Rabu, 25 Februari 2015

Kenapa Perlu Mengajar Anak

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Sejak saya menjual produk pendidikan awal kanak-kanak, saya berpeluang bertemu dengan ramai ibubapa. Ramai di kalangan mereka yang mengambil berat dan prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka. Mereka tidak sekadar melepaskan tanggungjawab mereka mengajar dan mendidik anak-anak kepada guru atau pengasuh di taska dan tadika.

Saya sangat gembira dapat berkenalan dengan ibubapa yang kreatif dan berusaha mengajar anak mereka di rumah. Walaupun ada di antara ibubapa yang bekerja serta sibuk, namun mereka tetap berusaha mencari ruang dan peluang untuk mengajar anak -anak kecil mereka di rumah.

Begitu juga dengan para ibu, walaupun sibuk mengurus hal rumahtangga dan anak-anak, mereka juga berusaha dengan gigih mengajar anak-anak kecil mereka.

Saya juga dapat belajar dan mengambil iktibar dan pengalaman dari cerita-cerita mereka.

Sesungguhnya usaha para ibubapa  menjalankan tanggungjawab mengajar anak kecil mereka ini sungguh murni. Ramai di antara mereka berusaha menghadiri pelbagai seminar dan kursus untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian untuk mendidik anak.

Saya kongsikan apa pandangan mereka tentang mengapa ibubapa perlu mengajar anak ?

Mengajar yang saya maksudkan di sini ialah mengajar ilmu asas seperti belajar mengaji,  belajar membaca, belajar menulis, belajar solat, adab dan sebagainya.

Ibubapalah orang yang bertanggungjawab memberi ilmu  dan asas pendidikan kepada anak-anak mereka. Ibubapa jugalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak.

Beruntunglah ibubapa yang mengajar anak mereka mengenal alif ba ta, kenal 1, 2, 3, membaca dan sebagainya. Ilmu yang diajar oleh para ibubapa  apabila digunakan anak-anak untuk perkara yang baik dan bermanfaat, ia akan menjadi  sungai pahala yang tidak putus-putus.

Ibubapa juga lebih mengenali sikap, minat dan kecenderungan anak. Maka adalah lebih mudah untuk para ibubapa mencari kaedah dan teknik yang sesuai untuk mengajar  anak-anak di rumah.

Sesungguhnya, rasa syukur dapat melihat anak boleh membaca Al Quran, membaca buku atau menulis mengatasi rasa penat dan payah yang dirasai sebelum itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...