Khamis, 15 Mei 2014

Anak Tidak Mahu Pergi Sekolah & Biskut

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Anak kedua saya yang berusia 5 tahun ( bulan November nanti baru genap 5 tahun) sekarang selalu tidak mahu pergi ke sekolah tadikanya. Biarpun sudah bangun dan mandi, dia tidak mahu pakai baju sekolah. Dia menjerit tak nak, bila saya atau suami memujuk untuk pakai baju sekolah.

Kerap kali kami terpaksa menawarkan ganjaran seperti  makanan kegemaran atau permainan kegemaran atau dibawa ke taman permainan jika dia mahu ke sekolah. Adakalanya tawaran itu diterimanya, cepat sahaja dia bersiap. Namun selalunya lansung tidak menjadi dan dia berkeras tidak mahu ke sekolah. Puas berfikir cara supaya dia rasa seronok mahu ke sekolah.

Jika ikutkan saya, tahun depan sahaja baru masuk tadika semula apabila umurnya masuk 6 tahun. Suami pula berpendapat, teruskan sahaja agar dia boleh belajar bersosial dan berkawan-kawan. Di sekolah, menurut gurunya dia seorang yang pendiam dan mendengar kata, selalu menjadi contoh kepada kawan-kawan. Namun bila di rumah dia seorang yang aktif, tidak duduk diam, suka memanjat, suka mengusik adik dan macam-macam lagi karenahnya. Tapi, bila diajak buat kerja sekolah, dia tidak mahu. Lain yang disuruh, lain yang ditulisnya. Alahai anak.

Ada satu kisah yang saya mahu kongsikan. Semoga boleh menjadi idea buat tuan dan puan jika menghadapi masalah seperti saya.

Pada suatu pagi, anak saya ini, tidak mahu pergi sekolah. Puas saya dan suami menawarkan ganjaran seperti aiskrim, coklat, permainan baru, kek, donut, pergi berenang, pergi jalan-jalan, pergi taman permainan, pergi perpustakaan, namun semuanya tidak berjaya. Tiba-tiba saya teringat mahu bungkuskan biskut untuk kakaknya. Sedang saya membungkus biskut untuk si kakak, terus anak saya ini mahu ke sekolah sambil memegang bekas biskut yang baru dibakar semalam dan berkata "ni nak makan dengan kawan". Terus saja dia mahu bersiap ke sekolah. Alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...