Sabtu, 17 November 2018

Rombongan ke Ladang Anggur Saloma 2

Teks: Faridah Yusof

InsyaAllah pagi ini kami sekeluarga akan mengikuti lawatan ke Kebun Anggur Saloma 2.

Kebun anggur ini terletak di Lekir, Sitiawan, Perak. Ia diusahakan oleh Puan Siti Saloma.

Lawatan ini pula adalah inisiatif admin group Homeschooling Genius Syurga Perak, Puan Lyana.  InsyaAllah ada sembilan keluarga akan mengikuti lawatan yang julung kali dianjurkan ini oleh HSGS Perak.

Anak-anak sungguh teruja dan setiap hari bertanya tentang lawatan ke kebun anggur ini.

Didoakan lawatan ini berjalan lancar, cuaca yang baik serta mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada anak-anak kami. Aamiin.

Sabtu, 10 November 2018

Seronok Berkongsi Rezeki

Teks: Faridah Yusof

Cuti panjang minggu lalu, ramai kawan, jiran dan pelanggan baru yang datang beli tanah baik.

Alhamdulillah.

Ramai yang mengambil peluang masa cuti ini untuk bercucuk tanam dan mengemas halaman.

Aktiviti bercucuk tanam ini sememangnya aktiviti yang seronok dan jadi terapi bagi sesetengah orang.

Ada yang menjadikannya aktiviti mengisi masa lapang.

Bila ada kesempatan, saya berbual dengan para pelanggan baru tentang tanaman mereka. Ada yang suka tanam bunga. Ada yang minat dengan sayur dan ulam-ulaman.

Ada juga di kalangan pelanggan yang menghadiahkan saya anak pokok. Alhamdulillah. Ada juga yang dapat hadiah anak pokok dari kami. Saling bertukar anak pokok.


Sabtu, 20 Oktober 2018

Luasnya Kasih Sayang-Mu

Teks: Faridah Yusof

Semalam mendapat perkhabaran yang mengejutkan dari kampung halaman yang sangat dirindui. Benar-benar memeranjatkan. Walau bagaimanapun, cuba untuk sepositif mungkin. Fikir dan bawa hati dan memujuk rasa. Ini pasti ada hikmah yang besar dari Allah.

Saya cuba menghubungi adik untuk mendapat maklumat lanjut. Tapi adik membalas nanti dia akan hubungi semula. Masih lagi di dalam menguruskan hal yang berkaitan.

Tidak mengapalah. Saya menunggu dengan sabar dan doa yang khusus untuk mereka. Semoga Allah memberi kemudahan dan bantuan kepada adik-adik di kampung.

Terus menunggu sehingga ke malam. Menunggu dengan debar dan redha pada apa jua berita.

Akhirnya jam 11.00 malam tadi, adik menelefon. Disampaikan berita dan kronologi kejadian dari awal hingga akhir.

MasyaAllah. Benarlah. Dugaan hebat ini datang beserta hikmah. Ya, walau aib namun saya yakin pada kasih dan sayang Allah. Dia turunkan ujian mengikut kemampuan hamba-Nya. Dia beri dugaan tanda ingatan kasih agar kita kembali menginsafi diri. Mencari Dia kembali.

Alhamdulillah. Allah memberi kemudahan kepada adik-adik yang menguruskan. Allah. Luasnya rahmat dan kasih sayang-Mu.

Terus kami mengharapkan ampunan dan ihsan Allah agar kami mengambil iktibar dari kejadian ini. Semoga kami dilindungi dari fitnah dan kejahatan makhluk manusia apabila mereka tidak beriman dan apabila mereka berhasad dengki. Juga mengharapkan kejadian ini benar-benar membawa hijrah buat saudara kami. Ya Allah. Hanya kepada-Mu kami berharap. Tiada daya dan kuasa kami melainkan kuasa-Mu dan hidayah dari-Mu.

Jumaat, 19 Oktober 2018

Refleksi

Teks: Faridah Yusof

Refleksi.

Semasa saya masih berkhidmat sebagai  seorang guru dahulu, saya perlu menulis refleksi bagi setiap kali selepas sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan setiap hari.

Melalui refleksi, saya dapat menilai semula keberkesanan teknik atau kaedah yang digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran. Berapa ramai murid yang dapat mencapai objektif pada sesi kelas pada hari tersebut? Berapa ramai murid yang tidak dapat menguasai pembelajaran dan apa yang perlu saya lakukan untuk membantu murid.

Refleksi begitu saya cuba terapkan dalam menjalani kehidupan seharian. Tercapaikah objektif yang telah saya tetapkan untuk hari tersebut? Berapa banyak perkara yang dapat saya lakukan pada hari tersebut?

Refleksi ini bermanfaat untuk saya menilai diri, sejauh mana saya menggunakan masa seharian. Jika dahulu, serabut kepala dengan macam-macam perkara yang mahu dibuat.

Alhamdulillah. Sekarang dengan mencatat di dalam buku tulis biasa senarai semak perkara yang perlu dilakukan, saya merasakan lebih lega dan tenang. Saya dapat lihat kembali apa yang berjaya saya laksanakan pada hari tersebut  dan apa yang tidak berjaya dilakukan.

Khamis, 18 Oktober 2018

Ajar Anak Membaca di Rumah

Teks: Faridah Yusof

Mahu anak pandai membaca?

Untuk apa anak membaca awal?

Semestinya supaya anak mendapat ilmu yang bermanfaat dengan membaca.

Ibu dan ayah adalah guru yang pertama mengajar anak membaca. Yang lebih kenal potensi, minat dan kecenderungan anak. Lebih mudah untuk 'tackle' anak.

Kaedah fonik Bacalah Anakku antara kaedah yang terbukti berkesan untuk ajar anak membaca.

Pengasas Kaedah Bacalah Anakku, Puan Nik Eliani dan Tuan Othman sangat menggalakkan ibu dan ayah mengajar anak dengan kaedah yang betul. Selain itu ibu dan ayah perlu sabar, tenang dan menjadikan sesi belajar suatu sesi yang menyeronokkan untuk anak. Biar pendek masa belajar tetapi kerap. Setiap hari sebaiknya.

Saya dapati anak yang sudah mahir kaedah fonik Bacalah Anakku tidak rasa takut untuk belajar membaca Bahasa Inggeris pula dengan menggunakan buku Read Easy.

Semasa saya mengajar Bahasa Inggeris di sekolah dulu, bila suruh anak murid baca ayat atau petikan, majoriti takut mahu membaca. Waktu itu saya belum berkenalan dengan kaedah fonik.

Berbeza dengan anak-anak yang sudah belajar Bacalah Anakku, bila jumpa perkataan walaupun tidak tahu itu perkataan Bahasa Inggeris, mereka akan cuba baca dengan menggabungkan bunyi. Tidak rasa takut untuk membaca.

Rabu, 17 Oktober 2018

Bila Anak Demam

Teks: Faridah Yusof

Dari semalam badan dan dahinya terasa hangat. Bila anak demam ini, memang kena kerap pantau panasnya. Mohon dijauhkan dari mudharat panas badan yang terlalu tinggi.

Semalam tidur-tidur ayam. Dengar suara anak berbunyi seperti tidak selesa. Sesekali seperti menangis.

Badan dan dahinya masih panas. Saya basahkan dahi dan ubun-ubunnya dengan minyak but-but. Juga sapu seluruh badan dan kaki.

Beberapa minit selepas itu kurang panasnya. Saya cuba lelapkan mata sekejap. Sangat mengantuk sebenarnya. Saya urut badan dan kakinya supaya dia rasa selesa.

Akhirnya saya terlelap sekejap. Terus periksa anak lagi. Begitulah sehingga sedar-sedar sudah Subuh.

Allahuakbar. Terasa sakit satu badan.

Namun syukur tak terhingga kerana Allah beri peluang lagi hari yang baru untuk memperbaiki diri dan mencari bekalan untuk ke sana. Alhamdulillah.

Khamis, 11 Oktober 2018

Belajar Kaedah Fonik Bacalah Anakku Tidak Membebankan Anak

Teks: Faridah Yusof

Ada beberapa kaedah mengajar anak membaca yang boleh digunakan oleh para ibu dan ayah.

Antara kaedahnya ialah kaedah mengeja. Anak diperkenalkan dengan huruf dari A sehingga Z. Kemudian anak diajar mengeja dengan membatang suku kata. Ada banyak pola suku kata yang perlu anak ingat dan hafal. Ini kaedah yang digunakan di sekolah. Saya juga membesar dengan kaedah ini.

Manakala kaedah fonik Bacalah Anakku, saya dapati ianya lebih mudah. Kaedah ini memerlukan anak belajar bunyi-bunyi dalam petuturan. Dari bunyi yang paling kecil. Bunyi-bunyi diwakili oleh simbol huruf. Dalam masa yang sama, anak diajar untuk menggabungkan bunyi.

Untuk membaca Bahasa Melayu, anak hanya perlu ingat 28 bunyi berbanding menghafal beribu pola suku kata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...