Teks: Faridah Yusof
Pagi tadi, selepas tidurkan Daniyal, tiba-tiba teringin mahu makan bubur nasi. Dah lama rasanya tidak masak bubur nasi untuk anak-anak. Maka, dengan kadar segera, saya basuh beras, lebihkan air dan masak di atas dapur. Bubur beras kosong sahaja, tiada rencah apa-apa. Bila beras dah lembut saya tambah sesudu halba. Kemudian saya tambah air dan masak lagi sehingga menjadi bubur.
Untuk lauknya pula, saya sediakan kentang dan terung dipotong dadu dan digoreng dahulu. Kemudian tumis bawang putih, bawang besar dan halia yang dihiris halus sehingga wangi. Masukkan kentang dan terung tadi. Tambah kicap dan sedikit air.
Selesai sahaja masak, Darwisy dan Daniyal sudah mahu makan. Tiga kali menambah bubur dan lauk.
Tengahari tadi, bila kakak berdua balik dari sekolah, saya bagitahu ada bubur nasi. Bukan main suka mereka. Kakak Jiha kata empat kali dia tambah bubur.
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Rasa seronok dapat sediakan masakan yang mudah dan anak-anak gembira menikmatinya. Semoga anak-anak mendapat keberkatan dan diberikan kesihatan yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan