Rabu, 3 Oktober 2018

Ulangtahun Kelahiran Anak

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Hari ini genap anak yang sulung berumur 11 tahun.

Teringat waktu mahu bersalinkan anak yang sulung ini dahulu. Sewaktu itu kami tinggal di Kota Kinabalu, Sabah. Bersalin anak sulung di perantauan. Alhamdulillah, suami boleh temankan sewaktu bersalin. Bapa hanya dibenarkan menemani ibu bersalin apabila sudah dekat mahu bersalin. Dan syaratnya bapa tersebut telah hadir ke kursus 'Father friendly' yang dianjurkan pihak hopital serta tidak fobia kepada darah.

Anak ini dilahirkan pada bulan Ramadan. Masih teringat suasana sunyi di kawasan bilik bersalin kerana sudah masuk waktu berbuka. Takut juga tinggal sendirian sambil menahan rasa sakit dari kontraksi yang sekejap-sekejap datang. Ada rasa macam nak bersalin. Ada rasa nak buang air kecil.
Akhirnya, saya panggil jururawat datang, takut terbersalin sendiri.  Kelakar pula bila diingatkan kembali. Belum lagi kata jururawat. Bukaan belum cukup. Dipesan lagi supaya jangan teran. Sungguh suspen. Memang satu pengalaman baru ketika itu.

Hanya mampu berdoa dan penyerahan sebulat-bulatnya kepada Allah. Bibir tak lekang mengucap syahadah dan zikir-zikir mana yang teringat.

Allahuakbar, akhirnya setelah beberapa lama merasai sakit kontraksi bersalin, selamatlah anak ini dilahirkan. Alhamdulillah, tiada komplikasi. Bayi terus diletakkan di atas dada. Terasa kebesaran Allah, apabila tanpa perlu diajar, bayi kecil yang baru lahir ini tahu mencari susu ibu. Terkial-kial mahu menghisap susu ibu. Sungguh semulajadi.

MasyaAllah. Maha Besar Allah yang memberi nikmat cahayamata kepada hamba-hamba-Nya. Air mata mengalir, teringat begitulah agaknya susah payah ibu melahirkan aku dahulu. Allahu. Lepas bersalin dan dimasukkan wad, terus telefon mak.

Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah di atas segala nikmat.

Didoakan anak ini terus membesar dengan sihat, menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa serta memberi banyak manfaat kepada manusia lain. Aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...