Isnin, 25 November 2013

Biskut sedap dan mudah untuk kanak-kanak rajin belajar

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Hujung minggu lalu penuh dengan aktiviti bersama keluarga.

Anak-anak juga rajin belajar membaca. Anak yang sulung gigih berusaha tanpa perlu disuruh-suruh. Sehingga jam 11.30 malam pun masih mahu membaca.

Anak-anak perlu diberi hadiah galakan. Selalunya saya buatkan makanan kegemaran atau bawa ke taman permainan. Tidak perlu yang mahal-mahal atau yang susah-susah.

Hadiah kali ini bukan donat tetapi biskut yang mudah dibuat dan sedap pula rasanya. Namanya Scottish Shortbread Cookies. Yang paling penting anak-anak turut menggemarinya. Bila diamati rasa biskut ini, saya simpulkan rasanya seakan biskut arab atau juga dikenali biskut suji.

Bahan-bahannya cuma mentega, gula kastor dan tepung gandum. Saya ambil resepi di Baking Project 
 
Sama-sama buat biskut. Sama-sama menikmati biskut bersama teh kurang manis. Alhamdulillah.

Selamat mencuba.
 
Apa yang penting kerjasama..

Latihan kemahiran motor halus

Siap untuk dibakar
 
Biskut sedia untuk dibakar
 

Biskut sedang dibakar. Semua tidak sabar. Baunya sungguh harum.

Jumaat, 22 November 2013

Puji Anak Untuk Tingkatkan Keyakinan

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah, walaupun sibuk dengan tugasan harian dan perniagaan online, setiap hari saya peruntukan masa untuk mengajar anak-anak di rumah. Pada masa ini, anak yang sulung terus dengan Bacalah Anakku Buku 4. Manakala anak yang kedua Bacalah Anakku Buku 1 dan si kecil dengan kad imbas Huruf Hijaiyyah. Mengajar tidak perlu lama-lama kerana anak cepat bosan. Pelbagaikan dengan aktiviti yang mereka gemari.

Cerita semalam.

Semalam saya memuji kerajinan anak yang sulung yang tekun berusaha.

Saya tanya kepadanya,

Saya:Jiha, apa perasaan Jiha bila dah pandai baca ? Seronok tak dapat baca perkataan dalam buku?

Jiha :Mama, Jiha dah pandaikan? (sambil tersenyum-senyum)

Sukanya dia bukan main bila dah boleh baca. Kemudian saya katakan kepadanya lagi.

Saya :Bila dah pandai baca kena cakap Alhamdulillah dan terima kasih Allah sebab bagi saya belajar dan pandai membaca. (Dia pun ucap Alhamdulillah). Kemudian saya puji lagi.

Saya :Kan bagus, bila rajin belajar, Jiha dapat baca lagi banyak cerita. Lepas tu bila Jiha ajar adik baca, Jiha pun dapat pahala.

Sambil tersenyum, Jiha pun berkata, "Hari ni Jiha nak baca sampai habislah buku ni", sambil menunjukkan Buku 4 Bacalah Anakku di tangannya.

Alhamdulillah, dah tinggal dua muka surat lagi. InsyaAllah hari ni dah boleh sambung Buku 5. 



Khamis, 21 November 2013

Buku Conteng Anak

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Setiap kali ke kedai buku, anak-anak pasti minta dibelikan buku aktiviti,  buku mewarna atau buku tulis. Selalunya saya belikan sahaja buku aktiviti yang bersesuaian atau  buku tulis atau buku kertas lukisan (drawing block).Jika saya tidak belikan buku, maka buku-buku saya termasuk buku catatan saya  yang akan menjadi tempat mereka menconteng dan melukis.

Anak yang sulung rupanya banyak melukis gambar-gambar seperti bunga, pelangi, bentuk-bentuk, kanak-kanak perempuan bertudung yang berpakaian seperti gaun labuh ala-ala 'princess' dan pelbagai karakter kartun. Selepas melukis, dia akan tunjukkan kepada saya dan ceritakan apa yang telah dilukisnya. Dari situ, saya dapati anak saya ni memang minat dengan aktiviti melukis. Sebelum ini,  saya dapati dia sangat suka dengan warna. Cuma kemahiran mewarna dengan betul , kemas dan cantik perlu diasah lagi. Saya juga mendapati dia banyak menggunakan imaginasi dan khayalan dalam lukisannya. Sayang betul dia dengan lukisan-lukisannya. Sudah beberapa kali dia menangis disebabkan oleh lukisannya diconteng oleh adiknya. Semenjak dari itu, lukisannya saya simpankan di dalam fail khas yang saya belikan untuknya. 







Kisah di sebalik lukisan
"Dia sedih sebab tak jumpa kawan"
" Ni, dah jumpa kawan-kawan", cerita Najihah.

Manakala anak yang kedua pula, dari apa yang saya perhatikan, biasanya dia akan menconteng-conteng dengan garisan-garisan atau corak yang saya sendiri tidak tahu apa maknanya. Adakalanya dia suka menggunakan warna crayon, adakalanya pensel warna dan adakalanya menggunakan pen saya. Lukisannya ada yang berbentuk bulat dan tidak jelas gambarannya. Saya suka meminta dia ceritakan apa yang sedang dilukis. Lalu dia menjawab, ini ayah, mama, kakak , dirinya sendiri dan adik. Yang jelas di mata saya cuma beberapa bulatan besar dan kecil. Heheheh. Lucu juga melihat bagaimana si kecil memberi tafsiran dan gambaran di dalam bentuk lukisan. Namun saya galakkan dia terus menggunakan pelbagai medium untuk dia terus menconteng, melukis garisan atau apa jua corak yang digemarinya pada masa terluang agar dia dapat mengasah kemahiran motor halusnya dan dapat membiasakan memegang pensil atau pen dengan betul. Kadang-kadang dia suka mengikut-ikut apa yang dilukis oleh kakaknya.



'Lukisan' anak kedua. Ada ayah, mama, kakak, Aina dan adik.

Ini juga potret 'keluarga'

Ini mama.
Sebenarnya melalui lukisan juga kita boleh terapkan nilai-nilai positif. Sebagai contoh, saya selalu mengingatkan anak sulung jika melukis gambar kanak-kanak perempuan, lukislah yang bertudung. Selalunya memang dia lukis yang bertudung. Ada juga dia melukis kanak-kanak perempuan yang tidak bertudung, lalu dia menceritakan budak perempuan ini di dalam rumah, sebab itulah dia tidak pakai tudung.

Sebenarnya melalui lukisan, anak-anak dapat bebas berimaginasi dan membantu anak berfikir secara kreatif. Sebagai ibu bapa, elakkan bertanya "ini apa?".  Sebaliknya minta anak ceritakan apa yang dilukis, sebagai contoh " Cuba kakak cerita pada mama dan adik tentang puteri ini. ". Kita juga perlu berikan pujian dan galakan pada usaha anak-anak walaupun lukisan dan hasil kerjanya tidak cantik. Elakkan mengkritik dan membanding-bandingkan hasil kerja anak-anak.

Rabu, 20 November 2013

Belum Terlambat Untuk Belajar Membaca

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah, sudah dua minggu saya mengajar anak yang sulung membaca, walaupun masih belum lancar tetapi dari pemerhatian saya sudah ada peningkatan. Sebenarnya saya telah mula mengajar anak menggunakan sistem fonetik Bacalah Anakku pada bulan Mac yang lalu. Namun, saya tidak dapat mengajarnya secara konsisten dan berjadual.

Alhamdulillah, saya dapat menyambung semula pembelajaran bersama anak seminggu sebelum cuti persekolahan bermula. Saya mulakan kembali dengan Buku 1. Biarpun agak perlahan pada awalnya, yang penting bagi saya, dia perlu tahu membunyikan huruf dengan betul seterusnya tahu menggabungkan bunyi.

Masa mengajar dalam sehari


Saya peruntukkan masa untuk mengajar anak membaca sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Biasanya 5 minit untuk perkenalkan satu bunyi huruf dan mengulang - ulang semula bunyi huruf. Selebihnya saya gunakan untuk aktiviti mewarna, aktiviti latihan bahasa di dalam buku Fonetik Ekspres atau permainan bahasa. 

Adakalanya tidak sampai pun 15 minit anak sudah mula bosan. Pelbagai alasan dia berikan seperti mahu minum dan makan, mahu tengok cerita kartun, mahu main permainan lain, mengantuk dan sebagainya. Jika sudah begitu, saya hentikan pembelajaran dan sambung semula pada waktu lain seperti selepas mengaji pada malamnya. Jika saya berterusan memaksanya, pembelajaran jadi tidak berkesan. Walau bagaimanapun, anak jadi tidak sabar-sabar untuk buat aktiviti yang melibatkan warna air. Bila guna warna air, memang dapat lama sikit belajar. Seperti di dalam 'post' terdahulu, saya ada ceritakan tentang anak yang suka dengan aktiviti mewarna. Contoh aktiviti mewarna di sini.

Oleh kerana sebelum ini saya tidak mengajar anak secara konsisten, anak saya kelihatan agak keliru apabila saya mengajarnya bunyi huruf bukan nama huruf. Sebagai contoh bila mengajar bunyi /a/ , anak menyebut nama huruf 'a'. Begitu juga bila membaca 'abu' , seringkali dia menyebut  ei --> aaa , bi yu --> bu = abu dengan nada berlagu. Bagi mengelakkan anak terus keliru, saya kaitkan bunyi huruf dengan cerita atau sesuatu agar dia tidak mudah lupa. Sebagai contoh, apabila jari terkena api atau benda panas, kita akan jerit aaaa.
Selain itu, kini saya juga kerap memainkan vcd lagu Abu Ada Ayam agar anak saya biasa mendengar bunyi-bunyi huruf seperti dalam klip berikut. 


Sumber : You Tube

Biasanya, saya juga akan uji anak membaca di dalam buku dan juga melalui permainan bahasa. Ini untuk memastikan anak benar-benar tahu membunyikan huruf dan menggabungkan bunyi bukan menghafal. Di antara permainan yang biasa saya gunakan ialah bina perkataan dari huruf-huruf yang telah dipelajari. Saya sediakan kad-kad huruf dan carta poket, seterusnya saya akan minta anak untuk bina perkataan yang sudah dipelajari. Saya sebutkan perkataan, kemudian anak susun kad huruf ke dalam carta poket. Kemudian saya minta anak menyebut kembali perkataan tersebut.


Buku 1 - belajar bunyi huruf vokal a, i, u dan bunyi konsonan b, n




Aktiviti permainan bahasa menggunakan kad huruf dan carta poket
Alhamdulillah, setakat hari ini, anak yang sulung sudah memulakan buku 4. Kini, dia nampak lebih yakin dan rajin mengulang bacaan tanpa perlu disuruh-suruh berbanding sebelumnya. Setiap kali selesai belajar, saya akan bertanya kepadanya " Macamana ? seronok tak bila dapat baca? " Syukur alhamdulillah bila anak mengangguk dan senyum gembira bila dapat membaca perkataan-perkataan mudah dan faham apa yang dibaca. Sebagai hadiah, saya buatkan donut kegemarannya.

Selasa, 19 November 2013

Ajar Anak Membaca

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Tugas mengajar anak membaca bukanlah sesuatu yang mudah. Adakalanya anak tidak mahu belajar, buat-buat malas dan sengaja menguji kesabaran dengan pelbagai karenah. Namun dengan kaedah dan teknik yang betul serta bersesuaian dengan anak-anak, insyaAllah ia bukanlah terlalu sukar.

Saya selalu membandingkan hasil pembelajaran anak, apabila diajar secara santai dan bermain-main berbanding diajar secara serius dan tegas. Berdasarkan pemerhatian ini, saya dapati anak saya dapat belajar dengan berkesan dan lebih mengingati apa yang dipelajari apabila pembelajaran dijalankan secara santai, ada permainan, latihan yang pelbagai dan juga melalui lagu kanak-kanak. Selain itu juga, hadiah galakan turut membantu meningkatkan semangat apabila anak kelihatan sudah seperti tidak bersemangat.

Setelah saya mengikuti Kursus Bacalah Anakku dan Read Easy, saya dapati, mengajar anak dengan kaedah fonetik lebih berkesan walaupun pada peringkat permulaan saya sendiri agak kurang yakin kerana tiada pengetahuan. Dengan kefahaman tentang kaedah fonetik dan latihan menyebut bunyi-bunyi dengan betul, saya sendiri merasa yakin untuk mengajar sendiri anak-anak membaca di rumah.  

Mengajar Membaca Kaedah Fonetik 

Merujuk kepada buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal,  kaedah fonetik adalah yang paling sesuai digunakan untuk mengajar anak-anak.
 

" Kajian-kajian yang dijalankan oleh saintis di Yale University, USA membuktikan bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat denga bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf (menggabung bunyi) yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu "

Melalui kaedah fonetik, anak-anak tidak diajar mengenal nama huruf, tetapi belajar bunyi huruf dan menggabungkan bunyi huruf.

Sebagai contoh, huruf  ' m ' , dalam kaedah fonetik, anak-anak diajar bunyinya sahaja iaitu /m / (mm) seperti kita sebut dalam perkataan ' mata '.  Boleh lihat contoh cara sebutan bunyi huruf seperti didalam klip berikut.


  
Sumber: You Tube

Kaedah fonetik ini didapati paling berkesan kerana anak-anak diajar bunyi dan simbol yang mewakilkan bunyi tersebut dan seterusnya menggabungkan bunyi-bunyi tersebut. Anak-anak tidak perlu menghafal nama huruf dari A-Z dan menghafal suku kata. Anak-anak kecil juga boleh mula diajar dengan bunyi-bunyi huruf kerana terdapat sesetengah bunyi yang mereka telah biasa membunyikannya seperti mmmmm, aaaaaa, uuuuuu, iiiiiiii.


Bunyinya aaa

Sewaktu mula-mula mengajarkan anak-anak dengan kaedah fonik, saya cuma perkenalkan bunyi-bunyi huruf pada satu-satu masa. Saya ikut seperti yang diajarkan oleh jurulatih kursus, iaitu pengasas Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku sendiri, Tuan Othman Ahamad. Anak-anak tidak perlu diajar nama huruf. Dengan menggunakan buku-buku dalam Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku ini, pengajaran  lebih mudah kerana ia telah disusun  dan huruf diperkenalkan secara bertahap dari Buku 1 sehingga Buku 8. Anak juga diajar dengan huruf vokal yang paling mudah disebut dahulu iaitu a, i dan u. Kemudian barulah diajar menggabungkan bunyi-bunyi huruf menjadi suku kata.

Biasanya setelah memperkenalkan bunyi, sudah diulang-ulang bunyi, anak akan cepat menjadi bosan. Bagi mengelakkan anak cepat bosan dan terus melupakan bunyi yang dipelajari, kaitkan bunyi huruf dengan sesuatu yang mudah diingati dan yang kelakar.

Sebagai contoh, setelah memperkenalkan bunyi huruf vokal 'a', saya kaitkan bunyi tersebut dengan aksi apabila jari terkena api. Ceritakan pada anak pada suatu hari Abu jumpa mancis, dia cuba menggunakan mancis tersebut. Tiba-tiba apabila dia menggesekkan mata batang mancis di tepi kotak, maka api pun menyala. Dia terkejut kerana jarinya terkena api. Dia pun menjerit 'aaa'. Sewaktu bercerita, gaya dan intonasi suara memainkan peranan untuk menarik perhatian anak. Terpaksa lah saya jadi pelakon.

Biasanya setelah mengajar, saya ikuti dengan aktiviti di dalam buku Fonetik Ekspres. Ini juga antara aktiviti yang digemari oleh anak kerana berpeluang bermain dengan warna terutamanya warna air. 


Mewarna bentuk dengan jari

Guna warna air

Aktiviti yang paling digemari anak-anak

Ahad, 17 November 2013

Bermain Plastisin

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak saya sangat gemar bermain dengan 'play-doh' atau plastisin. 
Mereka seronok dapat menghasilkan pelbagai bentuk daripadanya. Aktiviti bermain dengan plastisin bukan sahaja menyeronokkan, ia juga dapat membantu anak-anak untuk berfikiran kreatif dan mengembangkan daya imaginasi. Bagi kanak-kanak kecil apabila anak tersebut menggelek dan membentuk plastisin ketika bermain, kemahiran motor dan deria sentuhnya juga dapat dikembangkan.

Bagi anak-anak yang masih kecil, biasanya mereka tidak tahu bentuk apa yang mahu dibuat. Jadi ibu atau bapa atau kakak boleh berikan contoh bentuk yang mudah seperti bentuk bulat, bentuk tiga segi dan sebagainya.

Bagi anak-anak yang sudah biasa bermain dengan plastisin, tunjukkan contoh dan galakkan mereka mencuba pelbagai bentuk lain mengikut kemampuan mereka. Boleh juga adakan tema seperti tema taman bunga, tema di dapur, makanan kegemaran saya dan sebagainya.

Boleh juga rujuk di sini untuk mendapatkan idea-idea menarik bermain plastisin dengan anak-anak.

Buat Plastisin Di Rumah 


Saya pernah mencuba resepi untuk buat plastisin sendiri di rumah yang saya dapati dari buku Didik Anak Jadi Pintar, tulisan Rohani Sheikh Omar. Saya tertarik untuk mencubanya kerana anak saya yang kedua suka memasukkan plastisin yang dibeli ke dalam mulutnya dan menurut penulis buku tersebut, plastisin yang boleh dibuat dari rumah ini rasanya masin. Sekiranya anak memasukkan ke dalam mulut, pasti dia tidak mahu memasukkan lagi ke dalam mulut.

Resepi Membuat Plastisin Sendiri
Sumber : Buku Didik Anak Jadi Pintar oleh Rohani Sheikh Omar


Bahan-bahan :

2 cawan tepung
1 cawan garam
1 sudu teh cream of tartar
2 sudu besar minyak masak
1 sudu teh pewarna
2 cawan air  

Cara membuatnya:

Campur semua bahan di dalam kuali. Guna api kecil. Kacau sehingga doh tidak melekat di kuali. Kacau sekali lagi. Kemudian keluarkan dari kuali dan sejukkan.
Doh baru masak


Plastisin yang sudah sejuk boleh di bentuk

Buat bersama-sama dengan anak-anak

Selamat mencuba.

Sabtu, 16 November 2013

Donut Sebagai Hadiah Galakan

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.


Saya pernah cerita tentang donut dalam post Janji Mesti Ditepati. Anak-anak saya memang menggemari donut. Saya juga gemar makan donut. Apatah lagi jika donut itu disalut coklat dan dihias menarik seperti donut di restoran rangkaian francais dari luar negara. Hmmm..memang sedap.

Walau bagaimanapun, saya tidak mahu membiasakan anak-anak dengan donut yang mahal-mahal begitu. Memadailah donut yang sederhana. Paling menarik, donut itu mudah untuk dibuat dan dapat disediakan segera.

Banyak resepi donut yang saya jumpa. Tetapi resepi yang saya gunakan sekarang sangat memikat hati. Ia bukan sahaja mudah, bahannya juga ringkas. Bahkan masih lembut walaupun sudah sejuk.

Resepi ini saya perolehi dari My Resipi. Boleh tengok di sini.

Resepi Donut Lembut

Bahan-bahan:

  • 1 sudu teh yis kering 
  • 1/4 cawan air suam
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh margerin/mentega (suhu bilik)
  • 1 sudu susu pekat manis (boleh ganti: 1sudu susu tepung + 1 sudu gula)
  • secubit garam

* Selalunya saya akan gandakan sukatan bahan untuk dapat banyak donut. 

* Saya gunakan acuan donut yang kecil saiz diameter 2" , dapat hasilkan lebih kurang 15-16 donut yang comel-comel.

Bahan-bahan

Air suam dan yis kering dicampurkan

Siap diuli

Saya guna acuan donut saiz diameter 2"


Cara-cara:

  1. Letakkan yis ke dalam air suam, kacau dan biarkan seketika.
  2. Gaul sebati tepung gandum, marjerin, susu pekat manis dan garam. 
  3. Masukkan air suam barcampur yis tadi.
  4. Uli atau gaul sampai sebati lebih kurang 15 minit.
  5. Biarkan adunan selama 30 minit, adunan akan kembang 2 kali ganda.
  6. Kemudian bentukan donut . 
  7. Biarkan donut tadi selama 10 minit.
  8. Panaskan minyak (sederhana), bolehlah goreng donut tersebut. (jangan simpan lama-lama sangat, nanti terlampau lembik.)
  9. Lepas goreng boleh terus tabur gula halus atau dicelup coklat atau mengikut sitarasa masing-masing.
Alhamdulillah, donutnya lembut walaupun sudah sejuk. Cubalah. Jangan lupa kongsikan hasil percubaan dengan saya. Semoga insan yang mengongsi resepi ini mendapat pahala yang berterusan. Aamiin.

Selamat mencuba.

Jumaat, 15 November 2013

Buku Untuk Si Manja

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak selalu memerhatikan aktiviti  dan perlakuan kita sebagai ibu bapa. Semasa saya masih bertugas sebagai guru, saya selalu menulis dalam buku catatan, membuat persediaan mengajar dan menanda buku latihan di rumah. Dalam diam, anak saya memerhatikan saya. Pada suatu hari yang lain, saya terlihat dia 'menulis' di buku catatan milik saya. Saya juga masih ingat dek kerana kecuaian saya sendiri, anak saya  menconteng Buku Persediaan Mengajar saya pula. Akhirnya saya dapatkan buku catatan khas untuknya agar dia tidak menconteng buku saya lagi.

Begitu juga bagi anak-anak kecil yang biasa melihat ibu bapanya memegang dan membaca buku, selalunya juga terikut-ikut suka kepada buku. Lucu juga apabila melihat anak-anak kecil ini seolah-olah khusyuk membaca buku walaupun buku yang dipegang sebenarnya terbalik.
 

Pilih Buku Yang Bersesuaian Untuk Anak Anda

Sekiranya anak- anak kecil sudah mula menunjukkan minat kepada buku, mereka perlu terus disokong. Berikan buku yang bersesuaian dengan usia dan kemampuan mereka. 

Contoh 'cloth book'
Bagi anak-anak yang masih kecil berikan mereka buku yang diperbuat daripada kain. Buku jenis ini biasanya dipanggil 'cloth book' atau 'soft book'. Buku ini biasanya lembut dan selamat untuk anak-anak kecil. Ia mempunyai gambar dan berwarna- warni untuk menarik minat anak-anak kecil memegangnya. Ia juga bertujuan untuk meransang perkembangan deria kanak-kanak. Ia boleh dipeluk dan dijadikan bantal. Buku kain ini, biasanya boleh di basuh dan diguna semula.

Selain itu, terdapat juga buku kain yang mempunyai loceng, butang atau fabrik kain yang berbeza serta pelbagai variasi. Sekiranya terdapat butang atau loceng, pastikan anak-anak kecil menggunakannya di bawah pengawasan ibu bapa atau pengasuh kerana anak-anak kecil suka memasukkan buku ke dalam mulut dan menggigit butang / loceng yang terdapat pada buku tersebut. Terdapat pelbagai tajuk buku kain yang boleh dipilih dan dibeli di pasaran samada secara atas talian (online) atau
di kedai-kedai buku.


Selain daripada  buku kain, terdapat juga buku-buku yang kecil dan comel , biasanya dipanggil 'chunky book'. Buku ini juga sesuai untuk anak-anak kecil. Cuma dari pengalaman saya menggunakan bersama anak-anak, perlu ada pengawasan ibu bapa atau pengasuh kerana mereka suka memasukkan bucu buku ke dalam mulut. Ini boleh mengakibatkan mereka menelan cebisan kertas yang sudah basah dari bucu buku tersebut. Selain itu, buku juga akan cepat rosak. Sebagai alternatif, kita boleh salutkan buku tersebut dengan plastik pembalut buku bagi mengelakkan anak-anak kecil menggigit bucu buku. 





Contoh 'chunky book'
Bagi anak-anak kecil yang berumur tiga tahun ke atas, terdapat pelbagai buku-buku yang menarik dan bersesuaian dengan usia mereka di pasaran. Ibu bapa boleh belikan buku yang bertulisan yang besar serta mempunyai gambar yang berwarna -warni. Selain itu, terdapat buku besar atau biasanya dipanggil 'big book' juga menarik minat kanak-kanak untuk membacanya. Ibu bapa juga boleh bersama-sama dengan anak untuk menghasilkan sendiri 'big book' di rumah. Tekan sini untuk lihat contoh cara menghasilkan 'big book'.

Bagi anak-anak yang belum pandai membaca, maka ibu bapa perlu bacakan kepada mereka. Pilihlah bahan bacaan yang menarik dan mudah untuk mereka faham. Bacakan dengan intonasi dan nada suara yang pelbagai mengikut kesesuaian. Banyakkan interaksi dengan anak tentang gambar-gambar di dalam buku. 


Beri Peluang Anak Pilih Buku Sendiri

Ibu bapa juga boleh bawa anak-anak ke perpustakaan dan biarkan mereka memilih sendiri buku di bahagian buku kanak-kanak. Daftarkan mereka menjadi ahli perpustakaan. Selain dapat membaca di perpustakaan, mereka juga boleh membawa balik buku yang dipinjam. Sebagai ibu bapa, pastikan anak kita menjaga dan menggunakan buku tersebut dengan baik.
 

Selain itu sesekali, bawalah mereka ke kedai, pesta atau pameran buku. Berilah mereka kebebasan untuk memilih buku kegemaran mereka sebagai hadiah hari lahir atau sebagainya. Ibu bapa juga sangat digalakkan membimbing anak-anak dalam membuat pilihan agar buku yang dibeli bersesuaian dengan keupayaan membaca anak-anak.

Khamis, 14 November 2013

Tips Menghadapi Kesalahan Anak-anak Kecil

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Pernahkah anda sebagai ibu bapa, hilang sabar apabila anak membuat kesalahan berulang kali?

Di bawah adalah contoh-contoh kesalahan yang sering dilakukan oeh kanak-kanak:

1. menumpahkan air
2. bermain sabun dan air ketika mandi
3. berlari-lari dan berkejar-kejaran sampai terjatuh
4. sudah bermain dan teraburkan mainan tapi tidak mahu kemas
5. berebut-rebut mainan
6. mengusik atau menyakat sesama sendiri sehingga mengundang pergaduhan
7. mengoyakkan kertas/buku
8. bermain-main semasa makan seperti celup jari dalam minuman
9. menganggu ibu dan ayah yang sedang bersolat

Kesalahan-kesalahan ini, sering dilakukan berulang kali oleh anak-anak kecil. Memang pening kepala dibuatnya dan boleh hilang sabar bila kesalahan itu dibuat berulang kali.

Bila anak saya buat kesalahan


Biasanya bila anak saya buat kesalahan, mula-mula saya akan tarik nafas dalam-dalam dan kawal rasa marah. Saya cakap dalam hati, "diorang budak-budak, anak-anak dari syurga, saya pun masa kecil pernah buat begitu". Saya tegur secara lembut dahulu. Cakap lembut-lembut sahaja dengan anak-anak. Alhamdulillah, ada masanya mereka mendengar kata.

Ada juga ketika, kata-kata lembut dari ibunya ini tidak lagi didengar dan diendah. Setelah ditegur berkali-kali masih juga tidak berubah, maka mulalah saya menjadi seperti singa...hehehehe. Kadang-kadang, saya lihat dengan sengaja anak-anak ini tumpahkan air untuk uji kesabaran saya. Mungkin perbuatan tersebut sebagai tanda protes apabila saya tidak menuruti kemahuan mereka seperti mereka mahukan susu coklat  tetapi saya buatkan susu biasa.

Dan ada juga ketika, perasaan marah sudah tidak boleh dikawal lagi dek kerana  kesalahan dibuat pada waktu kritikal seperti saat saya kesuntukan masa sedang bersiap untuk keluar atas urusan temujanji di klinik atau temujanji pelanggan. Pada waktu begitu, saya kerap tidak berjaya mengawal marah, maka dapatah dua tiga das cubitan sayang atau kena rotan di kaki. Sehingga anak saya yang sulung berkata, " Tak nak ikut Mama, nak ikut ayah jer sebab Mama ni garang".

M
enurut pakar kanak-kanak, merotan, menengking, memarahi atau mengherdik anak-anak kecil boleh mendatangkan kesan negatif pada emosi anak-anak. Mereka akan mudah rasa rendah diri dan boleh menyebabkan anak tersebut jadi penakut untuk mencuba sesuatu. Anak-anak kecil tidak wajar dimarah, ditengking atau dirotan apabila mereka membuat kesilapan.
  
Rasullullah sendiri menganjurkan bagi anak-anak kecil 0-6 tahun perlu diberi kasih sayang sebanyak-banyaknya. Baginda juga telah menunjukkan contoh dengan tidak memarahi cucunya yang mengganggu Baginda solat.

Menggunakan Teknik Nabi

Teringat saya pada Kursus Mendorong Pelajar Corot yang saya hadiri tahun lalu ketika masih tinggal di Kota Kinabalu, Sabah. Ustazah Siti Khadijah, ada menerangkan tentang teknik Nabi hasil kajian dari hadith-hadith Rasulullah yang boleh diaplikasikan dalam mendorong pelajar (boleh diapikasikan pada anak-anak juga). Antaranya, apabila pelajar atau anak membuat kesilapan, jangan dimarah, dikritik atau disiasat. Saya cuba kaitkan dengan kesalahan yang biasa dibuat oleh anak-anak kecil.

Sebagai contoh, anak tumpahkan air, mengikut kaedah yang disarankan, jangan siasat, maka jangan bertanya "Siapa yang tumpahkan air?", "Bagaimana air ini boleh tumpah?" Kita juga jangan mengkritik seperti " Adik ni selalu tumpahkan air, peganglah cawan tu betul-betul ". Sebaliknya, kita beri jalan penyelesaian/solusi . Maka, kita sarankan kepada anak tersebut untuk mengelap air yang tumpah, atau kita tunjukkan cara mengelap air yang tumpah. Setelah anak tersebut mengelap air yang tumpah, kita puji dia, kita boleh berkata padanya, "Allah sayang pada sesiapa yang membantu ibunya. Pasti Allah sayang kamu kerana tolong ibu mengelap air tadi."

Pada peringkat permulaan mengaplikasikan Teknik Nabi ini kepada anak-anak, saya merasakan saya juga belajar. Saya belajar tentang sabar dan belajar mengawal rasa marah. Bukan mudah untuk membiasakan perkara yang tidak biasa kita buat. Alhamdulillah, dengan izin Allah, secara perlahan-lahan saya dapat menggunakan Teknik Nabi ini secara sedikit demi sedikit. Apa yang saya dapati sejak menggunakan teknik ini, terutamanya untuk kesalahan tumpahkan air, anak yang sulung dengan sendiri mengambil kain lap di dapur dan mengelap air yang tumpah walaupun air tersebut ditumpahkan oleh adiknya.

Izinkan anak-anak belajar dari kesilapan

Jika kita perhatikan, anak-anak kita  telah jatuh dan bangun berkali-kali sebelum dapat berjalan dan berlari dengan betul. Begitu juga sebelum anak kita pandai menyuapkan makanan ke dalam mulut, seringkali makanan yang  mereka suap sendiri lebih banyak yang jatuh dari masuk ke mulut. Kita sewajarnya mengizinkan anak-anak ini melakukan kesilapan. Janganlah kita terus marah dan menghukum mereka apabila mereka tersilap. Kita seharusnya mendorong mereka dan melatih mereka belajar dari kesilapan.
Selain itu, jika kesilapan anak-anak kita melibatkan orang lain, kita didik mereka supaya belajar meminta maaf dan ajar mereka berdoa kepada Allah agar kesilapan tersebut diampun oleh Allah. Biasakan mereka menyebut "Astaghfirullah". Kita juga perlu mendidik mereka bahawa sebagai manusia, kita sering melakukan kesilapan dan apabila telah melakukan kesilapan perlulah kita memohon ampun kepada Allah.

Mudah-mudahan anak-anak kita sentiasa dapat belajar dari kesalahan yang mereka lakukan. Selain itu, mudah-mudahan kita juga dapat mendidik diri kita agar sentiasa positif dan sabar dalam menghadapi kesalahan yang sering dilakukan oleh anak-anak kita. Aamiin.


Khamis, 7 November 2013

Janji Mesti Ditepati

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.
 

Anak sulung saya yang kini berusia enam tahun masih belum fasih membaca. Saya agak risau kerana tinggal dua bulan sahaja lagi anak saya akan memasuki persekolahan formal. Saya cuba menggunakan masa yang ada untuk mengajarnya membaca. Saya gunakan kaedah fonik Bacalah Anakku. Saya agak terlewat dalam mengajar anak  membaca menggunakan kaedah fonik. Walau bagaimanapun, saya merasa yakin untuk menggunakan kaedah ini kerana ia telah terbukti berkesan semenjak 1996.

Tarik minat anak


Pelbagai cara saya gunakan untuk menarik minat anak yang sangat aktif dan gemar bermain. Salah satu cara menarik minat anak untuk belajar yang saya kira berkesan ialah menyediakan makanan kegemaran mereka. Oleh kerana itu, saya membuat perjanjian dengan anak saya bahawa saya akan buatkan donat selepas  belajar membaca. Mendengar sahaja donat, terus ambil buku dan bersedia untuk belajar. Alhamdulillah dapat juga habiskan dua muka surat.

Selain dari menyediakan makanan kegemaran anak, janji untuk bawa ke taman permainan juga sangat berkesan. Pada masa yang lain, apabila saya lihat anak tidak memberi tumpuan pada bunyi fonik yang saya perkenalkan, saya menarik perhatiannya dengan berkata,
"Nanti, selepas ayah balik kerja, ayah mahu ke stadium untuk bersenam. Siapa yang belajar hari ini, boleh ikut mama dan ayah juga. Siapa nak ikut jom sebut bunyi...."
Terus sahaja anak jadi minat untuk belajar.


Peringatan 


Bagi ibu bapa yang ingin menggunakan strategi seperti di atas, harus diingatkan, setelah berjanji mesti dan wajib ditepati. Ini sangat penting kerana, anak-anak akan menilai janji sebagai motivasi. Jika janji tersebut tidak ditunaikan ia akan membawa kepada kesan-kesan negatif seperti hilang kepercayaan.
Apabila janji tidak ditepati, anak akan mula belajar tentang bohong. Harus diingatkan juga anak-anak sentiasa mengambil contoh dari perilaku ibu bapa mereka.

Selain itu, apabila berjanji pastikan janji yang dibuat mudah untuk ditunaikan, bersesuaian dengan kemampuan  dan boleh mendatangkan kebaikan kepada anak. Dinasihatkan juga agar para ibu bapa berfikiran kreatif dengan mempelbagaikan cara untuk menarik minat anak. Elakkan dari asyik berbuat janji.  Buat ibu bapa yang 'super' sibuk, buatlah catatan berkenaan janji anda bagi mengelakkan dari terlupa agar anak tidak  kecewa dan hilang rasa percaya.

Sekiranya janji yang telah dibuat benar-benar tidak dapat dilaksanakan, ibu bapa perlu memberitahu anak kenapa janji tersebut tidak dapat ditunaikan atau gantikan dengan yang setara nilainya.

Rabu, 6 November 2013

Kes Anak Menjadi Mangsa Dera Pengasuh

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Sehari dua ini, ramai yang bercerita tentang kes kanak-kanak yang didera di sebuah taska di ibu kota. Rakaman kamera tentang penderaan tersebut tersebar dengan pantas di media sosial yang mendapat perhatian ramai terutama di kalangan ibu bapa khususnya ibu bapa yang bekerja.

Saya turut terkesan setelah menonton rakaman tersebut. Emosi saya turut tercalar oleh perbuatan tidak bertanggungjawab pengasuh taska yang tidak amanah. Sangat menyakitkan hati apabila melihat anak yang masih muda usianya dipukul beberapa kali di kepala. Perbuatan yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

Prihatin perubahan fizikal dan emosi anak
Saya sangat berharap agar para ibu bapa yang menghantar anak mereka ke taska atau rumah pengasuh agar lebih peka dan prihatin terhadap perubahan tingkah laku anak-anak mereka. Sentiasalah pantau keadaan anak-anak dari segi fizikal atau emosi mereka.

Pilih Taska yang berdaftar
Ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke taska, wajib memastikan taska tersebut berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Boleh semak di sini. Janganlah meletakkan anak di bawah pengawasan pihak yang tidak bertanggungjawab. Kelak menyesal tidak berguna lagi. Kenali guru-guru atau pengasuh di taska tersebut. Jalinkan hubungan yang baik dengan mereka. Pilihlah taska yang memberi peluang kepada anak kita membesar secara baik dan positif. Carilah taska yang mementingkan pembangunan sahsiah dan emosi kanak-kanak. 


Doa saya agar kes ini membuka mata banyak pihak seperti pihak kerajaan, pihak pengusaha taska, pengasuh, ibu bapa dan masyarakat agar sama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik berkenaan isu ini.

Sama-sama kita berdoa agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Sama-sama kita berdoa dan memohon kepadaNya agar memberi kita ilham kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu ini. Sama-sama kita doakan agar anak-anak kita dapat membesar dengan baik dan sejahtera.

Selasa, 5 November 2013

Jadilah Ibu Bapa Yang Berilmu

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Ibu bapa adalah dua insan yang diberi amanah oleh Allah untuk membentuk dan mencorak anak-anak. Ia bukan sekadar menyediakan makan, minum dan pakaian anak-anak. Malah, tugas  ibu bapa termasuk memberikan kasih sayang, didikan awal, membentuk sahsiah dan emosi anak-anak. Ibu bapa juga memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak berilmu dan berakhlak mulia.

Bagi memastikan kejayaan dalam memikul amanah ini, ibu bapa perlu ada ilmu pengetahuan, maklumat serta kemahiran yang betul dan bersesuaian. Ibu bapa sewajarnya melengkapkan diri dan sentiasa menambah  ilmu dan kemahiran dari masa ke semasa. Pelbagai maklumat dan ilmu sebagai contoh ilmu keibubapaan, boleh diperolehi melalui pelbagai cara seperti melalui pembacaan dari buku-buku, majalah, laman web, blog, menghadiri kursus, seminar atau ceramah. Selain itu, di zaman moden ini, terdapat banyak media sosial seperti facebook yang memberi peluang kepada para ibubapa untuk berkongsi maklumat dan pengalaman melalui kumpulan-kumpulan sosial. 



Ilmu keibubapaan boleh diperolehi melalui buku-buku atau majalah
Ibu bapa perlu terus mencari ilmu dan meningkatkan kemahiran keibubapaan. Ini penting kerana, anak-anak perlu didikan yang bersesuaian dengan zaman mereka. Ibu bapa yang berilmu , pastinya dapat mendidik anak-anak mereka dengan baik dan betul.

Marilah kita menjadi ibu bapa yang berilmu agar kita dapat melahirkan generasi akan datang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Jus Kurma & Susu Untuk Ibu dan Anak

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Biasanya untuk menikmati jus kurma yang lazat, saya nikmatinya di Yemen Restaurant yang berhampiran dengan rumah. Tetapi, jika mahu menikmatinya setiap hari di restoran, boleh lari bajet keluarga.

Alhamdulillah saya sudah temui alternatifnya.

Kini saya dan anak-anak boleh nikmati jus kurma dan susu setiap hari.

Resepi:

1. Beberapa biji buah kurma (asingkan isi dan bijinya. Jika buah kurma keras, rendam seketika dengan air suam)
2. Susu segar/ susu tepung+ air sejuk/susu kambing (susu/air dari peti ais)

Masukkan kedua-dua bahan ke dalam botol Shake n Take. Kisar seketika dan nah..sedia untuk diminum. Anak-anak memang menggemarinya.



* Shake n Take boleh dibeli dari https://www.facebook.com/kedaiserbanekamama
atau email kepada pn.faridahyusof@gmail.com

Isnin, 4 November 2013

Saat Indah Kala Menyusukan Bayi

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Allah beri peluang kepada saya untuk menyusukan anak ketiga.

Setiap kali menyusukan si manja, saya suka berinteraksi dengannya.

Saya tanya dan sebut beberapa bahagian anggota badan seperti ini :

~ Ini apa ?
~ Ini hidung / telinga / mata dan sebagainya.

Saya cerita tentang ahli keluarga seperti :
~ Ayah sudah pergi kerja.
~ Kakak Jiha ke sekolah.

Saya juga mengucapkan kata-kata positif seperti:

~ Kamu anak yang soleh
~ Kamu anak yang sihat

Biarpun bayi belum berkata-kata, namun dari matanya yang memandang tepat ke wajah serta senyumannya  seolah-olah memahami kata-kata saya dan ini menjadikan waktu penyusuan adalah saat yang indah.


Selain daripada bercakap-cakap dengan bayi, waktu penyusuan menjadi tenang apabila turut dikumandangkan bacaan ayat al-quran, zikir-zikir dan nasyid-nasyid.

Adakalanya, saya memilih membaca buku sambil menyusukan.

Adakalanya saya tertidur bersama bayi saya.

Alhamdulillah. Ini sebahagian dari nikmat dari Allah dalam usaha untk meransang minda dan perkembangan kognitif si manja. InsyaAllah.

Ahad, 3 November 2013

Jemputan ke Perjumpaan Kumpulan Sokongan Susu Ibu Perak

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Pada 9 November 2013 ini ( Sabtu ), akan diadakan perjumpaan bersama-sama Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Perak di Hospital Pakar KPJ Ipoh. Perjumpaan bermula jam 2.45 petang sehingga jam 5.00 petang. Kemasukan adalah percuma dan tidak perlu mendaftar.

Semua dijemput hadir termasuk bakal ibu bapa, para ibu bapa , kakitangan kesihatan dan sesiapa juga yang menyokong penyususan susu ibu.

Pada
pertemuan kali ini, Kumpulan Sokongan Penyususan Susu Ibu Perak akan memberi tumpuan kepada topik berikut :

1. penyusuan susu ibu dan rahsia penyusuan yang belum anda ketahui
2. penggunaan gendong bayi dan rahsia untuk sentiasa akrab dengan anak

Selain dapat berkongsi maklumat dan pengalaman, pertemuan ini juga diharapkan dapat mengeratkan silaturrahim sesama penyokong penyusuan susu ibu di negeri Perak.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...