Teks: Faridah Yusof
Bismillahirrahmanirrahim. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..
Assalamu'alaikum wbt..
Alhamdulillah,
segala puji-pujian hanya untuk Allah SWT. Izinkan saya memperkenalkan
diri. Nama saya Faridah Binti Yusof. Anak sulung dari 8 adik beradik (7
perempuan dan seorang lelaki). Berumur 35 tahun dan saat ini sudah
mempunyai 2 orang cahaya mata serta sedang sarat dengan kandungan yang
ke-4. Saya mula memegang jawatan pengurus rumah sepenuh masa dan bekerja
dari rumah sejak April 2011 setelah saya meletakkan jawatan sebagai
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru Bahasa Inggeris).
Alhamdulillah,
syukur yang tidak terhingga kepadaNya di atas peluang belajar dari saya
kecil hingga dewasa. Bermula dari pendidikan awal dari rumah oleh ibu
dan abah. Ketika berumur 6 tahun mula bersekolah di Kindergarten
Treacher Methodist, Taiping. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah
Rendah Convent Klian Pau, Taiping sehingga darjah 3, seterusnya Sekolah
Kebangsaan Chenderah, Jasin, Melaka. Mendapat pendidikan menengah di
Sekolah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah Melaka dari tingkatan 1-5 dan
kemudian menyambung Foundation New Zealand (Accounting) di Emile Wolf
College, Kelana Jaya. Seterusnya menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana
Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan) Lincoln University di
UNITEN di bawah program tajaan MARA.
Setelah tamat
belajar, saya sempat bekerja di bahagian akaun dan cukai di sebuah
syarikat swasta. Tidak bertahan lama, saya akhirnya bertukar kepada
bidang pendidikan. Bermula menjadi guru ganti di beberapa buah sekolah
kebangsaan , menjadi guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen, kemudian guru
kontrak di Institut Kemahiran Mara dan akhirnya mendapatkan ilmu dan
Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka.
Bermula
dengan bertugas secara rasmi sebagai seorang guru dan pendidik memberi
saya pengalaman yang sangat berharga. Tugas mengajar dan mendidik adalah
tugas yang sangat mulia. Seperti yang selalu disebut oleh Prof Dr
Muhaya , kerjaya guru adalah kerjaya yang memberikan ladang pahala.Saya
sangat meminati bidang ini. Patutlah emak saya beriya-iya mahu saya
menjadi seorang guru. Namun setelah berumah tangga dan mempunyai
cahayamata, rasa tanggungjawab dan keinginan mendidik anak di rumah
menjadi begitu menebal. Saya rela meletakkan
jawatan demi memberi tumpuan pada tempoh kritikal pembesaran anak-anak
dari umur 0-7 tahun. Setelah beristikharah, memohon petunjuk Ilahi,
berbincang dengan suami dan berfikir selama 2 tahun, akhirnya saya tekad
meletakkan jawatan Gred 41 ini tanpa menoleh ke belakang lagi. Pelbagai
respon dari sahabat, saudara mara dan orang sekeliling tentang hal
perletakan jawatan ini. Ramai yang menyokong niat suci ini dan menyatakan rasa
cemburu kerana mereka juga ingin berbuat hal yang sama. Tidak kurang
juga yang kurang bersetuju. Walau apa pun , saya terima segala respon
dengan berlapang dada. Saya yakin, itu tandanya orang-orang di
sekeliling mengambil berat tentang diri saya..Alhamdulillah..:)
Alhamdulillah..Allah
izinkan saya menjaga dan mendidik anak sendiri. InsyaAllah saya akan
menggunakan masa dan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan
dengan segala upaya.
InsyaAllah, dengan izinNya jua
melalui penulisan ini saya akan kongsikan kepada para pembaca tentang
pendidikan awal anak-anak. Saya bukanlah orang yang pakar dan
berpengalaman luas di dalam bidang pendidikan awal anak-anak. Namun,
saya akan kongsikan dapatan dari hasil bacaan dan carian dari pelbagai
sumber bacaan. Sebarang komen dan makluman dari para pembaca amat saya
alu-alukan agar sama-sama kita mendapat manfaatnya. Doakan agar
penulisan ini mendatangkan manfaat seterusnya dapat menjadi pencen kubur
saya di sana kelak. Aamiin...
Salam perkenalan dari saya.
Wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan