Khamis, 4 Julai 2013

Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 2

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt ,

Pada entri Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 1 , saya telah berkongsi dengan anda tentang bilakah usia emas anak-anak  dan cadangan amalan-amalan buat ibu mengandung dalam usaha untuk melahirkan anak yang sihat dan cerdas.

Bagaimana pula pendidikan awal bagi anak yang baru dilahirkan?


Setelah anak dilahirkan (0-6 bulan)




: : Setelah anak dilahirkan ke dunia, tiada ungkapan terbaik yang harus dilafazkan selain Alhamdulillah.. Segala Puji Hanya Bagi Allah...yang telah mengizinkan kita mempunyai anak ketika di dunia. Haruslah kita sedar bahawa anak ini bukan sekadar membawa kegembiraan buat kita dan pasangan serta seluruh ahli keluarga bahkan anak tersebut juga amanah untuk kita jaga dengan sebaik-baiknya.

: : Anak yang telah dilahirkan mestilah diberikan dan dipanggil dengan nama yang baik dan elok maknanya.

: : Menyusukan anak dengan susu ibu adalah pilihan yang terbaik. Berikan anak anda susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan. Kemudian perkenalkan dengan makanan yang baik, halal serta berkhasiat. Berusahalah melengkapkan penyusuan susu ibu selama 2 tahun. Pemakanan yang baik dan berkhasiat juga membantu perkembangan minda dan fizikal anak.

: : Berikan kasih sayang dengan mengusap, memeluk dan mencium anak. Kajian menunjukkan usapan dan belaian kepada bayi dapat memberi kesan fizikal, emosi dan kognitif yang positif kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi.

: : Berbual-bual dan berceritalah kepada bayi. Aktiviti berbual dan bercerita kepada bayi boleh dilakukan secara santai ketika menyusukan bayi, memandikan bayi, menukar lampin atau pada bila-bila masa sahaja. Walaupun kelihatan seperti tidak memberi kesan kepada bayi kerana bayi belum pandai memberi respon atau berkata-kata, sebenarnya aktiviti ini membantu mendedahkan anak anda kepada perbendaharaan kata dan kecerdasan bahasanya.

: : Ransang penglihatan dan kordinasi mata anak dengan menggunakan kad imbas atau objek yang berwarna hitam dan putih atau merah. Perhatikan anak matanya bergerak mengikut pergerakan kad atau objek yang digerakkan.

: : Bacakan atau perdengarkan ayat-ayat Al-Quran, zikir dan selawat. Selain itu juga, ibu atau bapa juga boleh membacakan kepada anak cerita pendek ,berima dengan pelbagai intonasi dan suara. Aktiviti-aktiviti begini dapat membantu perkembangan auditori (pendengaran) serta membantu meningkatkan kecerdasan bahasa anak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...