Ahad, 19 Mei 2013

Anak-anak Permata Berharga



Teks dan foto: Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah...syukur kepada Allah atas kesempatan yang diberikan olehNya untuk saya mencatat di blog pada hari ini...Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...

Anak-anak adalah hadiah, amanah dan anugerah dari Allah S.W.T yang sangat-sangat berharga. Bersyukurlah bagi pasangan suami isteri yang dikurniakan cahayamata dalam keluarga. Bukan semua pasangan berpeluang mendapat cahayamata. Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya.  Pelbagai cara
digunakan untuk mendapatkan cahayamata samada dengan kaedah moden atau kaedah tradisional..

Bagi yang mempunyai cahayamata. Bersyukurlah dan berusahalah sebaik mungkin memberikan segala hak mereka seperti kasih sayang, pendidikan,
pakaian dan sebagainya. Anak-anak akan membesar seperti  mana corak yang kita tentukan buat mereka. Ibubapa adalah guru pertama anak-anak dan menjadi contoh utama kepada anak-anak.

Pendidikan untuk anak-anak ini tidak bermula apabila mereka mula mengenal A B C atau ketika saat mereka sudah pandai berkata-kata. Hakikatnya, pendidikan anak-anak bermula sejak dari dalam kandungan si ibu lagi. Ada juga yang berpendapat untuk mendapatkan anak-anak yang soleh dan solehah, ia bermula seawal pernikahan kedua ibubapanya...

Hasil didikan ibubapa, tarbiyah dan contoh tauladan yang baik, insyaAllah lahirlah anak-anak yang berkualiti dari segi jasmani, emosi, akhlak dan peribadi seperti yang diidam-idamkan oleh semua ibubapa..Maka ibubapa perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam merealisasikan impian mereka dengan memperbanyakkan berdoa, berusaha dan terus mencari ilmu dalam mendidik anak-anak.



Sabtu, 18 Mei 2013

Tentang Penulis

Teks: Faridah Yusof

Bismillahirrahmanirrahim...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Assalamu'alaikum wbt..

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untuk Allah SWT... izinkan saya memperkenalkan diri. Nama saya Faridah Binti Yusof. Anak sulung dari 8 adik beradik (7 perempuan dan seorang lelaki). Berumur 35 tahun dan saat ini sudah mempunyai 2 orang cahaya mata serta sedang sarat dengan kandungan yang ke-4. Saya mula memegang jawatan pengurus rumah sepenuh masa dan bekerja dari rumah sejak April 2011 setelah saya meletakkan jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru Bahasa Inggeris).

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepadaNya di atas peluang belajar dari saya kecil hingga dewasa. Bermula dari pendidikan awal dari rumah oleh ibu dan abah. Ketika berumur 6 tahun mula bersekolah di Kindergarten Treacher Methodist, Taiping. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Convent Klian Pau, Taiping sehingga darjah 3, seterusnya Sekolah Kebangsaan Chenderah, Jasin, Melaka. Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah Melaka dari tingkatan 1-5 dan kemudian menyambung Foundation New Zealand (Accounting) di Emile Wolf College, Kelana Jaya. Seterusnya menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan) Lincoln University di UNITEN di bawah program tajaan MARA.

Setelah tamat belajar, saya sempat bekerja di bahagian akaun dan cukai di sebuah syarikat swasta. Tidak bertahan lama, saya akhirnya bertukar kepada bidang pendidikan. Bermula menjadi guru ganti di beberapa buah sekolah kebangsaan , menjadi guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen, kemudian guru kontrak di Institut Kemahiran Mara dan akhirnya mendapatkan ilmu dan Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka.

Bermula dengan bertugas secara rasmi sebagai seorang guru dan pendidik memberi saya pengalaman yang sangat berharga. Tugas mengajar dan mendidik adalah tugas yang sangat mulia. Seperti yang selalu disebut oleh Prof Dr Muhaya , kerjaya guru adalah kerjaya yang memberikan ladang pahala.Saya sangat meminati bidang ini. Patutlah emak saya beriya-iya mahu saya menjadi seorang guru. Namun setelah berumah tangga dan mempunyai cahayamata, rasa tanggungjawab dan keinginan mendidik anak di rumah menjadi begitu menebal. Saya rela meletakkan jawatan demi memberi tumpuan pada tempoh kritikal pembesaran anak-anak dari umur 0-7 tahun. Setelah beristikharah, memohon petunjuk Ilahi, berbincang dengan suami dan berfikir selama 2 tahun, akhirnya saya tekad meletakkan jawatan Gred 41 ini tanpa menoleh ke belakang lagi. Pelbagai respon dari sahabat, saudara mara dan orang sekeliling tentang hal perletakan jawatan ini. Ramai yang menyokong niat suci ini dan menyatakan rasa cemburu kerana mereka juga ingin berbuat hal yang sama. Tidak kurang juga yang kurang bersetuju. Walau apa pun , saya terima segala respon dengan berlapang dada. Saya yakin, itu tandanya orang-orang di sekeliling mengambil berat tentang diri saya..Alhamdulillah..:)

Alhamdulillah..Allah izinkan saya menjaga dan mendidik anak sendiri. InsyaAllah saya akan menggunakan masa dan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan dengan segala upaya.

InsyaAllah, dengan izinNya jua melalui penulisan ini saya akan kongsikan kepada para pembaca tentang pendidikan awal anak-anak. Saya bukanlah orang yang pakar dan berpengalaman luas di dalam bidang pendidikan awal anak-anak. Namun, saya akan kongsikan dapatan dari hasil bacaan dan carian dari pelbagai sumber bacaan. Sebarang komen dan makluman dari para pembaca amat saya alu-alukan agar sama-sama kita mendapat manfaatnya. Doakan agar penulisan ini mendatangkan manfaat seterusnya dapat menjadi pencen kubur saya di sana kelak. Aamiin...

Salam perkenalan dari saya.

Wassalam





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...