Teks: Faridah Yusof
Hari ini benar-benar dalam sejarah. Sepanjang hidup saya di bumi Allah yang sejahtera dan indah ini, inilah kali ketiga saya masak nasi lemak. Bukan sengaja tidak mahu masak nasi lemak. Bukan tidak teringin mahu hasilkan nasi lemak dengan keringat dan air tangan sendiri untuk santapan suami dan anak-anak. Tapi, bila terkenangkan peristiwa nasi lemak yang dimasak di suatu masa dahulu tidak dapat dinikmati kerana terlalu lembik, hati terus tawar mahu buat nasi lemak. Sedih terkenangkan nasi lemak yang tidak dapat di makan lansung. Nasi tak jadi, sambal tak jadi.
Entah kenapa, hari ini dapat kekuatan untuk masak nasi lemak setelah sekian lama. Semalam, sewaktu temankan suami beli barang di TF Mart, ringan je tangan mencapai dua biji timun jepun. Sudah siap berkira-kira untuk buat nasi lemak dari semalam.
Alhamdulillah, pagi ini setelah siap tugas menyidai baju dan kain di luar, terus sahaja saya sediakan bahan-bahan untuk memasak nasi lemak. Terus saya rebus telur. Sambil itu kupas bawang, ambil beberapa helai daun pandan yang hijau segar disiram hujan yang turun sejak beberapa hari lalu.
Lain sungguh tekad dan semangat hari ini. Tekad untuk memasak nasi lemak walau masih bergetar rasa bimbang nasi tidak menjadi.
Perlahan-lahan saya membasuh dua cawan beras. Kemudian saya masukkan santan dan menambah sedikit air, sesudu kecil halba, daun pandan, halia dan sesudu kecil garam. Kemudian, saya pasangkan suis periuknya. Bismillahi tawakaltu 'alaAllah.
Kemudian, saya sediakan sambalnya pula. Oleh kerana akan makan bersama anak-anak yang tidak tahan pedas, maka saya masak sambal menggunakan lada merah biasa bukan cili kering.
Sambil saya menyediakan sambal, ikan bilis goreng dan juga memotong timun, saya minta pertolongan anak, si 'Aina, untuk mengupas kulit telur rebus yang sudah masak. Macam-macan soalan ditanya berkaitan telur rebus yang sedang dikupas kulitnya. Saya pun jawablah selagi terdaya.
Alhamdulillah, akhirnya masak juga nasi lemak. Lampu yang tadinya menyala di sebelah tulisan 'cooking', kini sudah terpadam. Berdebar-debar rasa sewaktu mahu melihat nasi lemak yang sudah masak. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Rayu saya kepadaNya. Ingin sekali mahu masakkan nasi lemak untuk keluarga.
Alhamdulillah. Saya lihat nasinya elok sahaja. Tidak lembik. Syukur tak terhingga. Senyum lebar hingga ke tepi telinga dan di dalam hati tidak berhenti memujiNya, mengucapkan terima kasih kepadaNya.
Alhamdulillah, paling menggembirakan, anak-anak dan suami menyuap nasi dengan penuh berselera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan