Teks: Faridah Yusof
Bismillah.
Pagi ini, tinggallah saya berdua dengan si manja, Muhammad Darwisy di rumah. Anak-anak dan suami sudah ke sekolah dan tempat kerja setelah empat hari bercuti.
Alhamdulillah, cuti sempena Tahun Baru Cina yang lalu, pelbagai aktiviti dapat dijalankan. Kami sekeluarga berpeluang menziarahi saudara mara, menghadiri jemputan kenduri kahwin dan berkongsi ilmu tentang kebaikan air berakali Kangen.
Anak-anak juga dapat berjumpa dan bermain dengan sepupu mereka. Memang seronok dan puas mereka bermain di keliling rumah kampung. Ada sahaja aktiviti mereka. Kejar ayam, kejar kucing, petik bunga, petik daun, minum air kelapa muda dan macam-macam lagi.
Kebetulan juga musim panas sekarang, parit atau tali air mula mengering. Ramai orang kampung mengambil peluang menjala atau memasang jaring. Memang banyak hasil tangkapan ikan air tawar atau orang kampung biasa memanggilnya ikan darat. Suami juga ikut serta bapa mertua dan abang iparnya menjala ikan. Mereka bawa pulang separuh baldi pelbagai jenis ikan seperti ikan sepat, puyu, keli, baung, selat dan tembakang.
Alhamdulillah, puas kami dapat makan ikan air tawar yang segar. Memang enak sekali ikan air tawar yang segar digoreng garing makan pula bersama nasi panas dan ulam kacang kelisa. Bertambah-tambah nasi anak-anak makan.
Berlalu sudah kisah bercuti, minggu ini pelbagai aktiviti juga di rumah sendiri. Mengemas, membasuh, melipat baju dan macam-macam lagi. Selain itu, temujanji dengan rakan niaga dan pelanggan, temujanji di klinik, program menambah ilmu pengetahuan, kelas membaca dan banyak lagi.
Selamat maju jaya semua. Didoakan segala perancangan berjalan lancar. Tinggal beberapa hari kita akan ke bulan Mac pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan