Teks: Faridah Yusof
Kami pulang ke rumah mertua setiap Ahad.
Kami biasanya dapat melihat kehijauan sawah bendang yang terbentang luas.
Namun, permandangan kami kali ini bukan lagi sawah bendang yang menghijau. Sawah bendang telah dipenuhi air banjir menjadi lautan yang luas di tepi jalan.
Banyak kenderaan dan ramai orang berhenti di tepi jalan seperti ada pesta.
Ada yang merakam gambar, ada yang sedang mengambil peluang memasang jaring, ada yang melihat dan macam-macam lagi.
Banjir di bahagian Perak Tengah sudah meluas ke Hulu Kayan.
Banjir kali ini dikatakan besar dan kesannya juga besar.
Adik dan kakak ipar saya, rumah mereka masing-masing ditenggelami air. Adik ipar menumpang di rumah mertua. Adik-adik ipar yang lain juga sudah beberapa hari tidak bekerja.
Dikhabarkan kepada kami dua kisah kematian, anak kecil berumur 4 tahun yang terlepas dari pegangan tangan semasa merentas arus air banjir dan seorang pemuda 20an yang lemas semasa cuba menangkap ikan.
Adik ipar sendiri menceritakan pengalamannya yang berpindah pada jam 2 pagi ketika air sudah naik ke paras pinggang bersama anak- anak kecilnya menaiki bot bomba dan air yang deras, hanya Allah tempat bergantung. Jika sudah sampai masanya semua perlu redha.
Allahuakbar.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Apa yang saya perhatikan di kawasan di landa banjir, anak-anak kecil pastinya tidak mengerti apa yang berlaku.
Ini peluang yang baik untuk bercerita kepada anak-anak tentang banjir.
Anak saya sendiri saat melihat banjir, dia mahukan banjir di rumah. Katanya boleh main air, boleh berenang.
Setelah melalui satu detik cemas melalui kawasan banjir, barulah dia tidak lagi menyebut mahu banjir.
Namun yang pasti, kejadian bah yang dialami di beberapa negeri di Malaysia seperti di Kelantan, Terenggan, Pahang, Perak, Perlis, Johor dan Sarawak adalah ujian dariNya.
Allah, ampunkan dosa-dosa kami. Terimalah taubat kami. Aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan