Teks : Faridah Yusof
Bismillah.
Agak lama saya saya tidak menulis di blog ini, hampir 3 bulan saya kira.
Sejujurnya, setiap hari saya ingin menulis kerana banyak yang ingin dikongsikan. Namun kekangan masa dan keutamaan tugas-tugas lain membuatkan penulisan saya terhenti seketika. Melihat kembali kehidupan saya pada 2 bulan yang lalu, saya merasa sangat bersyukur.
Alhamdulillah pada bulan Ramadan yang lalu, ahli keluarga kami bertambah lagi. Saya telah melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.6kg di Hospital Seri Manjung. Bayi saya hampir sahaja dilahirkan melalui kaedah pembedahan kerana risiko dijangkiti kuman disebabkan oleh 'leaking' air ketuban melebihi 24 jam tanpa saya sedari. Alhamdulillah, berkat doa suami, ahli keluarga dan para sahabat saya dapat melahirkan secara normal. Sungguh, proses kelahiran kali ini memberi banyak kenangan dan pengajaran buat saya.
Setelah 3 hari berada di rumah, anak saya kembali lagi ke hospital dan menerima rawatan di ICU Hospital Manjung kerana 'jaundice' dan jangkitan kuman. 5 hari saya berhari raya di hospital. Sungguh ini juga tarbiyah buat diri saya. Saat saya merasakan diri diuji, di hospital saya lihat ada ujian yang lebih berat lagi buat ibu-ibu lain terutama ibu yang melahirkan bayi pramatang dan sebagainya. Sungguh, 5 hari itu mengajar saya erti sabar dan syukur.
Apabila diberitahu doktor pakar, anak saya sudah boleh dibawa pulang, saya mengucap syukur yang tidak terhingga. Walaupun begitu, anak saya perlu dipantau bacaan kuningnya di klinik kesihatan. Setelah sebulan berlalu, 'jaundice' yang dialami oleh anak saya masih belum turun. Pelbagai petua untuk mengurangkan kuning bayi dicadangkan kepada saya dan suami. Kami cuba setakat yang kami fikirkan sesuai untuk bayi yang berusia satu bulan. Namun, tiada perubahan pada anak .
Akhirnya doktor mengesahkan 'prolonged jaundice', darah dan air kencing anak saya diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian. Berdebar-debar hati menunggu keputusan ujian darah dan air kencing. Alhamdulillah, doktor memaklumkan hasil dari ujian darah, didapati semuanya normal, tiada sebarang masalah pada hati anak. Syukur tidak terhingga kepadaNya.
Namun begitu kuning anak berlanjutan hingga usianya 2 bulan. Sungguh ia tempoh yang lama bagi saya berbanding pengalaman anak pertama dan kedua yang mana kuningnya hilang selepas 1-2 minggu. 'Jaundice' ini dikategorikan oleh doktor sebagai 'breastmilk jaundice'. Sesetangah doktor biasanya memberi saranan agar ibu menghentikan penyusuan sementara waktu dan digantikan dengan susu formula. Alhamdulillah doktor yang saya temui menggalakkan penyusuan susu ibu seiring dengan pendirian saya yang mahukan penyusuan ekslusif pada bayi saya selama 6 bulan pertama kerana saya yakin bahawa susu ibu yang terbaik buat anaknya.
Kini saya sudah mula memperkenalkan anak saya dengan huruf hijaiyyah. Saya menggunakan kad imbas untuk mengajarnya. Saya begitu teruja apabila anak saya memberi respon dengan memandang kepada kad huruf hijaiyyah yang diimbaskan kepadanya. Saya mahu memanfaatkan usia emas anak ini dengan sebaiknya. InsyaAllah di lain catatan, saya akan kongsikan cara mengajar anak huruf hijaiyah seawal satu bulan.