Teks dan foto: Faridah Yusof
Sejak kami mengamalkan meminum air beralkali Kangen, di rumah kami ada banyak botol putih. Botol-botol yang sudah kosong saya asingkan dan susun di tepi meja. Seminggu sekali saya akan mengambil stok air di rumah bapa saudara. Saya mahu mendapatkan mesin air Kangen buatan Jepun ini, namun harganya yang mahal iaitu RM 6800 untuk yang kecil atau RM 12000, maka saya perlu membuat bajet dan tabungan dahulu.
Setiap hari, anak yang kedua dan ketiga suka mengangkat botol-botol yang kosong itu. Kadang-kadang geram juga dibuatnya kerana saya baru sahaja susun botol, mereka sepahkan semula. Tetapi hari ini, saya dapat rasakan keseronokan mereka bermain dengan botol-botol putih itu.
Sungguh berbeza apa yang saya lihat pada botol-botol kosong itu dan apa yang anak saya bayangkan.
Saya duduk di tepi mereka sambil menjawab soalan pelanggan. Saya lihat anak saya menggerakkan dua biji botol sambil mengeluarkan bunyi itik.
Tidak lama kemudian, botol-botol itu disusun mengelilinginya sambil dia memarahi Darwisy dan berkata, " Jangan kacau kolam kakak."
Selepas beberapa ketika saya dengar dia menyebut, "Masuk penjara! Masuk penjara! " kepada adiknya. Akhirnya lakonan mereka berkesudahan dengan adiknya menangis.
Macam-macam yang mereka bayangkan dari botol itu. Botol putih boleh menjadi itik, kolam, penjara dan macam-macam lagi.
Hebat imaginasi anak-anak kecil. Apa sahaja bahan boleh jadi bahan mainan yang menyeronokkan buat mereka. Berikan mereka kotak kosong, mereka jadikan rumah.
Berikan mereka riben terpakai boleh jadi ekor. Berilah apa sahaja, asalkan tidak berbahaya. Berilah mereka kebebasan dan keseronokan bermain. Namun, perlu ada pengawasan orang dewasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan