saya percaya, dengan membaca Al-Quran, zikir dan selawat, emosi ibu lebih tenang dan stabil, menjadikan degupan jantung ibu juga stabil, maka anak yang di dalam kandungan juga dapat membesar dengan tenang dan baik. Wallahu'alam.

Ahad, 13 September 2015

Aktiviti Menggunting

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Syukur di atas segala nikmat dari Allah.

Hujung minggu biasanya aktiviti tertumpu kepada keluarga, memenuhi undangan kenduri atau ke perpustakaan.

Namun keadaan diri yang semakin sarat dan sesekali terasa seperti 'contraction' menyebabkan saya hanya duduk di rumah sahaja. Hanya suami dan anak perempuan sahaja yang memenuhi jemputan kenduri.

Sambil menemani anak yang kecil bermain, saya membaca dan memerhatikannya. Anak berusia dua tahun mahu berdikari. Dia mahu mencuba sendiri sebagai contoh mahu menggunting. Tidak diberi gunting, menangis kuat seperti satu taman boleh dengar suaranya.

Akhirnya, saya mengalah dan memberikannya gunting dan beberapa helai kertas. Seronok dia menggunting. Macam-macam gaya dia menggunting. Memang bersepah-sepah cebisan kertas yang telah diguntingnya.

Aktiviti begini perlu pengawasan orang dewasa. Biasanya setelah bosan menggunting kertas, benda-benda lain juga akan cuba digunting seperti kain, rambut, tudung, daun-daun. Semua benda mahu digunting.

Juga perlu kesabaran yang tinggi kerana rumah akan bersepah-sepah. Namun demi memberi peluang kepada anak untuk melatih kemahiran motor halusnya.

InsyaAllah, sekarang sudah boleh memegang gunting dan menggunting.


Aktiviti manipulasi untuk membina kemahiran motor halus untuk anak kecil 2 tahun.
●memotong menggunakan gunting.
●mengoyakkan kertas menjadi cebisan kecil
●menampal

Jumaat, 11 September 2015

Debaran Ibu Hamil

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah. Salam Jumaat.

Alhamdulillah. Beberapa hari lagi insyaAllah menghampiri ke tarikh jangkaan bersalin.

Perasaan saya ketika ini? Sungguh berdebar-debar. Biarpun ini adalah kandungan yang kelima, insyaAllah kelahiran yang keempat.

Proses bersalin boleh menjadi satu tempoh yang pendek atau panjang. Saya hanya berserah kepadaNya. Serah sebulat-bulatnya.

Persediaan dari segi mental dan fizikal penting. Saya banyak mencari buku dan bahan bacaan tentang kehamilan, bersalin, penyusuan susu ibu, berpantang, kesihatan ibu dan anak selepas kelahiran. Ini hanya sebagai pengetahuan dan persediaan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kebanyakan buku-buku ini saya beli semenjak saya mengandung anak pertama. Alhamdulillah. Buku-buku ini sangat bermakna dan banyak membantu saya untuk bersedia.






Antara buku-buku yang menjadi rujukan saya:

1. Buku Panduan Lengkap Penjagaan Ibu & Anak, Elizabeth Fenwick, Sasbadi
2. Ensiklopedia Perbidanan Melayu, Anisah Barakbah
3. Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu, Dr Faridah Idris
4. Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda, Nazirah & Zaharah
5. Detik Kelahiran Si Permata Hati, Mazneera
6. Mengatasi Masalah Hamil & Kelahiran, Zuhriah
7. Soal Jawab Kehamilan, Dr Fauziah
8. Penjagaan Ibu Hamil Sebelum, Semasa, Sesudah & Pantang Larangnya, Pn Amina
9. Pedoman Amalan Ibu Mengandung, Nur Asyikin
10. Diari Hamil Menanti Detik Keindahan Bersama, Panduan Lengkap Kehamilan

Selain itu, saya juga selalu berbincang dengan doktor berkenaan kesihatan diri dan bayi di dalam kandungan pada setiap kali perjumpaan.

Alhamdulillah, kandungan kali ini saya tidak menghidap 'Diebetes' seperti kandungan keempat. Namun, saya masih berhadapan dengan HB yang rendah. Alhamdulillah, doktor sentiasa memberikan nasihat dan sokongan bagi mengatasi masalah ini.

Bagi ibu-ibu yang ingin mendapatkan buku Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu hasil tulisan Dr Faridah Idris dan buku Diari Hamil Menanti Detik Keindahan Bersama, Panduan Lengkap Kehamilan, boleh dapati di https://www.facebook.com/KedaiSerbanekaMama atau hubungi saya terus di 0136735893.









Khamis, 10 September 2015

Memikat Selera Anak Dengan Labu Manis

Teks & foto : Faridah Yusof




Bismillah.
Labu oh labu.
Labu yang biasa kita temui di pasar dikenali sebagai labu manis.
Labu adalah antara makanan kegemaran anak-anak saya. Memang tidak cukup nasi, bila saya masak lemak labu. Tambah telur goreng sahaja pun sudah cukup lauk untuk hari tersebut.
Pelbagai menu makanan boleh dihasilkan dari labu seperti masak lemak labu, kek labu, muffin labu, bengkang/ bingka labu, puding labu, cucur labu, bubur labu, donut labu, kuih keria labu, kerepek labu dan macam-macam lagi.
Labu mengandungi kandungan antioksida yang tinggi dan kaya dengan vitamin.

Labu yang direbus, dilenyek dan ditapis boleh diperkenalkan kepada anak kecil selepas usia 6 bulan ke atas. Tidak perlu dicampur gula atau garam. Boleh dicampur sedikit dengan susu ibu untuk mencairkan teksturnya. Pasti bayi anda gemar akan rasanya yang manis secara semulajadi.

Oleh kerana, labu yang kami beli agak besar saiznya, saya bercadang untuk membuat  bingka labu selain menu utama masak lemak labu.

Alhamdulillah, ada resepi yang ringkas dan mudah untuk bingka labu. Bahan-bahan lain juga ada di rumah.

Anak-anak sudah tidur, maka bolehlah saya menyediakan bingka labu untuk sarapan esok.

Resepi Bingka labu mudah
Bahan-bahan:

2 biji telur
2 cawan santan
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat
1/2 sudu kecil garam
1 sudu teh vanila
2 sudu besar butter
2 cawan tepung gandum tanpa peluntur
2 cawan labu yg telah direbus dan dilecek.
Bijan putih dan hitam untuk hiasan.

Cara:
Satukan dan gaul sebati semua bahan kecuali labu.
Kisar dalam pengisar pun boleh.
(Untuk di rumah, santapan anak-anak, gaul dengan tangan sambil selawat dan doa-doa yang baik bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan)
Kemudian satukan labu. Kacau rata.
Tuang dalam loyang yang telah diminyakkan. Boleh gunakan loyang 8"/9" bulat. Kali ini saya guna loyang empat segi 10" x 10".
Bakar pada suhu 150c selama 1 jam atau hingga masak. Saya tambah masa untuk lebih garing atasnya.
Sudah sejuk, baru boleh potong. Selamat mencuba.

Sambil menunggu bingka labu masak, saya mahu siapkan 'schedule post' di Fanpage Kedai Serbaneka Mama.

Bau harum bingka yang sedang dibakar, mencucuk hidung. Tak sabar rasanya mahu makan.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...