Rabu, 17 Julai 2013

Pupuk Minat Membaca di Kalangan Kanak-kanak


Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Pertama kali bawa anak-anak  ke perpustakaan

Setiap kali saya ke Klinik Ibu dan Anak untuk temujanji bulanan, saya pasti akan terpandang tanda arah ke Perpustakaan Desa yang terletak berhampiran dengan klinik tersebut. Sudah beberapa kali saya merancang ke sana. Namun, atas kekangan masa, saya belum berkesempatan berkunjung ke perpustakaan itu.

Baru-baru ini, secara kebetulan suami ada tugas dan tidak dapat menjemput saya dari klinik. Maka dengan pantas, saya teringat untuk ke perpustakaan desa sementara menunggu suami. Bersama dua orang anak kecil saya, kami melangkah masuk ke perpustakaan tersebut. Inilah pertama kali saya membawa mereka ke perpustakaan. Mereka sungguh gembira , jika boleh diukur tahap kegembiraan mereka itu, saya simpulkan mereka gembira seperti berada di taman permainan. Anak-anak saya bergerak dari satu ke satu rak mencari buku. Saya memerhatikan sahaja gelagat mereka. Akhirnya mereka berjaya memilih sendiri buku untuk mereka 'baca' (mereka belum pandai membaca).

Anak-anak gembira ke perpustakaan
Bermula dari hari itu, jika saya ke klinik, anak pasti mengajak saya ke perpustakaan desa tersebut. Akhirnya kami mendaftar untuk menjadi ahli agar boleh meminjam buku dan boleh dibaca di rumah.

Perlu pupuk minat membaca dari kecil

Penulis Buku ' Ajar Anak Kecil Membaca Awal' ,Puan Nik Eliani Nik Nawi di dalam bukunya berkongsi pengalaman beliau ketika mengandung anak pertama mereka di luar negara.

" Saya ingin berkongsi pengalaman yang menjadi titik tolak kepada semangat saya mengajar anak membaca awal.

   Pada suatu hari ketika mengandung anak pertama, saya menaiki bas ke pusat membeli-belah. Di dalam perjalanan, bas itu berhenti untuk mengambil seorang nenek dan cucunya yang berumur lebih kurang 3 tahun. Mereka baru kembali dari perpustakaan. Anak kecil itu membawa dua tiga buah buku di tangannya dan asyik berbual dengan neneknya mengenai lawatan mereka ke perpustakaan. Saya berfikir, jarang sekali saya melihat seorang nenek membawa cucu ke perpustakaan sepanjang saya membesar di Malaysia. Malah saya berani menyatakan saya tidak pernah melihat seorang nenekmembawa cucu ke perpustakaan daripada tahun 1963 hingga 1981...........Tetapi di negara -negara maju, kita akan dapat melihat budaya membaca di merata tempat, di perhentian tren dan bas, di dalam tren dan bas, tua dan muda asyik membaca sambil menunggu
"


Saya begitu terkesan dengan perkongsian penulis di dalam bukunya. Sememangnya minat membaca perlu dipupuk ketika anak masih kecil dan seawal mungkin, seawal anak dalam kandungan.

Aktiviti membawa anak ke perpustakaan sememangnya sangat digalakkan dan ia salah satu cara untuk memupuk dan menanam minat membaca. Selain dari itu, mewujudkan perpustakaan mini di rumah juga sangat bermanfaat.

Harapan saya, agar lebih ramai ibu bapa membawa anak mereka ke perpustakaan dan mendedahkan mereka kepada pelbagai bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan. Sama-sama kita membudayakan amalan membaca di dalam keluarga. Semoga pada suatu hari nanti rakyat Malaysia juga menjadikan amalan membaca sebagai satu aktiviti utama mereka walau di mana jua mereka berada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...