Teks: Faridah Yusof
Selepas Maghrib tadi, kami sekeluarga ke Masjid Daerah Manjung. Ada ceramah sempena Maulidurrasul. Seronok dapat dengar secara 'live' ceramah dari Ustaz Zul Ramli.
Di pembukaannya, Ustaz menyebut menghadiri majlis ilmu dapat menjauhi kita dari menzalimi diri sendiri. Majlis ilmu membawa rahmat dan rasa tenang di dalam hati. Pasang niat yang betul untuk hadir ke majlis ilmu.
Ustaz menyambung lagi, adakah kita merasa benar-benar beruntung menjadi umat Nabi Muhammad. Apabila berselawat kepada Nabi apakah kita dapat membayangkan bagaimana berbangganya menjadi umat Nabi Muhammad. Adakah kita benar-benar mengharap untuk bertemu Rasulullah nanti. Soalan-soalan dan kisah yang dibawakan oleh Ustaz menyentuh rasa dalam hati.
Kekuatan cinta, kekuatan dalaman yang mengatasi kekuatan fizikal. Sekuat mana rasa cinta kita kepada Rasulullah. Ada orang tidak peduli pun mahu berselawat kepada Nabi. Ya, di dunia mungkin kita tidak perlu. Tapi kita memerlukan syafaat dari Rasulullah di akhirat nanti. Ustaz berpesan tanamkan rasa cinta dan rindu untuk bertemu Rasulullah di dalam hati ahli keluarga.
Subhanallah. Ada banyak lagi yang Ustaz sampaikan, tapi tidak semua dapat saya dengar kerana memerhatikan anakanda Daniyal yang jalan-jalan di barisan para muslimat yang duduk mendengar ceramah.
Alhamdulillah. Syukur kepadaNya di atas nikmat ilmu pada hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan