Teks: Faridah Yusof
Bismillah.
Alhamdulillah.
Hati saya berbunga-bunga gembira dapat menghadirkan diri ke Program Baiti Jannati- Siri 2 yang diadakan di Dewan IKM Manjung pada hari Rabu, 16 September 2015 bersamaan 2 Zulhijjah 1436H. Syukur kepadaNya diatas izinNya jua dapat saya mendengar ceramah dari ustazah kesayangan ramai, Ustazah Norhafizah Musa.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada suami yang kebetulan bercuti pada hari tersebut sempena cuti umum Hari Malaysia. Beliaulah yang memberi keizinan, menghantar saya ke IKM dan kemudian menjaga anak-anak di rumah. Saya doakan Allah membalas jasa baiknya di syurga kelak.
Alhamdulillah.
Semasa memulakan sesi ceramah, Ustazah Norhafizah Musa meminta semua hadirin untuk bersama-sama mengungkapkan ALHAMDULILLAH. Kata beliau, ucapkan Alhamdulillah sebab Allah telah memilih kita untuk hadir ke majlis ilmu.
Ustazah kelahiran Jempol, Bahau, Negeri Sembilan yang berusia 40 tahun ini, dikurniakan 8 orang cahaya mata, 4 lelaki dan 4 perempuan. SubhanAllah. Beliau yang mendapat pendidikan di peringkat Sarjana Muda di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Sastera Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Seterusnya beliau menyempurnakan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Sekarang sedang menyempurnakan pengajian di peringkat PHD. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur dan mempunyai kemahiran khusus di dalam Psikoterapi Dakwah & Pembangunan Insan.
Kemudian ustazah ditanya oleh moderator majlis bagaimanakah bentuk didikan yang diterima ustazah sehingga ustazah sampai ke peringkat sekarang.
Ustazah mengucapkan syukur dan terima kasih kepada ibu dan bapa ustazah yang telah memberi didikan kepada beliau.
1. Ditanamkan cinta Al-Quran bukan setakat tahu membaca
Ibu ustazah menanamkan perasaan suka dan cinta kepada Al-Quran bukan setakat tahu membaca. Dari umur 3 tahun, ustazah sudah diperkenalkan kepada Al-Quran tanpa mengira masa dan tempat. Tidak kira pagi, petang atau malam. Tidak kira tempat walaupun di dapur. Di dapurlah tempat ustazah paling takut. Kemudian, ustazah khatam Al-Quran pada penghujung umur 5 tahun. Kemudian masuk Darjah 1(7 tahun), sudah belajar taranum. Maknanya, belajar Al-Quran tidak berhenti. Darjah 5 (11 tahun), ustazah belajar Bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran. Sehingga Ustazah ada menyebut, 'mak ni, sikit-sikit Al Quran". Ustazah yang masih kecil ketika itu, merasa rimas. Namun, menurut ustazah, pada usianya 20 tahun, ustazah merasa syukur di atas asbab ibu dan ayah ustazah buat begitu.
Oleh sebab itu, ustazah berpesan, sekiranya anak-anak menunjukkan rasa kurang senang apabila ibu dan ayah mendidik, usah bimbang. Teruskan mendidik dan insyaAllah lagi 20 tahun, mereka akan bersyukur dan tidak tahu bagaimana nak ucapkan terima kasih kepada ibu dan ayah.
2. Sangat kurang hiburan
Di rumah ustazah hanya ada televisyen yang kecil. Walaupun pada awalnya ayah sudah beli televisyen yang besar. Kemudian ayah ustazah pergi semula ke kedai dan tukar kepada televisyen yang kecil. Bahkan untuk menonton televisyen juga syaratnya 'volume' juga sangat perlahan. Ayah ustazah bimbang, hiburan-hiburan akan melalaikan anak-anak.
Ustazah berpesan, untuk anak-anak yang sedang menuntut ilmu, perlu kurang hiburan. Ilmu bersifat sebagai cahaya. Fikiran dan hati perlu bersih.
3. Penekanan Bahasa Arab
Ayah ustazah, seorang guru Bahasa Arab. Beliau sangat menekankan anak-anak belajar Bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa asas untuk anak-anak pelajari biar apa juga cita-cita atau kerjaya anak-anak.
Pada pendapat Ustazah, bahasa boleh mempengaruhi anak-anak walaupun tiada kajian mendalam tentang pengaruh bahasa terhadap karakter atau perangai seseorang. Sebagai contoh, jika seseorang fasih dalam Bahasa Inggeris, dia bersifat lebih yakin dan berani. Manakala menurut ustazah, Bahasa Arab juga dapat mempengaruhi anak-anak kerana Bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran.
InsyaAllah saya akan kongsikan nanti kisah pengalaman ustazah bersama anak muda dari Malaysia ketika ustazah berada di Jepun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan