Selasa, 10 Januari 2017

Bawa Daniyal Ke Klinik

Teks: Faridah Yusof

Malam tadi, dada anakanda Daniyal berombak laju. Nampak seperti dia bernafas menggunakan otot abdomennya. Teringat saya kepada keadaan yang sama seperti kakaknya 'Aina pada tahun lalu. Aina dirujuk terus ke bahagian kecemasan dari klinik panel kerana doktor bimbang melihat keadaannya. Terus kena tahan di wad tengah malam itu. Ayahnya jadi peneman selama 3 hari. Menurut doktor ada jangkitan kuman di paru-paru.

Teringatkan situasi itu, saya terus minta suami bawakan kami ke klinik pagi ini. Tidak mahu bila keadaan semakin teruk baru mahu ke klinik. Nanti pastinya akan dirujuk ke hospital.

Di klinik ramai orang. Kebanyakannya kanak-kanak dan bayi. Saya bertanya di kaunter sekarang sudah ada berapa pesakit dalam giliran? Ada sepuluh orang.

Di bahagian belakang klinik ada ruangan bermain untuk kanak-kanak. Di situlah anak saya bermain sementara menunggu giliran.  Anak-anak cepat merasa bosan jika menunggu lama. Kemudian suami bawa Darwisy keluar berjalan di luar klinik. Di ruangan kerusi menunggu pula ada rak buku dan ada buku-buku yang boleh dibaca. Saya memang suka ke klinik ini.

Tiba giliran Daniyal sudah hampir jam 12. Menurut doktor, perlu guna nebulizer. Hanya saya dan Daniyal di dalam bilik rawatan. Pada mulanya Daniyal nampak tenang apabila dipakaikan 'mask' dimukanya. Selang beberapa minit dia sudah resah, menolak-nolak 'mask' di hidungnya. Kemudian dia menangis. Puas saya cuba menenangkannya. Berdoa memohon bantuan dari Allah agar urusan dipermudahkan. Daniyal masih menangis.

Tidak lama kemudian, jururawat masuk. Melihat baki cecair untuk' nebulizer'. Masih ada banyak katanya. Dia pakaikan semula 'mask' ke muka Daniyal. Yang lucunya kali ini Daniyal hanya diam sahaja. Tidak bergerak dan akur sahaja. Pandai dia. Dengan mama, dia bukan main lagi menangis. Ada jururawat di tepi, elok sahaja diam. Alhamdulillah, akhirnya selesai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...