Teks: Faridah Yusof
Semalam, saya dan sahabat berusrah di atas talian melalui Whatsapp. Tajuk yang dipilih ialah syukur. Subhanallah. Alhamdulillah.
Bermula dengan memahami maksud syukur. Masing-masing memberi pandangan tentang apa yang difahami dari makna syukur. Saya memahami syukur dapat dilafazkan dengan ucapan Alhamdulillah. Sahabat-sahabat lain juga memberi sudut pandang masing-masing.
Banyak ayat Al-Quran yang menyentuh tentang syukur. Tentang sedikit dari kalangan manusia yang bersyukur. Allah, bab ini benar-benar menyentuh di dalam hati. Benarkah kita sudah bersyukur?
Selalunya kita bersyukur apabila dapat perkara yang menggembirakan sahaja. Ini mudah dan ramai mampu melakukannya. Bagaimana pula bila perkara yang tidak menggembirakan kita? Adakah mudah untuk kita melafazkan syukur kepada Allah di atas perkara tersebut. Sukar bukan?
Kami diminta menyenaraikan perkara-perkara yang kita syukuri walau ia sekecil perkara. Setiap hari tulis perkara yang kita bersyukur kepada Allah. Lazimi hingga 21 atau 44 hari. Jadikan ia satu tabiat. InsyaAllah kita melatih diri untuk selalu bersyukur.
Petang itu, sahabat berkongsi dapatan dari radio IKIM tentang syukur.
Orang yang bijak ialah orang yang melihat ke dalam diri, menghitung diri dan kemudian akan beramal untuk kehidupan selepas mati.
Bila kita susah, Allah nak kita belajar syukur atas kesusahan. Bila kita syukur, kita akan belajar redha.
Bila redha, pemikiran lebih jelas untuk merancang perjalanan seterusnya.
Salah satu modus operandi syaitan:-
1) Jauhkan kita dari rasa syukur
2) Dekatkan kita dengan rasa putus harapan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan