Teks : Faridah Yusof
Bismillah. Anak sulung saya yang kini berusia enam tahun masih belum fasih membaca. Saya agak risau kerana tinggal dua bulan sahaja lagi anak saya akan memasuki persekolahan formal. Saya cuba menggunakan masa yang ada untuk mengajarnya membaca. Saya gunakan kaedah fonik Bacalah Anakku. Saya agak terlewat dalam mengajar anak membaca menggunakan kaedah fonik. Walau bagaimanapun, saya merasa yakin untuk menggunakan kaedah ini kerana ia telah terbukti berkesan semenjak 1996.
Tarik minat anak
Pelbagai cara saya gunakan untuk menarik minat anak yang sangat aktif dan gemar bermain. Salah satu cara menarik minat anak untuk belajar yang saya kira berkesan ialah menyediakan makanan kegemaran mereka. Oleh kerana itu, saya membuat perjanjian dengan anak saya bahawa saya akan buatkan donat selepas belajar membaca. Mendengar sahaja donat, terus ambil buku dan bersedia untuk belajar. Alhamdulillah dapat juga habiskan dua muka surat.
Selain dari menyediakan makanan kegemaran anak, janji untuk bawa ke taman permainan juga sangat berkesan. Pada masa yang lain, apabila saya lihat anak tidak memberi tumpuan pada bunyi fonik yang saya perkenalkan, saya menarik perhatiannya dengan berkata, "Nanti, selepas ayah balik kerja, ayah mahu ke stadium untuk bersenam. Siapa yang belajar hari ini, boleh ikut mama dan ayah juga. Siapa nak ikut jom sebut bunyi...."
Terus sahaja anak jadi minat untuk belajar.
Peringatan
Bagi ibu bapa yang ingin menggunakan strategi seperti di atas, harus diingatkan, setelah berjanji mesti dan wajib ditepati. Ini sangat penting kerana, anak-anak akan menilai janji sebagai motivasi. Jika janji tersebut tidak ditunaikan ia akan membawa kepada kesan-kesan negatif seperti hilang kepercayaan. Apabila janji tidak ditepati, anak akan mula belajar tentang bohong. Harus diingatkan juga anak-anak sentiasa mengambil contoh dari perilaku ibu bapa mereka.
Selain itu, apabila berjanji pastikan janji yang dibuat mudah untuk ditunaikan, bersesuaian dengan kemampuan dan boleh mendatangkan kebaikan kepada anak. Dinasihatkan juga agar para ibu bapa berfikiran kreatif dengan mempelbagaikan cara untuk menarik minat anak. Elakkan dari asyik berbuat janji. Buat ibu bapa yang 'super' sibuk, buatlah catatan berkenaan janji anda bagi mengelakkan dari terlupa agar anak tidak kecewa dan hilang rasa percaya.
Sekiranya janji yang telah dibuat benar-benar tidak dapat dilaksanakan, ibu bapa perlu memberitahu anak kenapa janji tersebut tidak dapat ditunaikan atau gantikan dengan yang setara nilainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan