Teks: Faridah Yusof
Bismillah.
Anak-anak demam secara bergilir-gilir.
Demam beserta selsema dan batuk. Bunyi batuknya mengokol. Duduk dekat terasa panas badan mereka.
Anak-anak yang sedang demam memang akan meragam. Makan tidak mahu, minum tidak mahu. Bila malam, tidur tidak lena, senang terjaga bila terbatuk.
Ibu juga tidak dapat tidur.
Berikut 5 langkah awal berhadapan dengan anak demam.
1. Pantau suhu badan dan keadaan anak.
Suhu yang tinggi boleh membawa kesan tidak baik kepada perkembangan minda anak kecil. Turunkan suhu panas anak dengan mengelap badan anak dengan tuala lembap dengan perlahan.
Perhatikan perubahan pada badan anak seperti bintik-bintik merah, begkak di leher, bintik putih atau ulser di dalam mulut.
Jika suhu masih tidak turun, bawa ke klinik.
2. Berikan sup dan minum air suam.
Anak-anak memang tidak mahu makan. Namun mereka perlu makan dan minum untuk tenaga. Berikan mereka sup. Untuk tarik minat mereka minum, berikan air suam dalam cawan atau bekas yang comel.
Jika demam disebabkan sakit mulut atau tonsil bengkak, berikan mereka minum menggunakan straw.
Pengalaman anak kecil demam disebabkan oleh sakit di dalam mulut dan tonsil bengkak, dia lansung tidak mahu makan atau menyusu, sehingga saya berikan dia aiskrim vanila kepadanya baru dia mahu menyusu. Itupun, saya berikan susu ibu perahan yang saya sejukkan sebentar di dalam bekas minuman yang comel. Saya juga kerapkan penyusuan bila dia sudah mahu menyusu.
3. Banyakkan pelukan
Ini memang luarbiasa kesannya.
Anak demam yang meragam jadi lebih tenang bila dipeluk.
Anak kedua saya kerap menangis semasa demam terutamanya pada waktu malam.
Namun, bila saya peluk dan pegang tangannya, baru dia tidak lagi menangis.
4. Urutan
Ini juga berkesan untuk memberikan sedikit kelegaan pada anak.
Urut kakinya atau belakangnya dengan lembut dan perlahan.
Terpulang jika mahu menggunakan sedikit minyak bayi.
5. Kata-kata dan doa
Banyakkan berkomunikasi dengan anak.
Banyakkan memberi kata-kata semangat dengan senyuman dan wajah yang ceria.
Ibu dan ayah juga banyakkan berdoa memohon kepadaNya supaya diberikan kesembuhan dan dipertemukan dengan ubat yang sesuai.
Ajarkan juga anak-anak berdoa sendiri kepada Allah supaya mereka tahu sakit dan kesembuhan datang dari Allah.
Ibu juga rasa mahu demam.
Ya Allah berikan kami kesembuhan. Aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan