Selasa, 24 Mac 2015

Bila tiba masa

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Setiap hari, melalui media sosial  seperti Facebook, Whatsapp danTelegram, saya membaca perkhabaran gembira dan duka sahabat-sahabat dan saudara-mara.

Ada yang baru dijabkabulkan, ada yang baru menyambut kehadiran cahayamata, ada yang baru sembuh dari sakit, ada yang sedang bercuti, ada yang menunaikan Umrah dan ziarah, ada yang sedang meniti kejayaan dalam perniagaan, ada yang meraikan kejayaan dalam kerjaya, ada yang berjaya menulis buku dan macam-macam lagi. Alhamdulillah saya menumpang rasa syukur dan gembira di atas rezeki serta nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka.

Tidak kurang juga, perkabaran sedih seperti berita ditimpa sakit, kesempitan hidup, kematian ahli keluarga dan rakan, kemalangan, diragut, ditipu, kerugian dalam perniagaan, perceraian, rumah dipecah masuk, kereta di curi dan macam-macam lagi. Innalillahiwainnailaihirojiun, dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan kembali. Sesungguhnya saat getir ujian dan dugaan tiba, Allah dengan kasih sayangnya menyertakan hikmah dan rahmatNya buat kita semua. Tiada yang sia-sia. Bagi yang redha dan sabar menghadapinya, bukan sahaja keampunan dari Allah , malah Allah memberikan pahala dan meningkatkan darjatnya di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya, bila tiba masanya, apa sahaja yang Allah tentukan buat kita, pasti tiba.

Kita perlu lalui dan menerimanya  dengan rasa syukur dan redha.

Cukuplah Allah bagiku, cukuplah Allah sebagai penolong.

Jumaat, 20 Mac 2015

Klinik Mesra Kanak-kanak

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah.

Si Manja, Muhammad Darwisy kurang sihat beberapa hari yang lalu. Makan juga kurang berselera. Selsema dan batuk agak teruk kali ini.

Biasanya, jika Muhammad Darwisy demam tidak lama. Namun kali ini agak lama.Akhirnya suami memberi cadangan untuk bawa ke klinik.

Seingat saya, ini kali pertama kami bawa Muhammad Darwisy ke klinik. Sewaktu kami tiba di klinik, tidak ramai orang.

Yang menarik perhatian kami dan anak-anak terutamanya ialah suatu sudut yang ada ruang untuk kanak -kanak bermain. Ada meja dan kerusi kanak-kanak, ada permainan dan dinding di sudut tersebut bercorak 'puzzle' yang berwarna-warni.

Anak-anak saya terus ke ruangan tersebut dan bermain di situ. Si manja yang tidak sihat tadi hilang demam selsemanya dapat bermain.

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Klinik Dr Zarina, Seri Manjung, Perak di atas keprihatinan pihak klinik menyediakan ruang bermain untuk kanak-kanak.

Saya terus teringat kepada Wad Kanak-kanak Hospital Likas, Kota Kinabalu , Sabah. Ada satu bilik yang dikhaskan untuk kanak-kanak melakukan pelbagai aktiviti. Biliknya dicat dengan warna yang cantik beserta karakter-karakter kartun terkenal. Bukan kanak -kanak sahaja rasa teruja dan ceria dengan suasana bilik tersebut, malah kami turut merasa seronok.

Sabtu, 14 Mac 2015

Aktiviti Santai Cuti Sekolah

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah.

Hari ini bermula cuti sekolah anak-anak. Cuti sekolah seminggu ini, walaupun sekejap namun perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Alhamdulillah, hari ini sahaja kami menghadiri dua jemputan perkahwinan.

Sebelah petang pula, bawa anak-anak ke perpustakaan. Hari ini ada aktiviti kraf di perpustakaan tapi kami sampai lewat. Aktiviti telah pun selesai dijalankan. Namun, rezeki anak-anak dapat pula hadiah dari pustakawan bertugas.

Dari perpustakaan, kami ke Lumut pula untuk ambil angin petang. Ramai orang berada di sini hari ini. Cuaca yang redup dan berangin menjadikan suasana nyaman untuk bersantai bersama keluarga.

Seronok anak-anak bermain dan bersiar-siar sambil menikmati tiupan angin laut yang kuat.

Si manja Muhammad Darwisy terpegun mendengar bunyi enjin feri ke Pulau Pangkor yang kuat sambil melihat bot dan feri di tepi laut yang luas.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah atas kesempatan yang diberikan kepada kami hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...