Jumaat, 31 Ogos 2018

Me Time

Teks : Faridah Yusof

Tengahari tadi dapat Whatsapp dari kawan. Lama kami tidak berjumpa.

Selepas berbual, bertanya khabar, dia ajak keluar malam nanti. Jumpa dan makan-makan.
Masing-masing kena tanya tuan suami dahulu. Jika lulus, baru 'on' perjumpaan malam ini.

Alhamdulillah. Tuan-tuan suami dah bagi kebenaran. Maka berjumpalah kami. Kami bertiga. Saya paling lewat sampai sebab ada kelas membaca dan kemudian ada perbincangan pendek dengan ibu murid.

Paling tak sangka. Kami tidak pernah keluar malam. Jadi malam ini 'me time' kami. Tiga-tiga surirumah. Macam kami pula nak sambut merdeka.

Berbual sambil makan char kuetiau dan minuman masing-masing. Banyak kisah yang dikongsikan. Ibrah dari surah Yusof, kisah pengajaran dari kematian, kisah keluarga. Yang penting bukan membawang. Hehehe.

Tak sedar sampai pukul 12.30 malam. Masing-masing insaf dan sedar diri. Mak-mak nak kena balik. Bukan cinderella ya.

Tapi memang best betul 'me time' kali ini. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah dan terima kasih tak terhingga kepada suami.

Khamis, 30 Ogos 2018

'Aina Mahu Belajar Baca Bahasa Inggeris

Teks: Faridah Yusof

Selepas membaca Iqra' tadi, 'Aina beritahu saya dia mahu belajar membaca Bahasa Inggeris. Terperanjat juga.

Dulu, selepas habis membaca set Buku Bacalah Anakku, saya tawarkan untuk ajar bahasa Inggeris guna buku Read Easy, dia tidak mahu. Jadi, saya pun tidaklah memaksa dia.

InsyaAllah, bagi saya, belajar menggunakan buku Read Easy tidak sukar bagi 'Aina kerana dia sudah biasa dengan kaedah gabung bunyi semasa belajar membaca menggunakan buku Bacalah Anakku.

Alhamdulillah. Perkenalkan bunyi baru dan dia dapat menggabungkan semua bunyi menjadi satu perkataan.

Dia pun nampak bersemangat. Yang penting sesi pembelajaran, pendek dan tidak menekan atau terlalu serius. Selepas belajar, 'Aina buat latihan dalam buku aktiviti Read Easy.



Rabu, 29 Ogos 2018

Doa untuk perokok

Teks: Faridah Yusof

Semalam banyak urusan di luar. Ke klinik untuk temujanji kemudian kami singgah sekejap di bank.

Saya dan anak-anak tidak ikut masuk ke bank. Hanya tunggu di luar.

Semasa menunggu, terpandang seorang wanita yang agak berumur duduk di luar pintu bank tidak jauh dari kami. Penat agaknya, di situ tiada kerusi jadi dia duduk di lantai sahaja. Kasihan pula melihatnya.

Sambil menunggu suami, saya memandang sekeliling. Ramai juga orang ketika itu. Waktu makan tengahari. Cuaca juga agak panas.

Entah kenapa, rasa sayu. Saya melihat beberapa orang lelaki, di hujung kiri, di hujung kanan di luar bank masing-masing menyedut asap rokok.

Tiba-tiba, terpandang pula makcik yang duduk dekat pintu bank itu, diam-diam juga sedang menghisap rokok. Ini lagi memeranjatkan.

Ingatkan saya sahaja yang nampak. Sekali, anak juga terlihat perkara yang sama.

Benarlah seperti yang terdengar di dalam radio baru-baru ini. Kata ahli panel dalam perbincangan tentang isu rokok pada hari itu, secara tidak lansung kita semua juga perokok dan boleh menerima kesan dari asap rokok. Paling kasihan ialah kanak-kanak, wanita mengandung dan mereka yang mengalami masalah paru-paru.

Saya hanya mampu berdoa kepada Allah. Semoga zuriat keturunan kami tiada yang merokok. Semoga para perokok dikurniakan hidayah dan kekuatan untuk berhenti merokok. Aamiin.

Selasa, 28 Ogos 2018

Memahami Keperluan Anak-anak Kecil

Teks: Faridah Yusof

Berada di rumah sepanjang hari dengan anak-anak kecil memang meletihkan. Bukan sahaja fizikal malah juga mental. Mana mahu selesaikan tugas harian di rumah seperti mengemas, memasak, membasuh dan panjang lagi senarainya. Belum masuk lagi, bila si ibu juga berusaha gigih menjana pendapatan dari rumah. Tentu malamnya letih yang teramat.

Walau bagaimanapun, tekanan dan kepenatan dapat diminimakan. Caranya, ibu perlu memahami dan penuhi keperluan anak-anak.

Anak-anak kecil sebenarnya tidak banyak permintaan. Kajian menunjukkan, kanak-kanak yang ceria dan membesar menjadi dewasa yang sihat tidak memerlukan baju yang mahal, gajet yang canggih, permainan yang melalaikan.

Jadi, apakah yang mereka perlukan?

Anak-anak perlukan:

1. Perhatian
2. Kasih sayang
3. Kata-kata yang baik
4. Dorongan dan kata semangat
5. Bermain bersama
6. Tunjuk ajar/ model contoh dari ibu bapa yang baik dan berterusan
7. Permainan yang bersesuaian dan menggalakan perkembangan otak anak
8. Makanan yang bersih dan sihat serta bernutrisi
9. Pendidikan yang baik dan bersesuaian

Sepanjang hari bersama anak-anak di rumah, pastikan perkara-perkara ini diperhatikan. Dari anak bangun pagi, waktu mandi, waktu makan, waktu bermain dan belajar sehingga anak tidur, itulah perkara asas yang perlu diselitkan.

Berdoa dan mohonlah petunjuk dari Allah supaya sentiasa diberikan petunjuk dan hidayah dalam menjaga amanah dari-Nya ini.


Isnin, 27 Ogos 2018

Rezeki Hari Isnin

Teks: Faridah Yusof

Beberapa minggu ini teringin benar mahu makan bubur kacang hijau. Tuan suami sudah pun belikan bahan-bahannya. Cuma tukang masaknya  belum berkesempatan untuk menyediakan bubur yang diidam-idamkan. 

Hari ini, tidak disangka-sangka, seorang sahabat menghantar sebekas besar bubur kacang yang dibawa dari rumah mertuanya di Kedah. Seronok rasanya bagaikan anak kecil yang mendapat aiskrim.

Bubur kacangnya istimewa. Bukan sahaja ada kacang hijau. Bahkan ada sagu besar, sagu  kecil, kacang merah besar dan jagung. Kata sahabat saya, itu 'signature' masakan ibu mertuanya. Patutlah istimewa sekali.

Sewaktu sahabat menghantar di rumah, masih sejuk. Apa lagi, sebaik sahaja sahabat berlalu pulang ke rumahnya, ambil senduk, sudu dan mangkuk. Tidak bertangguh untuk menjamahnya. Anak-anak pun suka benar.

Suami balik untuk makan tengahari, bawa pula seplastik besar buah duku langsat  dan rambutan. MasyaAllah. Rezeki dari-Nya. Syukur sebanyak-banyaknya.

Ahad, 26 Ogos 2018

Peluang Untuk Kembali Menulis

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Bertemu lagi di ruangan ini. Hampir dua tahun lebih blog ini ditinggalkan.

Bermula hari ini, insyaAllah, saya akan berusaha menggunakan peluang yang ada untuk mengembangkan kemahiran menulis.

Alhamdulillah. Setelah komputer yang rosak ini dapat dibaiki, akhirnya komputer ini bernyawa kembali. Syukur tidak terhingga.

Rindu untuk menulis dan mencatat di blog. Tapi apakan daya. Menulis dari telefon yang kecil dan rendah kapasiti memorinya adalah sesuatu yang tidak menyeronokkan. Kecewa juga pada awalnya. Hanya buku dan kertas tempat mencoret perjalanan seharian.

Masakan tidak, menulis ini menjadi salah satu terapi yang meredakan kepenatan dan tekanan . Ini bagi diri saya sendiri. Mungkin berbeza bagi kalian.

Saya sangat berhajat untuk menambah ilmu penulisan secara berdepan dengan para guru penulisan yang tidak jemu berkongsi ilmu. InsyaAllah, saya yakin. Bila tiba masanya akan terkabul juga cita-cita oleh-Nya.

Sebelum ini kelas penulisan yang sempat diikuti semuanya secara atas talian.

Alhamdulillah, syukur.
Apa yang penting, belajar dan amalkan. Ada yang melalui group facebook, aplikasi telegram dan whatsapp. Seronok dapat belajar dan aplikasikan ilmu baru. Mudah-mudahan, selepas ini, dapatlah saya menulis untuk kebaikan dan mengajak kepada amal makruf melalui penulisan. Aamiin. Saya juga seperti kalian, hanya mengharap redha dan kasih sayang Allah melalui kerja-kerja menulis.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...