Sabtu, 21 November 2015

TIPS KEKAL POSITIF DAN BERMOTIVASI

Teks : Faridah Yusof

Dalam kehidupan kita, ada masa kita bersemangat, cergas dan bertenaga. Ada juga masa kita rasa lemah, lesu dan tidak bermaya.

Bagaimana ingin kekal positif dan bersemangat?

☆ Tulis matlamat dan impian yang ingin dicapai semasa hidup di dunia.

Lihat kembali matlamat dan impian. Adakah matlamat dan impian kita jelas,  boleh dicapai ? Lagi bagus ada 'dream board'. Letak di tempat yang mudah dilihat. Ada juga yang buat dalam bentuk album. Ada gambar-gambar dari kecil serta gambar- gambar impian seperti gambar rumah impian, tempat yang ingin dilawati dan perkara yang mahu dicapai.

☆ Berkawan dan bertemu dengan orang yang berjaya.

Di zaman ini, berkawan dengan orang-orang berjaya adalah mudah. Jadi rakan atau follower mereka yang berjaya di media sosial seperti  Irfan Khairi, Dr Azizan Osman, Prof Dr Muhaya, Puan Ainon Mohd dan ramai lagi. Jika ada peluang, hadiri kursus atau latihan bersama mereka yang berjaya.

☆ Berkawan dengan orang yang positif.

Cari dan bergaul dengan orang-orang yang positif. Sedikit sebanyak kita juga akan menjadi positif.

☆ Amalkan gaya hidup sihat, ambil makanan yang berkhasiat.

Ambil makanan yang halal, seimbang dan berkhasiat. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Kurangkan makanan manis dan berlemak. Jalani kehidupan dengan tenang dan elakkan stress. Badan yang penat dan kurang sihat menyebabkan kita kurang semangat dan tidak bermotivasi.

☆ Sentiasa mencari ilmu. Hadiri seminar, kursus, kuliah yang berkaitan dengan bidang atau bisnes.

Tambahkan ilmu dan kemahiran diri dengan menghadiri seminar, kursus, kuliah atau majlis-majlis ilmu.

Kita juga berpeluang menambah kenalan baru.

☆ Banyak membaca. Baca dan buat catatan serta kongsikan.

Ya, banyak membaca buku termasuk buku motivasi. Ini juga boleh meningkatkan semangat kita. Buat catatan dan kongsikan bersama kawan-kawan yang positif.

☆ Berdoa dan minta dari Allah

Tiada yang berkuasa memberi perubahan melainkan dengan izin Allah swt. Mohon dan berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar diberikan sifat yang positif , bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas atau kerja.

Khamis, 19 November 2015

Bawa Anak Jumpa Doktor Pakar

Alhamdulillah.

Mula-mula kami ke Bahagian Pesakit Luar, jumpa doktor dan dapatkan tarikh temujanji untuk bertemu doktor pakar.

Semalam, mengikut tarikh temujanji yang telah ditetapkan kami ke hospital sekali lagi. Doktor pakar seorang lelaki berbangsa India yang peramah membuat penilaian terhadap masalah anak kedua saya, Nur 'Aina Madihah.

Saya maklumkan masalah anak yang kini berumur enam tahun belum boleh membaca, mengira dan menulis juga terbalik. Di rumah, dia juga kurang minat untuk belajar membaca walaupun pelbagai cara diusahakan. Walaupun pelbagai hadiah dan ganjaran ditawarkan.

Tahun depan, dia akan ke darjah satu, jadi perlu cari jalan ikhtiar agar 'Aina dapat menguasai asas membaca dan mengira.

Doktor dengan lemah lembut bertanya beberapa soalan, menunjukkan beberapa keping kad bergambar kepada 'Aina, namun semua soalan doktor tidak dijawab oleh 'Aina. Dia hanya merenung muka doktor. Setelah beberapa lama, sudahnya saya dan doktor ketawa. Dia lansung tidak membuka mulut. Mulutnya ditutup rapat.

Kemudian, doktor berikan pula kertas dan pen. Dia meminta 'Aina meniru bentuk asas seperti bulat, tigasegi

Puas dipujuk. Tidak juga mahu memegang pen.

Saya maklumkan kepada doktor, di rumah dia berbeza sekali. Di tadika juga, cikgunya memberitahu, dia murid yang baik namun sangat pendiam. Di ruma

Doktor juga bertanya banyak soalan kepada saya tentang 'Aina. Dari sejarah kelahiran, perkembangan tumbesaran, pertuturannya, perkara yang selalu dilakukan atau kecenderungannya, kebolehannya dan banyak lagi.  Saya jawab setiap soalan doktor.

Menurut doktor, perkembangan setiap kanak-kanak berbeza, ada yang cepat dan ada yang lambat. Doktor memberi saranan agar saya meneruskan pembelajaran anak di rumah, bantu dan beri galakan serta sokongan, jangan memarahi anak jika dia tidak mahu belajar.

Doktor juga meminta kami membuat temujanji di bahagian 'Speech Therapy' dan Klinik Mata. Bulan depan kami akan bertemu semula doktor pakar tersebut untuk penilaian seterusnya.

Semoga Allah permudahkan. Aamiin.




Ahad, 15 November 2015

Rindu ke perpustakaan

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Hari ini, saya dan keluarga ke perpustakaan desa untuk pulangkan buku-buku yang telah kami pinjam. Risau juga saya kerana buku-buku yang kami sekeluarga pinjam hampir lewat 2 bulan dari tarikh sepatutnya dipulangkan.

Sewaktu kami sampai, tiada orang di perpustakaan melainkan pustakawan yang bertugas.
Alhamdulillah, syukur, pustakawan tersebut memahami keadaan saya yang baru bersalin dan berpantang.

Anak-anak saya, Najihah dan 'Aina bukan main seronok memilih buku untuk dipinjam di rak buku kanak-kanak. sekejap pilih yang ini, sekejap pilih yang itu. Muhammad Darwisy pula berlari-lari ke sana ke mari dengan aktif.

Saya pun tanpa berlengah memilih buku-buku untuk dipinjam sambil mendukung anak kecil saya, Muhammad Daniyal. Bahagia bila melihat buku. Seronok dan nikmat. Suami juga memilih dua buah buku untuk dipinjam.

Selesai memilih buku, anak-anak ke ruangan majalah pula. Saya lihat Najihah dan 'Aina memilih majalah Asuh. 'Aina sekadar menyelak helaian-helaian muka surat majalah dan melihat gambar. Kasihan dia kerana belum pandai membaca.

InsyaAllah minggu hadapan, saya akan bawa 'Aina bertemu doktor pakar di Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan penilaian dan pengesahan tentang masalahnya berkaitan Disleksia. Jika benar, insyaAllah pasti ada jalan dan cara yang sesuai untuk mengajar 'Aina membaca.



Selasa, 3 November 2015

Mama kembali bertugas.

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah di atas segala nikmat. Biar pelbagai dugaan dan cabaran yang datang, kita teruskan hidup dengan sangkaan yang baik-baik sahaja. Barulah hidup lebih bermakna.
InsyaAllah dengan bersyukur, Allah akan menambah lagi nikmat yang diberikan kepada kita. InsyaAllah.

Hari ini sudah hari ketiga bulan November. Sekejap sahaja masa berlalu. Sedikit masa lagi tahun baru 2016 bakal menjelma. Melihat kembali target dan matlamat yang ingin dicapai pada tahun 2015, masih ada lagi yang belum tercapai. Masa untuk memecut dan fokus untuk berusaha menggapai matlamat yang dirancang. Perlu mula merancang matlamat bagi tahun 2016 juga. Semoga Allah permudahkan. Aamiin.

Hari ini juga saya mula kembali bertugas setelah 44 hari berpantang. Sepanjang tempoh berpantang suami dan anak-anak banyak membantu. Suami sediakan air panas untuk mandi, memasak nasi dan lauk, membasuh baju, menyidai baju dan banyak lagi. Anak-anak pula, saling bantu membantu mengemas mainan dan buku, melipat baju sendiri dan sebagainya. Syukur, alhamdulillah. Walaupun tidak memenuhi piawaian, namun saya perlu bersyukur dan berterima kasih. Banyak yang telah suami dan anak-anak lakukan.

Alhamdulillah. Dengan lafaz Bismillah..Mama mula bertugas hari ini.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...