Khamis, 14 Julai 2016
Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 3
Bismillah.
Pada entri Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 2 , saya ada menulis tentang pendidikan awal bagi anak-anak pada usia 0-6 bulan pertama kehidupan mereka.
Bagaimana pula pendidikan awal pada 6 bulan kedua?
Anak-anak pada usia 6-12 bulan
Pada 6 bulan kedua, anak-anak kini mula meneroka persekitarannya, menambah kemahirannya secara semulajadi seperti belajar untuk duduk, merangkak, mencapai objek/ permainan.
Pada peringkat ini, motor halus anak juga berkembang. Mereka belajar memegang objek yang mereka temui dan mula memasukkan ke dalam mulut. Mereka mula menggunakan jari untuk memegang dan menghalakan ke dalam mulut. Selalu awasi anak pada usia begini. Pastikan juga lantai bersih dari objek-objek kecil atau kertas.
Jumaat, 18 September 2015
Perkongsian dari Ustazah Norhafizah Musa di Program Baiti Jannati Siri 2 - sambungan
Bismillah.
Alhamdulillah.
Baik, saya sambung lagi perkongsian Ustazah Norhafizah tentang pengalaman beliau bersama pelajar dari Malaysia ketika berada di Jepun untuk suatu program dan bagaimana ustazah melihat bahasa dapat mempengaruhi seseorang.
Ustazah melihat, anak muda ini sangat disenangi oleh orang-orang Jepun yang dia temui. Ada makcik yang begitu menyenanginya sehingga dipeluknya pelajar tersebut. Anak muda tersebut belajar bahasa dan peradaban Jepun. Dari pemerhatian ustazah, jika seseorang menguasai sesuatu bahasa, ia dapat mempengaruhi karakter seseorang.
Berkaitan dengan Bahasa Arab, selain ia adalah Bahasa Al-Quran, pada pandangan ustazah, ia boleh mempengaruhi seseorang untuk bersifat halus dan mudah memahami orang lain. Selain itu, kekuatan Bahasa Arab pula, pendek ayatnya tetapi jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, panjang ayatnya.
Ok, nanti saya sambung lagi.
Khamis, 17 September 2015
Perkongsian dari Ustazah Norhafizah Musa di Program Baiti Jannati Siri 2
Bismillah.
Alhamdulillah.
Hati saya berbunga-bunga gembira dapat menghadirkan diri ke Program Baiti Jannati- Siri 2 yang diadakan di Dewan IKM Manjung pada hari Rabu, 16 September 2015 bersamaan 2 Zulhijjah 1436H. Syukur kepadaNya diatas izinNya jua dapat saya mendengar ceramah dari ustazah kesayangan ramai, Ustazah Norhafizah Musa.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada suami yang kebetulan bercuti pada hari tersebut sempena cuti umum Hari Malaysia. Beliaulah yang memberi keizinan, menghantar saya ke IKM dan kemudian menjaga anak-anak di rumah. Saya doakan Allah membalas jasa baiknya di syurga kelak.
Alhamdulillah.
Semasa memulakan sesi ceramah, Ustazah Norhafizah Musa meminta semua hadirin untuk bersama-sama mengungkapkan ALHAMDULILLAH. Kata beliau, ucapkan Alhamdulillah sebab Allah telah memilih kita untuk hadir ke majlis ilmu.
Ustazah kelahiran Jempol, Bahau, Negeri Sembilan yang berusia 40 tahun ini, dikurniakan 8 orang cahaya mata, 4 lelaki dan 4 perempuan. SubhanAllah. Beliau yang mendapat pendidikan di peringkat Sarjana Muda di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Sastera Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Seterusnya beliau menyempurnakan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Sekarang sedang menyempurnakan pengajian di peringkat PHD. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur dan mempunyai kemahiran khusus di dalam Psikoterapi Dakwah & Pembangunan Insan.
Kemudian ustazah ditanya oleh moderator majlis bagaimanakah bentuk didikan yang diterima ustazah sehingga ustazah sampai ke peringkat sekarang.
Ustazah mengucapkan syukur dan terima kasih kepada ibu dan bapa ustazah yang telah memberi didikan kepada beliau.
1. Ditanamkan cinta Al-Quran bukan setakat tahu membaca
Ibu ustazah menanamkan perasaan suka dan cinta kepada Al-Quran bukan setakat tahu membaca. Dari umur 3 tahun, ustazah sudah diperkenalkan kepada Al-Quran tanpa mengira masa dan tempat. Tidak kira pagi, petang atau malam. Tidak kira tempat walaupun di dapur. Di dapurlah tempat ustazah paling takut. Kemudian, ustazah khatam Al-Quran pada penghujung umur 5 tahun. Kemudian masuk Darjah 1(7 tahun), sudah belajar taranum. Maknanya, belajar Al-Quran tidak berhenti. Darjah 5 (11 tahun), ustazah belajar Bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran. Sehingga Ustazah ada menyebut, 'mak ni, sikit-sikit Al Quran". Ustazah yang masih kecil ketika itu, merasa rimas. Namun, menurut ustazah, pada usianya 20 tahun, ustazah merasa syukur di atas asbab ibu dan ayah ustazah buat begitu.
Oleh sebab itu, ustazah berpesan, sekiranya anak-anak menunjukkan rasa kurang senang apabila ibu dan ayah mendidik, usah bimbang. Teruskan mendidik dan insyaAllah lagi 20 tahun, mereka akan bersyukur dan tidak tahu bagaimana nak ucapkan terima kasih kepada ibu dan ayah.
2. Sangat kurang hiburan
Di rumah ustazah hanya ada televisyen yang kecil. Walaupun pada awalnya ayah sudah beli televisyen yang besar. Kemudian ayah ustazah pergi semula ke kedai dan tukar kepada televisyen yang kecil. Bahkan untuk menonton televisyen juga syaratnya 'volume' juga sangat perlahan. Ayah ustazah bimbang, hiburan-hiburan akan melalaikan anak-anak.
Ustazah berpesan, untuk anak-anak yang sedang menuntut ilmu, perlu kurang hiburan. Ilmu bersifat sebagai cahaya. Fikiran dan hati perlu bersih.
3. Penekanan Bahasa Arab
Ayah ustazah, seorang guru Bahasa Arab. Beliau sangat menekankan anak-anak belajar Bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa asas untuk anak-anak pelajari biar apa juga cita-cita atau kerjaya anak-anak.
Pada pendapat Ustazah, bahasa boleh mempengaruhi anak-anak walaupun tiada kajian mendalam tentang pengaruh bahasa terhadap karakter atau perangai seseorang. Sebagai contoh, jika seseorang fasih dalam Bahasa Inggeris, dia bersifat lebih yakin dan berani. Manakala menurut ustazah, Bahasa Arab juga dapat mempengaruhi anak-anak kerana Bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran.
InsyaAllah saya akan kongsikan nanti kisah pengalaman ustazah bersama anak muda dari Malaysia ketika ustazah berada di Jepun.
Rabu, 25 Februari 2015
Kenapa Perlu Mengajar Anak
Teks: Faridah Yusof
Bismillah.
Alhamdulillah. Sejak saya menjual produk pendidikan awal kanak-kanak, saya berpeluang bertemu dengan ramai ibubapa. Ramai di kalangan mereka yang mengambil berat dan prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka. Mereka tidak sekadar melepaskan tanggungjawab mereka mengajar dan mendidik anak-anak kepada guru atau pengasuh di taska dan tadika.
Saya sangat gembira dapat berkenalan dengan ibubapa yang kreatif dan berusaha mengajar anak mereka di rumah. Walaupun ada di antara ibubapa yang bekerja serta sibuk, namun mereka tetap berusaha mencari ruang dan peluang untuk mengajar anak -anak kecil mereka di rumah.
Begitu juga dengan para ibu, walaupun sibuk mengurus hal rumahtangga dan anak-anak, mereka juga berusaha dengan gigih mengajar anak-anak kecil mereka.
Saya juga dapat belajar dan mengambil iktibar dan pengalaman dari cerita-cerita mereka.
Sesungguhnya usaha para ibubapa menjalankan tanggungjawab mengajar anak kecil mereka ini sungguh murni. Ramai di antara mereka berusaha menghadiri pelbagai seminar dan kursus untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian untuk mendidik anak.
Saya kongsikan apa pandangan mereka tentang mengapa ibubapa perlu mengajar anak ?
Mengajar yang saya maksudkan di sini ialah mengajar ilmu asas seperti belajar mengaji, belajar membaca, belajar menulis, belajar solat, adab dan sebagainya.
Ibubapalah orang yang bertanggungjawab memberi ilmu dan asas pendidikan kepada anak-anak mereka. Ibubapa jugalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak.
Beruntunglah ibubapa yang mengajar anak mereka mengenal alif ba ta, kenal 1, 2, 3, membaca dan sebagainya. Ilmu yang diajar oleh para ibubapa apabila digunakan anak-anak untuk perkara yang baik dan bermanfaat, ia akan menjadi sungai pahala yang tidak putus-putus.
Ibubapa juga lebih mengenali sikap, minat dan kecenderungan anak. Maka adalah lebih mudah untuk para ibubapa mencari kaedah dan teknik yang sesuai untuk mengajar anak-anak di rumah.
Sesungguhnya, rasa syukur dapat melihat anak boleh membaca Al Quran, membaca buku atau menulis mengatasi rasa penat dan payah yang dirasai sebelum itu.
Ahad, 16 November 2014
Tarik Minat Anak Dengan Plastisin
Gambar : Faridah Yusof
Bismillah.
Alhamdulillah. Anak kedua saya sudah genap umurnya 5 tahun pada 12 November yang lalu. Dia sangat unik dan istimewa.
Sudah hampir 6 bulan dia tidak mahu ke sekolah tadika.
Saya mengajarnya mengaji menggunakan buku Al-Furqan dan membaca kaedah fonik Bacalah Anakku. Saya masih berusaha untuk mengajarnya walaupun dia jarang sekali menunjukkan minat mahu belajar. Dan dia juga mudah lupa apa yang sudah dipelajari.
InsyaAllah saya tidak berputus asa untuk memastikan dia boleh membaca Iqra' atau Al-Furqan dan Bahasa Melayu sebelum dia ke sekolah rendah.
Untuk menarik minatnya mengaji dan belajar membaca, saya pelbagaikan cara dan kaedah. Adakalanya berkesan dan adakalanya tidak berkesan.
Antara cara yang berkesan, saya meletakkannya di atas riba untuk mengajar. Saya juga mengaplikasikan ilmu mendorong anak menggunakan teknik Nabi, seperti memuji usahanya.
Berikut adalah contoh langkah yang saya gunakan untuk mengajar anak membaca.
Skrip yang saya gunakan untuk mengajar 'Aina membaca.
♡ " 'Aina (panggil nama anak dengan lembut dan senyum), hari ini mama nak ajar bunyi pada 'Aina. Mahu dengar tak bunyi apa?"
♡ Saya lihat respon anak:
》 jika anak angguk/jawab mahu/jawab nak, saya terus ke langkah seterusnya
》 jika anak tidak beri respon,saya cuba sekali lagi atau cuba semula pada waktu lain. Mungkin anak tidak bersedia, lapar, penat atau kurang sihat. Uruskan anak dahulu.
♡ Saya sebut bunyi yang hendak diperkenalkan. Sebut bunyi 3-5 kali.
" Baik, 'Aina dengar ya. Tengok mulut mama"
♡ " 'Aina dengar bunyi apa? " , "Bagus, 'Aina dengar dan sebut dengan betul. Baik, cuba ulang bunyi tadi. " (sambil menepuk-nepuk atau mengusap bahunya)
♡ " 'Aina, ini.. bunyinya ...." sambil tunjukkan kad yang mengandungi simbol bunyi yang diperkenalkan tadi. Bunyikan, kemudian bunyikan bersama anak dan kemudian anak ulang bunyi tadi sendiri.
♡ "Ok, sekarang kita nyanyi pula, mahu tak?"
Nyanyikan rangkap lagu Abu Ada Ayam yang mengandungi bunyi yang diperkenalkan.
♡ Nyanyi bersama-sama dan ulang sehingga anak dapat mengenal dan menyebut bunyi dengan betul.
♡ Hadiahkan senyuman, pelukan dan ciuman kepada anak. "Tahniah, bagus 'Aina. Allah suka orang yang belajar bersungguh-sungguh. InsyaAllah, mama yakin 'Aina boleh membaca dengan cepat. Esok kita belajar bunyi lain pula ya."
Antara strategi lain yang berkesan ialah belajar sambil bermain dengan menggunakan plastisin.
Dia sangat suka plastisin. Sudah tentu kanak-kanak sangat suka dengan plastisin.
Setelah saya mengajarnya, contoh mengajar bunyi huruf A, saya berikan dia peluang untuk menggunakan plastisin.
Saya dapati, bermain dan belajar dengan plastisin menjadikan anak lebih memberi tumpuan. Bila saya kata saya mahu ambil gambarnya dan mahu tunjuk pada kakak dan ayah petang nanti, lagi dia suka.
![]() |
Plastisin dibentuk menjadi bebola kecil |
![]() |
Tunjukkan cara menyusun bebola kecil plastisin mengikut cara menulis yang betul. |
Plastisin di atas saya beli di kedai.
Jika mahu buat sendiri, boleh klik di sini .
Sabtu, 11 Oktober 2014
Cabaran utama mendidik anak-anak kecil.
Bismillah.
Ramai ibu bapa yang saya temui berkata mereka rasa susah dan agak mencabar mengajar anak sendiri.
Antara perkara yang disebut menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak kecil ialah:
~ cepat mengantuk, cepat bosan, tidak berikan perhatian.
Jadi, apakah cabaran utama?
~ apakah persediaan ibu dan ayah sebelum dikurniakan cahaya mata dari segi ilmu dan kemahiran keibubapaan.
~ apakah makanan yang kita berikan kepada anak-anak ? makanan sihatkah ? makanan halalkah?
~ apakah yang selalu kita katakan kepada anak-anak? kata-kata yang baik? nilai-nilai yang baik?
Sekali lagi, ingin saya tekankan, kitalah sebagai ibubapa yang menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak.
Perlunya ada ilmu, kemahiran, sikap yang positif dalam mendidik anak-anak. Kitalah yang perlu memperbaiki diri supaya anak mengikut contoh yang baik dari diri kita. Kita perlu mendidik diri kita dahulu, latih diri menjadi sabar, tenang dan penyayang.
Mana mungkin kita dapat senyum dan memberi pelukan apabila kita tidak berjaya mengawal perasaan marah atau stress bekerja. Mana mungkin kita dapat memujuk anak yang meragam apabila kita kepenatan dengan tugas seharian.
Bagaimana anak mahu belajar, apabila muka kita tegang dan ketat? Bagaimana anak mahu belajar jika ianya tidak menarik dan tiada unsur-unsur menggembirakan? Bagaimana anak mahu belajar jika kita tidak pernah memberi pujian kepada usaha mereka?
Fahami dan hormati naluri semulajadi anak-anak kecil. Kenali mereka dan perhatikan kecenderungan mereka. Kenalpasti kecerdasan mereka agar kita sebagai ibubapa dapat membantu pembelajaran mereka. Berikan mereka pendedahan yang luas tentang kehidupan dan perkara di sekeliling mereka.
Isnin, 20 Januari 2014
Bila Anak Meragam
Anak-anak menyatakan perasaan dan emosinya melalui pelbagai cara. Mungkin melalui kata-kata, ekpresi muka, tangisan, rengekan, jeritan, amukan, lukisan dan sebagainya.
![]() |
Ekpresi wajah sedih |
Teringat saya kepada karenah salah seorang anak saya ketika dia berusia sekitar 4-5 tahun. Apabila permintaannya tidak dipenuhi , dia akan berkata, "Mama tak cantik" atau "Ayah tak cantik". Saya suka mengusiknya kembali dengan berkata, "Ya kan, ayah tak cantik tapi ayah 'handsome' " / " Ya kan mama tak cantik tapi mama 'pretty' ". Kemudian saya tambah lagi, saya kata padanya, "Kamu cantik, kamu 'pretty'. Cantik nak apa? Cuba cakap pada mama."
Adakalanya, anak menangis dan menjerit-jerit jika mahukan sesuatu. Namun, bila sudah dipenuhi permintaannya, sebagai contoh sudah dibuatkan air yang diminta, dia tidak pula meminumnya. Geram juga dibuatnya. Kadang-kadang, dia sengaja pula tumpahkan air yang baru dibuat tadi.Fuh..fuh..fuh..memang kena tarik nafas dalam-dalam dan sabar.
Bila saya perhatikan dan renungkan perlakuan anak saya yang berbuat pelbagai ragam begitu, sebenarnya dia mahukan menyatakan emosinya. Mereka mahukan perhatian dari ibubapa.
Apa ibubapa perlu lakukan bila berhadapan dengan karenah anak begini?
Ibu bapa perlu mengenal pasti punca sebenar anak meragam:
1. Adakah dia lapar?
2. Adakah dia tidak sihat?
3. Adakah dia mengantuk dan mahu tidur?
4. Adakah dia mahukan perhatian?
Peluk dan tanyalah anak dengan lemah lembut tentang apa yang dia mahu. Elakkan dari marah dan menengking anak. Emosinya akan lebih cedera. Setelah anak berhenti meragam, berbual dan berbincanglah dengan anak dengan baik. Beritahu kepada anak, perbuatan tersebut tidak bagus.
Saya dapati, bila saya kerap memeluk dan bertanya tentang aktiviti mereka, anak-anak kurang membuat ragam atau buat perangai.
Mahu menangis |
Selasa, 14 Januari 2014
Bermainlah Wahai Anak
Saya pernah berkata pada anak-anak saya , " Ok dah ya, simpan mainan, asyik bermain jer. Jom baca buku pula".
Adakah normal kanak-kanak asyik bermain sahaja?
Sebelum ini, saya rasa macam rugi jika anak-anak asyik bermain sahaja.
Melalui pembacaan dan pemerhatian saya, rupa-rupanya dengan bermain, ia dapat membantu perkembangan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak. Mereka lebih ceria dan mudah mendengar kata setelah puas bermain.
Mereka leka dan begitu asyik dengan permainan mereka. Mereka menikmati saat indah dalam kehidupan mereka dengan bermain. Sebahagian besar masa kanak-kanak dipenuhi dengan bermain.
Sebagai ibubapa, kita memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dapat bermain dan mereka mendapat manfaat daripada aktiviti bermain tersebut. Kita perlu memantau anak-anak ketika bermain. Sediakan permainan yang bersesuaian dengan umur mereka dan selamat untuk digunakan.
Sekali-sekala bermainlah juga bersama anak-anak. Mereka sangat gembira bila ibu dan bapa turut menyertai pemainan mereka.
Ahad, 17 November 2013
Bermain Plastisin
Bismillah.
Anak-anak saya sangat gemar bermain dengan 'play-doh' atau plastisin. Mereka seronok dapat menghasilkan pelbagai bentuk daripadanya. Aktiviti bermain dengan plastisin bukan sahaja menyeronokkan, ia juga dapat membantu anak-anak untuk berfikiran kreatif dan mengembangkan daya imaginasi. Bagi kanak-kanak kecil apabila anak tersebut menggelek dan membentuk plastisin ketika bermain, kemahiran motor dan deria sentuhnya juga dapat dikembangkan.
Bagi anak-anak yang masih kecil, biasanya mereka tidak tahu bentuk apa yang mahu dibuat. Jadi ibu atau bapa atau kakak boleh berikan contoh bentuk yang mudah seperti bentuk bulat, bentuk tiga segi dan sebagainya.
Bagi anak-anak yang sudah biasa bermain dengan plastisin, tunjukkan contoh dan galakkan mereka mencuba pelbagai bentuk lain mengikut kemampuan mereka. Boleh juga adakan tema seperti tema taman bunga, tema di dapur, makanan kegemaran saya dan sebagainya.
Boleh juga rujuk di sini untuk mendapatkan idea-idea menarik bermain plastisin dengan anak-anak.
Buat Plastisin Di Rumah
Saya pernah mencuba resepi untuk buat plastisin sendiri di rumah yang saya dapati dari buku Didik Anak Jadi Pintar, tulisan Rohani Sheikh Omar. Saya tertarik untuk mencubanya kerana anak saya yang kedua suka memasukkan plastisin yang dibeli ke dalam mulutnya dan menurut penulis buku tersebut, plastisin yang boleh dibuat dari rumah ini rasanya masin. Sekiranya anak memasukkan ke dalam mulut, pasti dia tidak mahu memasukkan lagi ke dalam mulut.
Resepi Membuat Plastisin Sendiri
Sumber : Buku Didik Anak Jadi Pintar oleh Rohani Sheikh Omar
Bahan-bahan :
2 cawan tepung
1 cawan garam
1 sudu teh cream of tartar
2 sudu besar minyak masak
1 sudu teh pewarna
2 cawan air
Cara membuatnya:
Campur semua bahan di dalam kuali. Guna api kecil. Kacau sehingga doh tidak melekat di kuali. Kacau sekali lagi. Kemudian keluarkan dari kuali dan sejukkan.
Doh baru masak |
Plastisin yang sudah sejuk boleh di bentuk |
Buat bersama-sama dengan anak-anak |
Selamat mencuba.
Khamis, 14 November 2013
Tips Menghadapi Kesalahan Anak-anak Kecil
Pernahkah anda sebagai ibu bapa, hilang sabar apabila anak membuat kesalahan berulang kali?
Di bawah adalah contoh-contoh kesalahan yang sering dilakukan oeh kanak-kanak:
1. menumpahkan air
2. bermain sabun dan air ketika mandi
3. berlari-lari dan berkejar-kejaran sampai terjatuh
4. sudah bermain dan teraburkan mainan tapi tidak mahu kemas
5. berebut-rebut mainan
6. mengusik atau menyakat sesama sendiri sehingga mengundang pergaduhan
7. mengoyakkan kertas/buku
Kesalahan-kesalahan ini, sering dilakukan berulang kali oleh anak-anak kecil. Memang pening kepala dibuatnya dan boleh hilang sabar bila kesalahan itu dibuat berulang kali.
Bila anak saya buat kesalahan
Biasanya bila anak saya buat kesalahan, mula-mula saya akan tarik nafas dalam-dalam dan kawal rasa marah. Saya cakap dalam hati, "diorang budak-budak, anak-anak dari syurga, saya pun masa kecil pernah buat begitu". Saya tegur secara lembut dahulu. Cakap lembut-lembut sahaja dengan anak-anak. Alhamdulillah, ada masanya mereka mendengar kata.
Ada juga ketika, kata-kata lembut dari ibunya ini tidak lagi didengar dan diendah. Setelah ditegur berkali-kali masih juga tidak berubah, maka mulalah saya menjadi seperti singa...hehehehe. Kadang-kadang, saya lihat dengan sengaja anak-anak ini tumpahkan air untuk uji kesabaran saya. Mungkin perbuatan tersebut sebagai tanda protes apabila saya tidak menuruti kemahuan mereka seperti mereka mahukan susu coklat tetapi saya buatkan susu biasa.
Dan ada juga ketika, perasaan marah sudah tidak boleh dikawal lagi dek kerana kesalahan dibuat pada waktu kritikal seperti saat saya kesuntukan masa sedang bersiap untuk keluar atas urusan temujanji di klinik atau temujanji pelanggan. Pada waktu begitu, saya kerap tidak berjaya mengawal marah, maka dapatah dua tiga das cubitan sayang atau kena rotan di kaki. Sehingga anak saya yang sulung berkata, " Tak nak ikut Mama, nak ikut ayah jer sebab Mama ni garang".
Menurut pakar kanak-kanak, merotan, menengking, memarahi atau mengherdik anak-anak kecil boleh mendatangkan kesan negatif pada emosi anak-anak. Mereka akan mudah rasa rendah diri dan boleh menyebabkan anak tersebut jadi penakut untuk mencuba sesuatu. Anak-anak kecil tidak wajar dimarah, ditengking atau dirotan apabila mereka membuat kesilapan.
Menggunakan Teknik Nabi
Sebagai contoh, anak tumpahkan air, mengikut kaedah yang disarankan, jangan siasat, maka jangan bertanya "Siapa yang tumpahkan air?", "Bagaimana air ini boleh tumpah?" Kita juga jangan mengkritik seperti " Adik ni selalu tumpahkan air, peganglah cawan tu betul-betul ". Sebaliknya, kita beri jalan penyelesaian/solusi . Maka, kita sarankan kepada anak tersebut untuk mengelap air yang tumpah, atau kita tunjukkan cara mengelap air yang tumpah. Setelah anak tersebut mengelap air yang tumpah, kita puji dia, kita boleh berkata padanya, "Allah sayang pada sesiapa yang membantu ibunya. Pasti Allah sayang kamu kerana tolong ibu mengelap air tadi."
Pada peringkat permulaan mengaplikasikan Teknik Nabi ini kepada anak-anak, saya merasakan saya juga belajar. Saya belajar tentang sabar dan belajar mengawal rasa marah. Bukan mudah untuk membiasakan perkara yang tidak biasa kita buat. Alhamdulillah, dengan izin Allah, secara perlahan-lahan saya dapat menggunakan Teknik Nabi ini secara sedikit demi sedikit. Apa yang saya dapati sejak menggunakan teknik ini, terutamanya untuk kesalahan tumpahkan air, anak yang sulung dengan sendiri mengambil kain lap di dapur dan mengelap air yang tumpah walaupun air tersebut ditumpahkan oleh adiknya.
Izinkan anak-anak belajar dari kesilapan
Jika kita perhatikan, anak-anak kita telah jatuh dan bangun berkali-kali sebelum dapat berjalan dan berlari dengan betul. Begitu juga sebelum anak kita pandai menyuapkan makanan ke dalam mulut, seringkali makanan yang mereka suap sendiri lebih banyak yang jatuh dari masuk ke mulut. Kita sewajarnya mengizinkan anak-anak ini melakukan kesilapan. Janganlah kita terus marah dan menghukum mereka apabila mereka tersilap. Kita seharusnya mendorong mereka dan melatih mereka belajar dari kesilapan.
Selain itu, jika kesilapan anak-anak kita melibatkan orang lain, kita didik mereka supaya belajar meminta maaf dan ajar mereka berdoa kepada Allah agar kesilapan tersebut diampun oleh Allah. Biasakan mereka menyebut "Astaghfirullah". Kita juga perlu mendidik mereka bahawa sebagai manusia, kita sering melakukan kesilapan dan apabila telah melakukan kesilapan perlulah kita memohon ampun kepada Allah.
Mudah-mudahan anak-anak kita sentiasa dapat belajar dari kesalahan yang mereka lakukan. Selain itu, mudah-mudahan kita juga dapat mendidik diri kita agar sentiasa positif dan sabar dalam menghadapi kesalahan yang sering dilakukan oleh anak-anak kita. Aamiin.
Selasa, 5 November 2013
Jadilah Ibu Bapa Yang Berilmu
Ibu bapa adalah dua insan yang diberi amanah oleh Allah untuk membentuk dan mencorak anak-anak. Ia bukan sekadar menyediakan makan, minum dan pakaian anak-anak. Malah, tugas ibu bapa termasuk memberikan kasih sayang, didikan awal, membentuk sahsiah dan emosi anak-anak. Ibu bapa juga memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak berilmu dan berakhlak mulia.
Bagi memastikan kejayaan dalam memikul amanah ini, ibu bapa perlu ada ilmu pengetahuan, maklumat serta kemahiran yang betul dan bersesuaian. Ibu bapa sewajarnya melengkapkan diri dan sentiasa menambah ilmu dan kemahiran dari masa ke semasa. Pelbagai maklumat dan ilmu sebagai contoh ilmu keibubapaan, boleh diperolehi melalui pelbagai cara seperti melalui pembacaan dari buku-buku, majalah, laman web, blog, menghadiri kursus, seminar atau ceramah. Selain itu, di zaman moden ini, terdapat banyak media sosial seperti facebook yang memberi peluang kepada para ibubapa untuk berkongsi maklumat dan pengalaman melalui kumpulan-kumpulan sosial.
![]() |
Ilmu keibubapaan boleh diperolehi melalui buku-buku atau majalah |
Marilah kita menjadi ibu bapa yang berilmu agar kita dapat melahirkan generasi akan datang yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Rabu, 17 Julai 2013
Pupuk Minat Membaca di Kalangan Kanak-kanak
Bismillah.
Pertama kali bawa anak-anak ke perpustakaan
Setiap kali saya ke Klinik Ibu dan Anak untuk temujanji bulanan, saya pasti akan terpandang tanda arah ke Perpustakaan Desa yang terletak berhampiran dengan klinik tersebut. Sudah beberapa kali saya merancang ke sana. Namun, atas kekangan masa, saya belum berkesempatan berkunjung ke perpustakaan itu.
Baru-baru ini, secara kebetulan suami ada tugas dan tidak dapat menjemput saya dari klinik. Maka dengan pantas, saya teringat untuk ke perpustakaan desa sementara menunggu suami. Bersama dua orang anak kecil saya, kami melangkah masuk ke perpustakaan tersebut. Inilah pertama kali saya membawa mereka ke perpustakaan. Mereka sungguh gembira , jika boleh diukur tahap kegembiraan mereka itu, saya simpulkan mereka gembira seperti berada di taman permainan. Anak-anak saya bergerak dari satu ke satu rak mencari buku. Saya memerhatikan sahaja gelagat mereka. Akhirnya mereka berjaya memilih sendiri buku untuk mereka 'baca' (mereka belum pandai membaca).
![]() |
Anak-anak gembira ke perpustakaan |
Perlu pupuk minat membaca dari kecil
Penulis Buku ' Ajar Anak Kecil Membaca Awal' ,Puan Nik Eliani Nik Nawi di dalam bukunya berkongsi pengalaman beliau ketika mengandung anak pertama mereka di luar negara.
" Saya ingin berkongsi pengalaman yang menjadi titik tolak kepada semangat saya mengajar anak membaca awal.
Pada suatu hari ketika mengandung anak pertama, saya menaiki bas ke pusat membeli-belah. Di dalam perjalanan, bas itu berhenti untuk mengambil seorang nenek dan cucunya yang berumur lebih kurang 3 tahun. Mereka baru kembali dari perpustakaan. Anak kecil itu membawa dua tiga buah buku di tangannya dan asyik berbual dengan neneknya mengenai lawatan mereka ke perpustakaan. Saya berfikir, jarang sekali saya melihat seorang nenek membawa cucu ke perpustakaan sepanjang saya membesar di Malaysia. Malah saya berani menyatakan saya tidak pernah melihat seorang nenekmembawa cucu ke perpustakaan daripada tahun 1963 hingga 1981...........Tetapi di negara -negara maju, kita akan dapat melihat budaya membaca di merata tempat, di perhentian tren dan bas, di dalam tren dan bas, tua dan muda asyik membaca sambil menunggu "
Saya begitu terkesan dengan perkongsian penulis di dalam bukunya. Sememangnya minat membaca perlu dipupuk ketika anak masih kecil dan seawal mungkin, seawal anak dalam kandungan.
Aktiviti membawa anak ke perpustakaan sememangnya sangat digalakkan dan ia salah satu cara untuk memupuk dan menanam minat membaca. Selain dari itu, mewujudkan perpustakaan mini di rumah juga sangat bermanfaat.
Harapan saya, agar lebih ramai ibu bapa membawa anak mereka ke perpustakaan dan mendedahkan mereka kepada pelbagai bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan. Sama-sama kita membudayakan amalan membaca di dalam keluarga. Semoga pada suatu hari nanti rakyat Malaysia juga menjadikan amalan membaca sebagai satu aktiviti utama mereka walau di mana jua mereka berada.
Ahad, 14 Julai 2013
Perkongsian dari Semanis Kurma tentang Ibu Bapa Genius
Khamis, 4 Julai 2013
Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 2
Assalamu'alaikum wbt ,
Pada entri Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 1 , saya telah berkongsi dengan anda tentang bilakah usia emas anak-anak dan cadangan amalan-amalan buat ibu mengandung dalam usaha untuk melahirkan anak yang sihat dan cerdas.
Bagaimana pula pendidikan awal bagi anak yang baru dilahirkan?
Setelah anak dilahirkan (0-6 bulan)
: : Setelah anak dilahirkan ke dunia, tiada ungkapan terbaik yang harus dilafazkan selain Alhamdulillah.. Segala Puji Hanya Bagi Allah...yang telah mengizinkan kita mempunyai anak ketika di dunia. Haruslah kita sedar bahawa anak ini bukan sekadar membawa kegembiraan buat kita dan pasangan serta seluruh ahli keluarga bahkan anak tersebut juga amanah untuk kita jaga dengan sebaik-baiknya.
: : Anak yang telah dilahirkan mestilah diberikan dan dipanggil dengan nama yang baik dan elok maknanya.
: : Menyusukan anak dengan susu ibu adalah pilihan yang terbaik. Berikan anak anda susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan. Kemudian perkenalkan dengan makanan yang baik, halal serta berkhasiat. Berusahalah melengkapkan penyusuan susu ibu selama 2 tahun. Pemakanan yang baik dan berkhasiat juga membantu perkembangan minda dan fizikal anak.
: : Berikan kasih sayang dengan mengusap, memeluk dan mencium anak. Kajian menunjukkan usapan dan belaian kepada bayi dapat memberi kesan fizikal, emosi dan kognitif yang positif kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi.
: : Berbual-bual dan berceritalah kepada bayi. Aktiviti berbual dan bercerita kepada bayi boleh dilakukan secara santai ketika menyusukan bayi, memandikan bayi, menukar lampin atau pada bila-bila masa sahaja. Walaupun kelihatan seperti tidak memberi kesan kepada bayi kerana bayi belum pandai memberi respon atau berkata-kata, sebenarnya aktiviti ini membantu mendedahkan anak anda kepada perbendaharaan kata dan kecerdasan bahasanya.
: : Ransang penglihatan dan kordinasi mata anak dengan menggunakan kad imbas atau objek yang berwarna hitam dan putih atau merah. Perhatikan anak matanya bergerak mengikut pergerakan kad atau objek yang digerakkan.
: : Bacakan atau perdengarkan ayat-ayat Al-Quran, zikir dan selawat. Selain itu juga, ibu atau bapa juga boleh membacakan kepada anak cerita pendek ,berima dengan pelbagai intonasi dan suara. Aktiviti-aktiviti begini dapat membantu perkembangan auditori (pendengaran) serta membantu meningkatkan kecerdasan bahasa anak.
Selasa, 2 Julai 2013
Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 1
Teks : Faridah Yusof
Sumber gambar : Google
Assalamu'alaikum wbt...
Apa khabar pengunjung dan pembaca Tips Pendidkan Awal Kanak-kanak ? Semoga kita semua sentiasa dalam hidayah dan rahmat Allah.
Apa khabar anak-anak kita hari ini? Semoga mereka juga sentiasa dalam hidayah dan rahmat Allah serta sentiasa melihat kita sebagai ibubapa yang menjadi contoh terbaik dalam kehidupan mereka.
Usia Emas Anak-anak
Tahukah anda bilakah usia emas anak-anak kita ?
Usia / masa keemasan anak-anak kita adalah masa- masa penting dalam kehidupan anak-anak yang tidak akan berulang lagi.. Ada terdapat beberapa pendapat dari pakar tentang usia /masa keemasan ini. Ada yang berpendapat usia/masa keemasan anak-anak ialah di antara 0-2 tahun, 0-3 tahun, 0-5 tahun atau 0-8 tahun. Namun secara umumnya, awal-awal tahun pertama kehidupan anak-anak adalah masa-masa emas mereka.
Pada masa-masa ini, otak anak-anak kita berkembang dengan sangat pesat. Otak dan minda anak-anak mampu untuk menyerap dan menyimpan pelbagai maklumat. Segala maklumat diserap dan menjadi input yang mampu mempengaruhi kehidupan mereka pada masa akan datang. Minda dan otak mereka juga perlu diransang untuk pertumbuhan dan perkembangan otak yang maksimum.
Ketika Anak di dalam Kandungan
Oleh kerana itulah kita seringkali mendengar para ilmuan, pakar kanak-kanak, pakar motivasi dan sebagainya amat menitikberatkan penerapan nilai-nilai positif , kasih sayang dan nilai-nilai murni seawal mungkin iaitu seawal anak-anak di dalam kandungan. Ketika mengandung, para ibu sangat disarankan untuk menjaga kesihatan, emosi dan tingkah laku sebagai salah satu usaha untuk melahirkan anak yang sihat dan cerdas. Para bapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan dan bantuan kepada para ibu dalam melalui tempoh 9 bulan yang penuh dengan cabaran.

Sewaktu mengandung antara perkara yang amat digalakkan untuk para ibu ialah :
~Menjaga waktu solat fardhu, sebaik-baiknya berusahalah untuk solat di awal waktu serta ditambah dengan amalan solat-solat sunat.
~ Menutup aurat dengan sempurna
~ Membaca dan memperdengarkan bacaan Al-Quran . Antara surah-surah Al-Quran yang sangat digalakkan adalah seperti berikut :
* Surah al Fatihah
* Surah at-Taubah
* Surah Yusuf
* Surah Maryam
* Surah Luqman
* Surah an-Nahl
* Surah Yassin
* Ayat Kursi
* 3 Qul : Surah al-Falaq, an-Nas, al-Ikhlas
~ Banyakkan berzikir seperti SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar
~ Banyakkan selawat dan istighfar
~ Banyakkan berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan ibu dan anak dalam kandungan, keselamatan dan kemudahan proses kelahiran
~ Perdengarkan lagu-lagu nasyid, selawat, lagu-lagu klasik seperti Mozart
~ Mengusap lembut kandungan dari bawah perut ke pusat sambil berbual-bual dengan anak dalam kandungan
~ Membacakan cerita kanak-kanak, kisah Nabi, pantun dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab dengan pelbagai nada suara dan inovasi.
~ Menjaga kata-kata dan tingkah laku. Tingkah laku ibu bapa yang baik di saat ibu mengandung merupakan salah satu pendidikan awal yang sangat digalakkan.
~ Menjaga emosi agar tenang, positif dan ceria selalu
~ Menjaga kebersihan diri
~ Mengambil makanan yang halal, sihat dan seimbang
Semoga dengan usaha yang bersungguh-sungguh dapat menjadi asbab Allah mengurniakan anak-anak yang sihat dan cerdas mindanya. InsyaAllah.