Selasa, 21 Januari 2014

Ambil angin petang di Teluk Batik

Teks: Faridah Yusof

Setiap hari, seperti selalu saya akan hantar dan jemput anak-anak serta suami.

Semalam selepas menjemput suami dari tempat kerja, anak yang kedua ajak ke pantai pula. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk ke Teluk Batik.

Inilah kali pertama kami ke Teluk Batik sejak berpindah ke Manjung. Tidak jauh hanya 15 minit dari rumah.

Bila sahaja suami bagi lampu hijau, kami singgah ke rumah sebentar untuk suami tukar selipar dan kemeja T. Kemudian sebelum ke Teluk Batik,  kami berhenti dahulu di gerai berhampiran rumah untuk beli keropok lekor dan air cincau.

Gembira sungguh anak-anak. Sampai sahaja di Teluk Batik, kami pilih tempat untuk duduk dan menikmati keropok lekor sambil melihat permandangan laut.

SubhanaAllah. Luas sungguh lautan. Ini baru sebahagian dari Selat Melaka, belum lagi Laut China Selatan, Lautan Pasifik dan lain-lain lagi.

Tidak ramai orang di pantai. Biasanya pada hujung minggu, pantai Teluk Batik penuh dengan pengunjung dari jauh dan dekat.

Selepas habis keropok lekor yang panas-panas dan garing dimakan, anak-anak pula mahu jalan-jalan di tepi pantai. Bukan main seronok main kejar-kejar dengan ombak.

Anak yang sulung pula mahu main air. Eh dah melarat-larat. Tadi mahu jalan-jalan, kemudian mahu main air pula. Jam sudah pukul 6.15 petang.

Akhirnya kedua-dua anak main air, habis basah baju dan seluar. Sudahlah tidak bawa baju ganti.

Tidak mengapalah anak-anak. Yang paling penting kalian gembira dan ceria.

Teluk Batik (gambar:carian Google)

Isnin, 20 Januari 2014

Bila Anak Meragam

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak menyatakan perasaan dan emosinya melalui pelbagai cara. Mungkin melalui kata-kata, ekpresi muka, tangisan, rengekan, jeritan, amukan, lukisan dan sebagainya.



Ekpresi wajah sedih

Teringat saya kepada karenah salah seorang anak saya ketika dia berusia sekitar 4-5 tahun. Apabila permintaannya tidak dipenuhi , dia akan berkata, "Mama tak cantik" atau "Ayah tak cantik". Saya suka mengusiknya kembali dengan berkata, "Ya kan, ayah tak cantik tapi ayah 'handsome' " /  " Ya kan mama tak cantik tapi mama 'pretty' ". Kemudian saya tambah lagi, saya kata padanya, "Kamu cantik, kamu 'pretty'. Cantik nak apa? Cuba cakap pada mama."

Adakalanya, anak menangis dan menjerit-jerit jika mahukan sesuatu. Namun, bila sudah dipenuhi permintaannya, sebagai contoh sudah dibuatkan air yang diminta, dia tidak pula meminumnya. Geram juga dibuatnya. Kadang-kadang, dia sengaja pula tumpahkan air yang baru dibuat tadi.Fuh..fuh..fuh..memang kena tarik nafas dalam-dalam dan sabar.

Bila saya perhatikan dan  renungkan perlakuan anak saya yang  berbuat pelbagai ragam begitu, sebenarnya dia mahukan menyatakan emosinya. Mereka mahukan perhatian dari ibubapa.

Apa ibubapa perlu lakukan bila berhadapan dengan karenah anak begini?

Ibu bapa perlu mengenal pasti punca sebenar anak meragam:

1. Adakah dia lapar?
2. Adakah dia tidak sihat?
3. Adakah dia mengantuk dan mahu tidur?
4. Adakah dia mahukan perhatian?

Peluk dan tanyalah anak dengan lemah lembut tentang apa yang dia mahu. Elakkan dari marah dan menengking anak. Emosinya akan lebih cedera. Setelah anak berhenti meragam, berbual dan berbincanglah dengan anak dengan baik. Beritahu kepada anak, perbuatan tersebut tidak bagus.


Saya dapati, bila saya kerap memeluk dan bertanya tentang aktiviti mereka, anak-anak kurang membuat ragam atau buat perangai.



 
Mahu menangis




Selasa, 14 Januari 2014

Bermainlah Wahai Anak

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Saya pernah berkata pada anak-anak saya , " Ok dah ya, simpan mainan, asyik bermain jer. Jom baca buku pula".

Adakah normal kanak-kanak asyik bermain sahaja?

Sebelum ini, saya rasa macam rugi jika anak-anak asyik bermain sahaja.

Melalui pembacaan dan pemerhatian saya, rupa-rupanya dengan bermain, ia dapat membantu perkembangan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak.
Mereka lebih ceria dan mudah mendengar kata setelah puas bermain. 

Bermain juga dapat mengembangkan potensi serta kreativiti kanak-kanak. Semasa bermain mereka menggunakan daya imaginasi dan angan-angan mereka.
 
Sekarang, saya suka memerhati anak-anak kecil bermain. Ada sahaja telatah dan aktiviti mereka yang mencuit hati dan buat saya tersenyum sendiri. Apabila kanak-kanak bermain, apa sahaja barang atau alat yang mereka jumpa mereka gunakan sebagai alat permainan mereka. Adakalanya riben di plastik hamper hadiah juga dijadikan permainan, dijadikan gelang dengan membuat lilitan di pergelangan tangan.

Mereka leka dan begitu asyik dengan permainan mereka. Mereka menikmati saat indah dalam kehidupan mereka dengan bermain. Sebahagian besar masa kanak-kanak dipenuhi dengan bermain.
 



Adakah bagus untuk kanak-kanak bermain sahaja?

Sebagai ibubapa, kita memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dapat bermain dan mereka mendapat manfaat daripada aktiviti bermain tersebut. Kita perlu memantau anak-anak ketika bermain. Sediakan permainan yang bersesuaian dengan umur mereka dan selamat untuk digunakan.

Sekali-sekala bermainlah juga bersama anak-anak. Mereka sangat gembira bila ibu dan bapa turut menyertai pemainan mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...