Memaparkan catatan dengan label Catatan Harian 2014. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Harian 2014. Papar semua catatan

Isnin, 22 Disember 2014

Bermain layang-layang

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Anak-anak suka bermain layang-layang. Pada musim cuti sekolah kali ini, kami beri peluang mereka bermain layang-layang. Kami pun dapat bermain sekali.

Aktiviti bermain layang-layang sesuai dijalankan di kawasan yang lapang dan berangin seperti di padang, di tepi pantai dan  kawasan bendang.

Alhamdulillah, anak-anak seronok dapat melihat layang-layang terbang tinggi. Tambah seronok bila dapat bermain layang-layang di dua lokasi yang berbeza, di bendang dan di padang.


Bermain layang-layang di bendang

Suami dan bapa mertua bawa kami sekeluarga bermain layang-layang di kawasan bendang di kampung suami, Felcra Changkat Lada, Perak.

Anak-anak diberi peluang mencuba bermain layang-layang. Mereka belum pandai menaikkan layang-layang sendiri, juga belum dapat mengawal layang-layang.

Oleh kerana mereka tidak dapat mengawal layang-layang apabila ditiup angin yang kuat, mereka terlepas tali layang-layang. Layang-layang mereka terbang ke dalam bendang. Terpaksalah suami dan bapa mertua menyinsing seluar turun ke bendang untuk mengambil layang-layang mereka.

Selain dapat bermain layang-layang, dapat buat aktiviti luar, lihat keindahan alam dan makhluk ciptaan Allah yang ditemui di bendang/sawah padi. Mereka teruja melihat pokok padi, sawah bendang, tali air, burung-burung yang berterbangan, siput dan telur siput yang berwarna merah jambu.










Bermain layang-layang di padang

Bermain layang-layang di padang juga seronok. Anak-anak lebih bebas berlari. Cuma anak-anak masih belum pandai mengawal tali layang-layang apabila angin bertiup kuat atau pada masa tiada angin.

Mereka kelihatan kecewa apabila layang-layang tidak berjaya diterbangkan dan sangat gembira apabila layang-layang berjaya diterbangkan.


         


         


Tips Bermain layang-layang bersama anak 
#1 Pilih kawasan yang bersesuaian, berangin dan selamat seperti padang atau  tepi pantai.

#2 Elakkan kawasan yang berhampiran dengan tiang elektrik, tiang lampu, pokok, tebing bukit. tepi jalanraya

#3 Main layang-layang bersama anak. Libatkan anak seperti minta dia pegangkan badan layang-layang.

#4 Tunjukkan kepada anak cara bermain layang-layang ketika angin bertiup kuat dan ketika tiada angin.

#5 Beri peluang kepada anak untuk menaikkan layang-layang seperti ibu atau ayah pegangkan badan layang-layang dan minta anak berlari sedikit untuk terbangkan layang-layang.

#6 Beri kata galakan dan pujian di atas usaha mereka.


Ahad, 14 Disember 2014

Mama, nak pergi kedai nenek!

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah.

Anakanda saya yang sulung dan kedua, pagi-pagi sudah bangun. Kata mereka " Mama, nak pergi kedai nenek!"

Saya tahu mereka memang suka pergi kedai runcit emak saya. Mana tidaknya, macam-macam yang ada di kedai menarik perhatian mereka.

Bila pulang ke kampung sekali - sekala, mereka dilayan manja oleh adik - beradik saya yang lain. Diikatkan rambut, dipakaikan butang tudung yang comel, dapat aiskrim, belon dan macam-macam lagi.

Sebelum mereka ke kedai, saya sempat berpesan, tolong nenek jaga kedai, tolong sapu sampah dan lain-lain.

Di sebelah kedai runcit emak, ada padang bola. Cucu-cucu emak yang lelaki memang suka bermain di padang. Mereka bebas berlari di situ. Puas hati dapat berlari di kawasan lapang tanpa sebarang halangan. Puteri dan putera saya juga tidak ketinggalan.  Mereka juga seronok berlari-lari di padang.

Berlari keliling padang dapat mengeluarkan peluh, badan jadi sihat dan cergas. Selain itu, ia juga membantu perkembangan emosi anak-anak. Anak-anak rasa gembira dan ceria bila dapat berlari bebas dan berkejar-kejaran sesama mereka.





Alhamdulillah, saya pula dapat belajar dengan adik cara-cara untuk membuat puding. Belajar cara asasnya, kemudian boleh dipelbagaikan rasa dan dekorasinya.

Sabtu, 13 Disember 2014

Mahu Balik Kampung

Teks dan foto : Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak sungguh gembira bila diberitahu kami sekeluarga akan pulang ke kampung nenek di Melaka. Berulang kali mereka bertanya bila nak balik kampung. Selalu hujung minggu balik ke rumah opah di Perak. Alhamdulillah, waktu cuti sekolah yang panjang ini, boleh ambil peluang untuk pulang ke Melaka.

Dek kerana mereka sedang teruja dan gembira mahu balik kampung, saya minta mereka pilih baju dan barang-barang yang mereka mahu bawa.

Saya pula mahu sediakan roti sarang lebah dan mini pizza permintaan suami dan anak-anak. Selalunya bila berjalan jauh dari Perak ke Melaka, kami berhenti sebentar di masjid atau kawasan R&R untuk solat, rehat dan makan.

Alhamdulillah,  salah satu tempat yang kami selalu singgah ialah Masjid Simpang Lima, Sungai Besar Selangor. Berlatarbelakang kawasan sawah padi, sungguh damai dan tenang dapat berehat sebentar.




Rabu, 10 Disember 2014

Anak dan Roti

Teks dan foto :Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar semua? Semoga semua sentiasa tenang dan positif menjalani kehidupan.

Apa makanan kegemaran anak anda?

Anak-anak saya sangat menggemari roti. Kalau dengar saya atau suami mahu ke kedai beli barang, mereka pasti memesan untuk dibelikan roti. Jika beli roti sandwich, kami panggil roti potong, yang pek panjang, satu hari sahaja boleh habis dimakan.

Akhirnya, suami beri cadangan buat roti sendiri di rumah. Kebetulan juga sedang musim cuti sekolah. Jadi, boleh beri peluang anak-anak bermain dengan doh untuk mengasah kemahiran motor halus mereka. Alhamdulillah, dapatkan bahan-bahan untuk buat roti seperti tepung berprotein tinggi, telor, yis dan marjerin, terus menguli.

Satu keluarga teruja mahu buat roti. Si manja Darwisy juga mahu turut serta.




Saya guna resepi doh asas roti manis, selepas itu boleh buat macam-macam bentuk roti.

Resepi doh asas roti manis:

1. 5 gm garam
2. 500gm tepung roti (high protein flour)
3. 100 gm gula
4. 20gm susu tepung
5. 6gm bread improver * saya tidak gunakan
6. 50gm marjerin
7.10gm yis kering
8. 2 biji telor
9. 250gm air sejuk + ais
10. 6gm bread softener * saya tidak gunakan

Cara:

Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk adunan mengikut turutan nombor dari 1-10.
Uli sehingga doh elastik dan berkilat.
Uji dengan basahkan jari dengan minyak, ambil sedikit adunan, tarik nipis, doh tidak koyak.
Anggaran masa 20-25 minit mengikut kelajuan mesin pengadun masing-masing.
Sementara itu, minyakkan loyang. Bulatkan doh mengikut citarasa seperti bun, roti pizza,roti bun sarang lebah dan sebagainya. Tunggu doh naik sekali ganda baru taburkan bijan atau bahan-bahan lain.
Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 150 atau 170 darjah celcius selama 20 minit atau sehingga roti masak.





Anak-anak semua mahu membulatkan doh yang sudah siap.

"Nak buat roti, nak buat roti". Masing-masing merengek nak buat roti sendiri.


Saya berikan mereka seorang sedikit doh dan loyang pelapik. Bukan main seronok. Syaratnya dah bakar nanti mesti makan.

Aktiviti ini sesuai untuk tajamkan kemahiran motor halus anak-anak berumur 5-7 tahun. Ia membantu koordinasi tangan/jari dan mata.

Anak-anak dapat bermain dengan doh. Mereka boleh uli, tekan, gelek, picit, golek doh.
Buat bentuk yang digemari. Macam-macam bentuk mereka buat. Siap buat mata, mulut dan hidung roti.



Alhamdulillah, memang mereka seronok dapat bermain doh dan buat roti bun mereka sendiri. Makan pula bersama air teh panas.

Ibu pula perlu senyum dan positif untuk mengendalikan lantai dan baju anak-anak yang dipenuhi cebisan-cebisan doh.




Selasa, 9 Disember 2014

Membaca Bahasa Inggeris Lebih Mudah Dengan Fonik

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi nikmat kepada seluruh alam ciptaanNya. Selawat dan salam buat Nabi Muhamad SAW.

Alhamdulillah, Najihah, puteri sulung sudah habis membaca buku 8, Readeasy. Laju sahaja dia membaca ayat pendek, berima dan berulang di dalam set buku Readeasy tersebut.

Sesekali tersilap membunyikan perkataan, dia ulang semula untuk membetulkan bunyinya.

Mengajar membaca Bahasa Inggeris menggunakan kaedah fonik Readeasy lebih mudah dan cepat setelah dia mengenali bunyi-bunyi huruf melalui kaedah fonik Bacalah Anakku. Sudah boleh mula ajar anak membaca Readeasy semasa anak membaca Buku 7 Bacalah Anakku.

Dari Buku 1 ke Buku 8, Najihah mengambil masa beberapa hari sahaja. Saya dapati dia juga lebih yakin menyebut perkataan Bahasa Inggeris yang baru pertama kali dibaca. Ini kerana anak hanya perlu menggabungkan bunyi yang telah dipelajari. Lagipun, perkataan dalam Bahasa Inggeris tidak perlu dieja mengikut suku kata. Hanya gabungkan bunyi huruf. Namun ada huruf yang berbeza bunyinya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti bunyi huruf A, C, O, U dan sebagainya.

Selain itu, anak suka saya rakam bacaannya dan perdengarkan kembali. Dari situ, dia dapat mendengar sendiri bacaannya. Mungkin itu yang buat dia bersemangat untuk membaca.

Jadi, langkah seterusnya saya perlu beri peluang dan galakan kepada anak membaca lebih banyak buku Bahasa Inggeris untuk menambahkan perbendaharaan kata. Boleh pinjam buku Bahasa Inggeris di perpustakaan nanti.

Selalu rakam suara sahaja, kali ini rakam video bacaannya dari Buku 8 Readeasy.




,

Ahad, 7 Disember 2014

Tips Urus Stress dari Ustazah Norhafizah Musa

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pagi ini, sambil memasak saya mendengar siaran ulangan di radio IKIM.fm.

Sambil memasak saya berkesempatan mendengar perkongsian dari Ustazah Norhafizah Musa dalam slot Usrati. Topik yang dibincangkan berkaitan mengurus stress.

Antara isi perbincangan yang saya masih ingat:

1. Kita perlu sedikit tekanan dan ketahui bagaimana untuk urus stress dan tekanan.

2. Senyum banyak-banyak dengan senyuman ikhlas dari hati,  boleh kurangkan tekanan dan darah tinggi.

3. Ketika stress atau sangat tertekan, menangislah dan luahkan supaya dapat mengurangkan tekanan dan terbaik mengadu dan menangis kepada Allah di atas tikar sejadah.

4. Perbanyakkan selawat. Jika kita lihat orang lain terutama ahli keluarga atau sahabat yang bersedih atau tertekan, ucapkanlah 'Sollu'ala Nabi' iaitu kita galakkan mereka berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

5. Perbanyakkan membaca Al Quran, baca banyak-banyak dengan hati yang khusyuk bukan dengan hati yang masih lalai. Al Quran boleh merawat atau menjadi syifa' kepada pelbagai masalah dan penyakit.

50 Idea Aktiviti Bersama Anak-anak Pada Musim Cuti Sekolah

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Apa khabar semua? Didoakan semuanya sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Yang Maha Esa.

Saya pasti ada ibu yang sibuk dengan anak-anak di rumahkan? Saya juga. Anak-anak pula cepat lapar selepas bermain, melompat, berguling dan macam-macam lagi. Riuh rendah rumah, sekejap dengar sedang bermain-main, sekejap dengar bunyi bergaduh dan menangis, selepas itu dengar gelak ketawa pula.

Pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat boleh dibuat bersama anak-anak pada musim cuti persekolahan. Sebelum cuti bermula, saya ada menyenaraikan idea aktiviti untuk anak-anak di rumah, namun tidak berkesempatan untuk dikongsikan di blog ini.

Berikut adalah 50 aktiviti untuk anak-anak.  Mungkin ada yang sesuai atau kurang sesuai untuk anak  anda. Boleh pilih, ubahsuai dan laksanakan bersama anak-anak anda.

1. Bermain layang-layang di padang, tepi pantai atau di bendang.
2. Origami
3. Permainan bahasa
4. Pergi ke perpustakaan
5. Menziarahi keluarga/sanak saudara
6. Menghadiri jemputan kenduri
7. Pergi ke zoo
8. Melukis
9. Mewarna
10. Pemeriksaan gigi di klinik gigi
11. Gotong-royong mengemas rumah
12. Menghafalkan surah-surah Al Quran dan hadith
13. Membaca buku cerita
14. Membuat buku skrap tentang diri atau keluarga, hobi dan sebagainya
15. Ujikaji sains yang mudah
16. Menziarahi kubur keluarga, bersihkan, hadiahkan alfatihah
17. Kem solat mini
18. Hias donat/kek cawan/biskut
19. Bermain permainan traditional
20. Menyanyi lagu/nasyid kanak-kanak
21. Aktiviti anak bercerita
22. Berkelah di tepi pantai
23. Chef cilik: uli-uli doh, sandwich telor, cookies
24. Kolaj
25. Kebun mini
26. Bermain plastisin
27. English hour
28. Menonton video / kartun
29. Pergi ke taman permainan
30. Jemput saudara atau kawan sekolah minum petang di rumah
31. Main kira-kira
32. Susun 'puzzle'
33. Main teka-teki
34. Aktiviti sukan/riadah
35. Ke rumah anak yatim atau orang tua
36. Menziarah rumah saudara atau keluarga yang sakit
37. Aktiviti asas keusahawanan, car boot sale
38. Berlakon
39. Beli barang keperluan sekolah bersama-sama
40. Ulangkaji pelajaran lalu
41. Belajar menggunakan komputer seperti menaip
42. Aktiviti menggalakkan untuk berfikir secara kreatif, seperti lukis bentuk bulat dan apa yang boleh dilukis dengan bentuk bulat itu.
43. Perpustakaan mini di rumah
44. Aktiviti senamrobik/menari di rumah
45. Ke masjid-masjid, membiasakan anak-anak dengan masjid
46. Kebersihan diri seperti penjagaan rambut, kuku
47. Aktiviti memerhati alam sekitar seperti corak pada daun yang berbeza
48. Membacakan anak buku cerita
49. Aktiviti kitar semula seperti kumpul botol plastik, tin minuman dan sebagainya
50. Bermain dam

Sebenarnya ada banyak lagi aktiviti yang boleh dijalankan bersama anak-anak semasa cuti sekolah mereka.

Bagi yang telah merancang awal, mungkin ada yang boleh merancang kewangan untuk menghantar anak ke kelas-kelas kemahiran yang berbayar seperti kelas berenang, berkuda,memanah, seminar motivasi dan sebagainya.

Namun apa jua pilihan kita, saya doakan anak-anak kita sema dapat menikmati cuti sekolah dengan gembira dan mendapat manfaat dari aktiviti yang dijalankan.


Ahad, 16 November 2014

Tarik Minat Anak Dengan Plastisin


Teks: Faridah Yusof
Gambar : Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Anak kedua saya sudah genap umurnya 5 tahun pada 12 November yang lalu. Dia sangat unik dan istimewa.





Sudah hampir 6 bulan dia tidak mahu ke sekolah tadika.

Saya mengajarnya mengaji menggunakan buku Al-Furqan dan membaca kaedah fonik Bacalah Anakku. Saya masih berusaha untuk mengajarnya walaupun dia jarang sekali menunjukkan minat mahu belajar. Dan dia juga mudah lupa apa yang sudah dipelajari.

InsyaAllah saya tidak berputus asa untuk memastikan dia boleh membaca Iqra' atau Al-Furqan dan Bahasa Melayu sebelum dia ke sekolah rendah.

Untuk menarik minatnya mengaji dan belajar membaca, saya pelbagaikan cara dan kaedah. Adakalanya berkesan dan adakalanya tidak berkesan. 


Antara cara yang berkesan, saya meletakkannya di atas riba untuk mengajar. Saya juga mengaplikasikan ilmu mendorong anak menggunakan teknik Nabi, seperti memuji usahanya. 

Berikut adalah contoh langkah yang saya gunakan untuk mengajar anak membaca.

Skrip yang saya gunakan untuk mengajar 'Aina membaca.


♡ " 'Aina (panggil nama anak dengan lembut dan senyum), hari ini mama nak ajar bunyi pada 'Aina. Mahu dengar tak bunyi apa?"

♡ Saya lihat respon anak:

》 jika anak angguk/jawab mahu/jawab nak, saya terus ke langkah seterusnya

》 jika anak tidak beri respon,saya cuba sekali lagi atau cuba semula pada waktu lain. Mungkin anak tidak bersedia, lapar, penat atau kurang sihat. Uruskan anak dahulu.

♡  
Saya sebut bunyi yang hendak diperkenalkan. Sebut bunyi 3-5 kali.                     

" Baik, 'Aina dengar ya. Tengok mulut mama" 

♡ " 'Aina dengar bunyi apa? " , "Bagus, 'Aina dengar dan sebut dengan betul. Baik, cuba ulang bunyi tadi. " (sambil menepuk-nepuk atau mengusap bahunya)

♡ " 'Aina, ini.. bunyinya ...." sambil tunjukkan kad yang mengandungi simbol bunyi yang diperkenalkan tadi. Bunyikan, kemudian bunyikan bersama anak dan kemudian anak ulang bunyi tadi sendiri.

♡ "Ok, sekarang kita nyanyi pula, mahu tak?"

Nyanyikan rangkap lagu Abu Ada Ayam yang mengandungi bunyi yang diperkenalkan.

♡ Nyanyi bersama-sama dan ulang sehingga anak dapat mengenal dan menyebut bunyi dengan betul.

♡ Hadiahkan senyuman, pelukan dan ciuman kepada anak. "Tahniah, bagus 'Aina. Allah suka orang yang belajar bersungguh-sungguh. InsyaAllah, mama yakin 'Aina boleh membaca dengan cepat. Esok kita belajar bunyi lain pula ya."



Antara strategi lain yang berkesan ialah belajar sambil bermain dengan menggunakan plastisin.

Dia sangat suka plastisin. Sudah tentu kanak-kanak sangat suka dengan plastisin.

Setelah saya mengajarnya, contoh mengajar bunyi huruf A, saya berikan dia peluang untuk menggunakan plastisin.

Saya dapati, bermain dan belajar dengan plastisin menjadikan anak lebih memberi tumpuan. Bila saya kata saya mahu ambil gambarnya dan mahu tunjuk pada kakak dan ayah petang nanti, lagi dia suka.



Plastisin dibentuk menjadi bebola kecil

Tunjukkan cara menyusun bebola kecil plastisin mengikut cara menulis yang betul.




Plastisin di atas saya beli di kedai.

Jika mahu buat sendiri, boleh klik di sini .

Sabtu, 15 November 2014

Soalan Yang Buat Saya Berubah dan Beralih Arah.

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Saya adalah pengguna perkhidmatan talian telefon mudah alih prabayar ****** yang setia. Saya telah mula menggunakan perkhidmatan tersebut dari zaman belajar sehinggalah tahun 2013. Nombor sama yang saya gunakan sehingga sekarang. Biarpun pernah diajak dan dipujuk untuk bertukar kepada Telco lain saya masih setia dengan Celcom.

Namun pada tahun 2013, seorang sahabat bertanya kepada saya. "Apa yang kau dapat dari ****** setiap kali kau beli reload/ top up?"

Saya dengan lurus bendulnya terus jawab "dapat tambah 'kredit' telefon lah"

Kawan saya pun cakap, "Dari dulu sampai sekarang, tak dapat apa-apa?"

"Dapat, bila time birthday dapat free calls." Jawab saya dengan segera.

"Rugilah kalau macam tu", kata kawan saya.

"Apa? Rugi?"

Jeng, jeng, jeng..

(Bersambung)

Persepsi Anak

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Pada suatu petang yang santai sedang saya menyusukan Darwisy di dalam bilik, saya terdengar anak sulung saya, Jiha berbual dengan adiknya, 'Aina di ruang tamu.



Jiha: Kakak jadi rama-rama.

'Aina : 'Aina pun nak jadi rama-rama.



Mereka berlari dengan mendepakan tangan dan berpusing-pusing di ruang tamu sambil ketawa gembira seolah-olah mereka adalah rama-rama yang sedang terbang bebas di taman bunga.

Seronok betul mereka dengan imaginasi mereka. Selepas berpusing-pusing beberapa ketika, 'Aina menjengah saya yang masih menyusukan Darwisy di dalam bilik.



'Aina : Mama jadi apa?

Jiha : Mama jadi singa.

Mama : Kenapa mama jadi singa ?

Jiha : Sebab Mama garang macam singa.


Ha? Mama garang macam singa? Oh, garang sangatkah saya sehingga saya dilihat seperti singa?

Ya, saya mungkin sedikit tegas dengan Jiha yang saya kira sudah mumaiyiz (sudah tahu baik dan buruk) dan lebih menekankan displin.


'Aina : Ayah jadi apa?

Jiha : Ayah jadi harimau.Darwisy jadi kancil.



Saya terus meyampuk.



Mama : Eh, macamana kancil boleh menyusu dengan singa?

Jiha : Eh, tak..tak.. ok..Mama singa yang baik.


Lucu juga bila saya kenangkan perbualan tersebut. Bayangkan harimau menyusukan kancil.

Sabtu, 11 Oktober 2014

Cabaran utama mendidik anak-anak kecil.

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Ramai ibu bapa yang saya temui  berkata mereka rasa susah dan agak mencabar mengajar anak sendiri.

Antara perkara yang disebut menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak kecil ialah:

~ anak-anak yang aktif, tidak boleh duduk diam, ada sahaja benda yang mereka buat dan selongkar, lasak, berlari ke sana ke mari
~ tidak mahu mendengar, tidak mahu ikut arahan, melawan, degil



~ suka buat sepah mainan, suka menconteng
~ cepat mengantuk, cepat bosan, tidak berikan perhatian.
Sebenarnya ibu dan ayah yang prihatin, itu bukanlah cabaran utama. Itu adalah perkara semulajadi bagi seorang anak kecil. Kita perlu sentiasa faham bahawa anak-anak kecil belajar melalui bermain. Apabila mereka seronok dan gembira mereka lebih mudah untuk belajar.

Jadi, apakah cabaran utama?
Ibu dan ayahlah cabaran utama. Tanyakan semula soalan-soalan berikut kepada diri kita:

~ apakah persediaan ibu dan ayah sebelum dikurniakan cahaya mata dari segi ilmu dan kemahiran keibubapaan.

~ sikap dan perangai yang ibubapa tunjukkan kepada anak-anak kecil. Cara bercakap? Cara makan? apakah hobi kita? mengaji, membaca, menonton, tidur 

~ sudah kenalkah ibu dan ayah tentang anak-anak mereka, apakah kecenderungan mereka, apakah pendedahan yang sudah diberikan. Apakah cara belajar anak ?

~ apakah makanan yang kita berikan kepada anak-anak ? makanan sihatkah ? makanan halalkah?

~ apakah yang selalu kita katakan kepada anak-anak? kata-kata yang baik? nilai-nilai yang baik?

Sekali lagi, ingin saya tekankan, kitalah sebagai ibubapa yang menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak.

Perlunya ada ilmu, kemahiran, sikap yang positif dalam mendidik anak-anak. Kitalah yang perlu memperbaiki diri supaya anak mengikut contoh yang baik dari diri kita. Kita perlu mendidik diri kita dahulu, latih diri menjadi sabar, tenang dan penyayang.

Mana mungkin kita dapat senyum dan memberi pelukan apabila kita tidak berjaya mengawal perasaan marah atau stress bekerja. Mana mungkin kita dapat memujuk anak yang meragam apabila kita kepenatan dengan tugas seharian.

Bagaimana anak mahu belajar, apabila muka kita tegang dan ketat? Bagaimana anak mahu belajar jika ianya tidak menarik dan tiada unsur-unsur menggembirakan? Bagaimana anak mahu belajar jika kita tidak pernah memberi pujian kepada usaha mereka?


Anak-anak kecil tidak meminta yang bukan-bukan. Mereka tidak meminta pakaian yang berjenama, makanan atau permainan yang mahal. Mereka hanya perlu kasih sayang, pelukan, senyuman, kata-kata dorongan, kata -kata semangat, kata-kata galakan dan pujian. Bermainlah dengan mereka. Ceritakan mereka dengan cerita yang mempunyai nilai-nilai yang baik. Berikan mereka senyuman dan pelukan. Ajar dan didik mereka mengikut umur dan tahap kematangan mereka.

Fahami dan hormati naluri semulajadi anak-anak kecil. Kenali mereka dan perhatikan kecenderungan mereka. Kenalpasti kecerdasan mereka agar kita sebagai ibubapa dapat membantu pembelajaran mereka. Berikan mereka pendedahan yang luas tentang kehidupan dan perkara di sekeliling mereka.

Rabu, 8 Oktober 2014

Perpustakaan Mini Di Rumah

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Siapa ada perpustakaan atau perpustakaan mini di rumah?

Saya pernah berbual dengan pegawai perpustakaan tentang perpustakaan di rumah. Pegawai tersebut memaklumkan bahawa dahulu, jika ada sesiapa yang mahu adakan perpustakaan di rumah, boleh beritahu pihak perpustakaan, kemudian mereka akan datang 'set -up' perpustakaan kita di rumah.

Menarik bukan?

Namun katanya lagi, sekarang sudah tidak ada perkhidmatan begitu.

Impian

Saya mahu adakan perpustakaan di rumah. Sudah lama berimpian mahu wujudkan perpustakaan di rumah. Saya mahu jadikan salah satu bilik atau ruang di rumah sebagai  perpustakaan.Saya mahu perpustakaan itu digunakan sepenuhnya oleh ahli keluarga saya dan menjadikannya antara ruangan rumah yang paling mereka sukai. Tempat lepak terbaik di rumah.

Perpustakaan Mini Sebagai Permulaan


Oleh kerana belum memiliki rumah sendiri, saya adakan satu ruang kecil untuk perpustakaan mini di rumah sewa. Hanya ada rak buku, sofa dan meja kecil.




Alhamdulillah, buku-buku koleksi saya dan suami sudah pun saya proses sedikit demi sedikit. Saya gunakan buku dari Dewan Bahasa ini sebagai rujukan untuk tujuan pengelasan buku.





Cop untuk logo perpustakaan dan maklumat buku ini sudah lama saya buat, namun baru tahun lepas saya dapat menggunakannya. Punya lama saya peram.




Apa yang saya dapati sejak saya adakan perpustakaan mini di rumah, anak-anak dan suami suka duduk di ruangan yang  disediakan. Walaupun kecil, saya sangat bersyukur mereka manfaatkannya.

Saya doakan semua rumah mempunyai perpustakaan atau mini perpustakaan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga. Aamiin ya rabbal'alamiin.

Sabtu, 9 Ogos 2014

Murid Cilik

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah.

Syukur ada anak murid cilik. Dia tengok sahaja muka dan mulut kita bila kita bunyikan huruf. Kadang-kadang dia cungkil pula mulut kita.  Bila tunjuk kad imbas, dia ambil , renyuk-renyuk dan masuk dalam mulut dia. Kita berselawat dan bernasyid dia goyang-goyang badan. Dia tepuk tangan bila kita nyanyi lagu yang berima. Yang bestnya tidak pernah tunjuk muka bosan atau jemu walaupun lagu yang sama berulang kali.

Bila kita pegang buku, dia tengok dan mahu pegang juga. Tapi bila kita tidak baca buku dia tarik semua buku-buku di rak mini kakak-kakaknya. Tidak tahu nak kata dia nak baca buku atau nak sepah buku. Hehehe.

Nampak macam tidak tahu dan tidak faham apa-apa, tapi rupanya sedang menyerap dan menyimpan input dalam otaknya. Tup..tup..dalam tempoh yang lain sudah boleh meniru apa yang diajar atau yang dilihat. SubhanaAllah. Memang otak mereka sedang berkembang. sekarang dalam diam dia ada lagu dia sendiri. Sambil main-main berbunyi irama dari mulutnya.

Rasa rugi juga tidak mula awal pada kakak- kakaknya. Tapi sekarang tidak mahu fikir tentang perkara yang sudah berlalu. Sekarang hanya perlu ambil iktibar dan bertindak. Hargai apa yang ada sekarang.

Sekarang, semua dalam rumah kena cakap macam orang dewasa dengannya. Sesekali tersasul juga bahasa 'baby' terutama bila mengajuk gayanya. Biar murid cilik ini biasa mendengar bahasa dan sebutan yang betul. InsyaAllah dengan mendengar bunyi sebutan yang betul ia dapat membantunya apabila belajar membaca kelak.

Muhammad Darwisy sudah satu tahun. Alhamdulillah. Syukur.
Mama doakan anak bertuah ini jadi hamba Allah yang diredhaiNya, beri manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Bertuah dia dapat menyusu sepenuhnya. InsyaAllah kita teruskan hingga tahun kedua. Aamiin ya rabbal'alamiin.

Khamis, 22 Mei 2014

Menuntut Ilmu

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Cemburu saya melihat apabila ada sahabat-sahabat yang post gambar di fb, di tweeter atau di instagram yang mereka sedang berkursus, mendengar ceramah, sedang belajar, sedang berguru, sedang bertalaqi atau membaca. Saya sangat cemburu. Kenapa saya  cemburu?

Saya terus terkenang kepada kata-kata ustazah di sekolah menengah semasa mengajar tentang menuntut ilmu. "Setiap makhluk mendoakan untuk orang yang menuntut ilmu, seperti ikan di laut, burung di langit mendoakan orang yang menuntut ilmu.

Betapa bertuah dan beruntungnya orang yang menuntut ilmu. Bukan sahaja mendapat pahala, didoakan oleh segala makhluk, bahkan dengan ilmu yang diperolehi dapat mengeluarkan diri dari kepompong kejahilan. Lebih manis bila dapat kongsikan pula ilmu yang diperolehi dengan orang lain.

Jadi, bila berpeluang menimba ilmu, berdoa dan mintalah dari Allah ilmu yang bermanfaat dan jauhkan dari ilmu yang tidak bermanfaat.

Terbayang-bayang tulisan mural di dinding bangunan sekolah rendah dulu, "Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim".

Selasa, 20 Mei 2014

Anak -anak dan pelekat bergambar (stickers)

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Salam sejahtera semua. Didoakan kita semua sentiasa dalam rahmat dan kesih sayang Allah.

Saya perhatikan, anak-anak kecil suka stickers. Ada juga orang dewasa yang suka stickers. Ada yang tampal di motosikal, di kereta, di topi keledar dan sebagainya.

Bila berada di kedai buku dan alat tulis, anak-anak suka pergi ke ruangan sticker. Memang tertarik tengok sebab ada banyak sticker yang cantik, yang comel dan beraneka jenis.

Semasa saya bertugas sebagai guru, saya suka berikan atau tampal 'sticker' pada hasil kerja murid sebagai ganjaran kerana telah buat kerja dengan bersungguh-sungguh. Memang mereka seronok dan yang tidak dapat pula termotivasi untuk buat kerja yang diberikan dengan bersungguh-sungguh.

Di rumah, sesekali saya memberi ganjaran stickers kepada anak untuk di tampal di dalam buku conteng mereka. Memang mereka seronok.

Sabtu, 17 Mei 2014

Melihat ujian dan cabaran dari kacamata berbeza

Teks: Faridah Yusof

Bismillah

Tatkala manusia dapat melihat cabaran dan ujian di dunia ini sebagai tanda kasih sayang dari Allah, pasti setiap cabaran dan ujian dapat dilalui dengan sabar dan tenang. Walaupun ujian dan dugaan yang berat dan memedihkan dada namun ia tidak berlarutan dan sentiasa mengingati Allah dalam setiap saat menghadapinya. Hanya Allah tempat mengadu dan meminta.

Di dalam hati dengan penuh yakin merasakan ada rahmat dan hikmah di setiap ujian dan dugaan yang Allah datangkan. Sentiasa bersangka baik, sujud dan melipat gandakan zikir serta amal ibadahnya.

Bermuhasabah diri dan terus mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Menyalahkan orang atau pihak lain juga dielakkan bahkan sentiasa melihat ke dalam diri.

Allah. Bila Engkau masukkan kemanisan iman di dalam dada manusia, tiada lagi yang lebih manis dan indah hanya hidayah dan taufik dariMu menjadi penguat diri.

Dibibir tidak putus mengucap zikir penguat jiwa dan nurani agar tidak mudah goyang dek bicara orang lain.

Didoakan kekuatan buat ahli keluarga, para isteri atau suami, anak-anak, ibubapa yang sedang dilanda ujian berat. Allah sentiasa bersama kalian. Allah memberi ujian pada manusia yang kuat dan mampu menghadapinya. Didoakan kesabaran menghadapi ujian ini menjadi asbab untuk kalian ke syurga Allah dan kekal abadi di dalamnya. Aamiin Ya Rabbal'alamiin.

Khamis, 15 Mei 2014

Anak Tidak Mahu Pergi Sekolah & Biskut

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Anak kedua saya yang berusia 5 tahun ( bulan November nanti baru genap 5 tahun) sekarang selalu tidak mahu pergi ke sekolah tadikanya. Biarpun sudah bangun dan mandi, dia tidak mahu pakai baju sekolah. Dia menjerit tak nak, bila saya atau suami memujuk untuk pakai baju sekolah.

Kerap kali kami terpaksa menawarkan ganjaran seperti  makanan kegemaran atau permainan kegemaran atau dibawa ke taman permainan jika dia mahu ke sekolah. Adakalanya tawaran itu diterimanya, cepat sahaja dia bersiap. Namun selalunya lansung tidak menjadi dan dia berkeras tidak mahu ke sekolah. Puas berfikir cara supaya dia rasa seronok mahu ke sekolah.

Jika ikutkan saya, tahun depan sahaja baru masuk tadika semula apabila umurnya masuk 6 tahun. Suami pula berpendapat, teruskan sahaja agar dia boleh belajar bersosial dan berkawan-kawan. Di sekolah, menurut gurunya dia seorang yang pendiam dan mendengar kata, selalu menjadi contoh kepada kawan-kawan. Namun bila di rumah dia seorang yang aktif, tidak duduk diam, suka memanjat, suka mengusik adik dan macam-macam lagi karenahnya. Tapi, bila diajak buat kerja sekolah, dia tidak mahu. Lain yang disuruh, lain yang ditulisnya. Alahai anak.

Ada satu kisah yang saya mahu kongsikan. Semoga boleh menjadi idea buat tuan dan puan jika menghadapi masalah seperti saya.

Pada suatu pagi, anak saya ini, tidak mahu pergi sekolah. Puas saya dan suami menawarkan ganjaran seperti aiskrim, coklat, permainan baru, kek, donut, pergi berenang, pergi jalan-jalan, pergi taman permainan, pergi perpustakaan, namun semuanya tidak berjaya. Tiba-tiba saya teringat mahu bungkuskan biskut untuk kakaknya. Sedang saya membungkus biskut untuk si kakak, terus anak saya ini mahu ke sekolah sambil memegang bekas biskut yang baru dibakar semalam dan berkata "ni nak makan dengan kawan". Terus saja dia mahu bersiap ke sekolah. Alhamdulillah.

Rabu, 14 Mei 2014

Pengajaran dari kisah " The Mayonnaise Jar'

Teks: Faridah Yusof

Bismillah


Syukur alhamdulillah dapat kawan-kawan yang suka berkongsi kisah-kisah yang memberi motivasi dan inspirasi.

Saya salin dan kongsikan semula di sini.

Pengajarannya: utamakan keluarga. :)

 
The Mayonnaise Jar

When things in your life seem, almost too much to handle,
When 24 Hours in a day is not enough,
Remember the mayonnaise jar and 2 cups of coffee.
A professor stood before his philosophy class and had some items in front of him. When the class began, wordlessly he picked up a very large and empty mayonnaise jar and proceeded to fill it with golf balls.
He then asked the students, if the jar was full. They agreed that it was.
The professor then picked up a box of pebbles and poured them into the jar. He shook the jar lightly. The pebbles rolled into the open Areas between the golf balls. He then asked the students again if the jar was full. They agreed it was.
The professor next picked up a box of sand and poured it into the jar. Of course, the sand filled up everything else. He asked once more if the jar was full. The students responded with a unanimous 'yes.'
The professor then produced two cups of coffee from under the table and poured the entire contents into the jar, effectively filling the empty space between the sand. The students laughed.

'Now,' said the professor, as the laughter subsided,
'I want you to recognize that this jar represents your life.
The golf balls are the important things - family,
children, health, Friends, and Favorite passions –
Things that if everything else was lost and only they remained, Your life would still be full.
The pebbles are the other things that matter like your job, house, and car.
The sand is everything else --The small stuff.
'If you put the sand into the jar first,' He continued,
'there is no room for the pebbles or the golf balls.
The same goes for life.
If you spend all your time and energy on the small stuff, you will never have room for the things that are important to you.
So...
Pay attention to the things that are critical to your happiness.
Play With your children.
Take time to get medical checkups.
Take your partner out to dinner.
There will always be time to clean the house and fix the disposal.
'Take care of the golf balls first --
The things that really matter.
Set your priorities. The rest is just sand.'
One of the students raised her hand and inquired what the coffee represented.
The professor smiled. 'I'm glad you asked'.
It just goes to show you that no matter how full your life may seem, there's always room for a couple of cups of coffee with a friend.'

Selasa, 13 Mei 2014

Buku Cinta di Rumah Hasan Al Banna

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah, berpeluang juga saya membaca buku Cinta di Rumah Hasan Al-Banna.

Betapa proses pendidikan anak-anak telah bermula sejak dari awal perkahwinan iaitu pemilihan ibu oleh ayahnya. Setelah itu, anak berhak menerima nama yang baik-baik dan diajarkan Al-Quran.

Jika sebelum ini saya faham dan tahu, ibu memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak, namun sentuhan didikan dari seorang ayah juga sangat penting dan sangat berkesan. Ibubapalah yang bertanggungjawab kepada anak-anak.

Allahuakbar, memang satu tugas yang berat. Sangat memerlukan ilmu dan pengetahuan serta pembelajaran yang berterusan.

Teringat semasa di sekolah dulu, ustazah suruh hafal nama tokoh-tokoh Islam dan antara yang saya masih ingat ialah Hasan Al-Banna.

Saya doakan semoga semua ibubapa di luar sana sentiasa mencari ilmu keibubapaan supaya dapat mendidik dan membimbing anak-anak mengikut cara yang bersesuaian. Aamiin.


Isnin, 12 Mei 2014

Tukar matawang dunia ke matawang akhirat

Teks: Faridah Yusof

Wang. Duit. RM.
Siapa yang tak suka pada duit.
Saya suka dan anda juga pasti suka.

Namun apa sahaja yang di dunia seperti duit, emas, dinar, barang perhiasan, saham, rumah banglo dan segala harta yang kita miliki dan kita usahakan di dunia, kita tidak dapat bawa bersama saat kita dikuburkan. Kita akan tinggalkan segala yang kita ada apabila kita telah meninggal dunia. Orang yang kita tinggalkan pula yang akan mengusahakannya.

Bagaimana mahu menukarkan mata wang dunia ke mata wang akhirat?

Bagaimana kekayaan kita di dunia boleh kita manfaat untuk kehidupan di akhirat?

Berikut antara cara untuk menukar mata wang dunia kepada mata wang akhirat (pahala)

1. Waqaf

2. Infaq/ Sedeqah

3. Ilmu bermanfaat yang diajar kepada orang lain

4. Doa dari anak-anak




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...