Jumaat, 9 September 2016

Kelebihan Mengajar Sendiri Anak Membaca Di Rumah.

Teks: Faridah Yusof

Mengajar anak kecil membaca di rumah ada cabarannya. Namun, ibu atau ayah yang mengajar anak mereka di rumah mempunyai kelebihan tersendiri.

1. Ibu atau ayah lebih mengenali anak.

Ibu atau ayah tentunya lebih memahami corak atau cara belajar anak. Adakah anak jenis aktif, pasif, mudah belajar dari lagu atau video, suka pergerakan dan sebagainya. Dengan mengetahui corak atau cara belajar anak, ibu atau ayah dapat memberikan dorongan atau sokongan yang sewajarnya kepada anak dalam membantu mereka belajar membaca.

2.  Fokus pembelajaran kepada anak sahaja.

Berbanding di sekolah, guru perlu mengajar kepada ramai murid. Manakala di rumah, ibu atau ayah boleh memberi tumpuan dan fokus kepada anak. Pembelajaran juga dapat disesuaikan mengikut keadaan anak pada waktu itu. Sebagai contoh, jika anak kelihatan penat, maka sesi membaca dipendekkan dan boleh disambung semula esok. Sebaliknya, jika anak bersemangat untuk membaca berikan mereka peluang dan sokongan untuk mereka terus membaca. Walau bagaimanapun, pembelajaran yang santai dan bersahaja di rumah dapat dilaksanakan setiap hari dalam tempoh yang singkat tetapi berterusan adalah lebih baik.

3. Memberi contoh yang baik kepada adik beradik yang di bawahnya.

Sekiranya kakak atau abang belajar membaca di rumah, adik di bawah mereka pasti teruja untuk mengikut dan meniru aksi kakak atau abang mereka. Sambil ibu atau ayah mengajar anak membaca, adik yang masih kecil juga memasang telinga dan memerhati. Apabila, tiba usia yang sesuai untuk mereka belajar membaca, mereka selalunya lebih mudah membaca.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...