Sabtu, 28 Februari 2015

Jangan Berhenti Berdoa

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Siang tadi, semasa menulis entri ini, sebenarnya saya dalam perjalanan ke rumah bapa saudara di Ipoh. Sambil menaip di telefon yang kecil ini, Muhammad Darwisy sedang lena setelah disusukan. Kakaknya, 'Aina juga sudah terlena. Manakala, kakak yang seorang lagi di kerusi hadapan sesekali bercakap-cakap dengan ayahnya.

Melihat wajah-wajah mereka buat hati terusik dan berfikir. Siapakah mereka di masa akan datang?

Anak-anak kecil kita yang manja dan comel, suatu hari nanti akan membesar dan mempunyai kehidupan mereka sendiri.

Bagaimanakah keadaan mereka 10 atau 20 tahun akan datang? 

Adakah mereka dapat memberi manfaat kepada keluarga dan masyarakat? atau sebaliknya? Na'uzubillahinzalik.

Adakah mereka bakal menjadi ibubapa yang bertanggungjawab atau ibubapa yang culas kepada tanggungjawab?

Adakah anak-anak kecil ini dapat berbuat baik kepada rakan, jiran, guru dan orang tua?

Hal ini sangat bergantung kepada nilai dan akhlak yang kami atau ibubapa beri dan tunjukkan kepada mereka sedari mereka kecil. Apakah selama ini, kami sebagai ibubapa telah menunjukkan akhlak dan contoh yang baik kepada mereka?

Seorang ibu saudara saya,  juga seorang pendidik selalu berpesan. Membesarkan anak di zaman ini, sungguh mencabar. Ada yang dari kecil diberikan didikan dan kasih sayang secukupnya, namun apabila dewasa menjadi orang yang tidak berguna kepada keluarga, masyarakat dan agama disebabkan pengaruh rakan yang sangat kuat. Sebagai ibu dan bapa, kita kena selalu berdoa untuk anak-anak. Mesti rajin berdoa supaya anak-anak dikurniakan akhlak yang elok dan anak-anak menjadi penyejuk di mata dan penenang di hati ibubapa juga sesiapa disekeliling mereka. Mohon juga supaya Allah sentiasa melindungi anak-anak dari sahabat, ilmu dan perkara-perkara yang sesat dan tidak bermanfaat. Sentiasa memohon kepada Allah. Bukan hanya mendoakan kebaikan anak sendiri, doakan juga untuk anak-anak jiran, saudara-mara dan umat Islam secara amnya. Jangan putus asa berdoa.

Doa, doa dan terus berdoa kerana Dia Maha Mendengar dan Maha Berkuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...