Rabu, 10 Disember 2014

Anak dan Roti

Teks dan foto :Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar semua? Semoga semua sentiasa tenang dan positif menjalani kehidupan.

Apa makanan kegemaran anak anda?

Anak-anak saya sangat menggemari roti. Kalau dengar saya atau suami mahu ke kedai beli barang, mereka pasti memesan untuk dibelikan roti. Jika beli roti sandwich, kami panggil roti potong, yang pek panjang, satu hari sahaja boleh habis dimakan.

Akhirnya, suami beri cadangan buat roti sendiri di rumah. Kebetulan juga sedang musim cuti sekolah. Jadi, boleh beri peluang anak-anak bermain dengan doh untuk mengasah kemahiran motor halus mereka. Alhamdulillah, dapatkan bahan-bahan untuk buat roti seperti tepung berprotein tinggi, telor, yis dan marjerin, terus menguli.

Satu keluarga teruja mahu buat roti. Si manja Darwisy juga mahu turut serta.




Saya guna resepi doh asas roti manis, selepas itu boleh buat macam-macam bentuk roti.

Resepi doh asas roti manis:

1. 5 gm garam
2. 500gm tepung roti (high protein flour)
3. 100 gm gula
4. 20gm susu tepung
5. 6gm bread improver * saya tidak gunakan
6. 50gm marjerin
7.10gm yis kering
8. 2 biji telor
9. 250gm air sejuk + ais
10. 6gm bread softener * saya tidak gunakan

Cara:

Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk adunan mengikut turutan nombor dari 1-10.
Uli sehingga doh elastik dan berkilat.
Uji dengan basahkan jari dengan minyak, ambil sedikit adunan, tarik nipis, doh tidak koyak.
Anggaran masa 20-25 minit mengikut kelajuan mesin pengadun masing-masing.
Sementara itu, minyakkan loyang. Bulatkan doh mengikut citarasa seperti bun, roti pizza,roti bun sarang lebah dan sebagainya. Tunggu doh naik sekali ganda baru taburkan bijan atau bahan-bahan lain.
Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 150 atau 170 darjah celcius selama 20 minit atau sehingga roti masak.





Anak-anak semua mahu membulatkan doh yang sudah siap.

"Nak buat roti, nak buat roti". Masing-masing merengek nak buat roti sendiri.


Saya berikan mereka seorang sedikit doh dan loyang pelapik. Bukan main seronok. Syaratnya dah bakar nanti mesti makan.

Aktiviti ini sesuai untuk tajamkan kemahiran motor halus anak-anak berumur 5-7 tahun. Ia membantu koordinasi tangan/jari dan mata.

Anak-anak dapat bermain dengan doh. Mereka boleh uli, tekan, gelek, picit, golek doh.
Buat bentuk yang digemari. Macam-macam bentuk mereka buat. Siap buat mata, mulut dan hidung roti.



Alhamdulillah, memang mereka seronok dapat bermain doh dan buat roti bun mereka sendiri. Makan pula bersama air teh panas.

Ibu pula perlu senyum dan positif untuk mengendalikan lantai dan baju anak-anak yang dipenuhi cebisan-cebisan doh.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...