Ahad, 1 Januari 2017

Balik Kampung Berdua Dengan Anak Kecil

Teks: Faridah Yusof

Malam tahun baru, saya pulang ke Melaka. Pulang berdua bersama Daniyal dengan menaiki bas ekspres Transnasional dari Manjung ke Melaka. Bertolak jam 8.15 malam dari Stesyen Bas Manjung.

Sesungguhnya ia satu pengalaman baru. Saya biasa menaiki bas semasa belajar dahulu dari Kuala Lumpur ke Melaka atau Jasin atau Tangkak. Hanya 2 jam dan hanya bawa beg balik kampung. Kali ini bawa beg sandang dan anak berusia 15 bulan.

Pada awalnya risau juga. Macam-macam juga dalam fikiran. Risau Daniyal tidak selesa dan menangis. Pastinya akan menganggu penumpang lain.

Juga risau meninggalkan lagi 3 orang anak dengan suami. Mereka belum pernah kena tinggal dalam tempoh yang lama.

Asalnya, saya tiada perancangan untuk pulang ke kampung. Tapi setelah menelefon adik dan mendapat khabar ibu tidak sihat sejak pulang dari menunaikan umrah, hati rasa tidak tenteram. Saya mahu lihat keadaan ibu dan tekad mahu pulang.

Bukan tidak mahu pulang berkereta sekeluarga. Kereta tidak diservis sebelum perjalanan jauh, jadi tidak mahu ambil risiko. Dapat dibayangkan keadaan sesak di jalanraya apabila orang ramai mengambil peluang bercuti hujung minggu dan sempena Tahun Baru.

Alhamdulillah, suami mengizinkan saya pulang ke kampung. Kami terus ke Hentian Bas Lumut untuk membeli tiket. Saya pilih Transnasional kerana saya biasa menggunakan bas dari syarikat tersebut semasa belajar dahulu. Biasanya pemandu mereka kemas dengan kemeja korporat mereka. Syukur masih ada tiket. Saya beli satu tiket sahaja kerana Daniyal saya dukung. Tiket sehala Lumut-Melaka berharga RM 41.70 termasuk GST.

Oleh kerana ini pertama kali balik kampung menaiki bas bersama anak kecil, saya ajukan beberapa soalan kepada kerani bas di kaunter. Antara soalan, berapa jam perjalanan, berapa kali bas akan berhenti, di mana bas akan berhenti dan sebagainya. Ini memudahkan saya untuk merancang perjalanan saya.

Menurut kerani, perjalanan mengambil masa lebih kurang 7 jam. Bas akan berhenti di Teluk Intan mengambil penumpang, kemudian TBS, singgah di R&R Serdang dan Terminal Bas Seremban.
Dijangka tiba di Melaka Central jam 3 pagi.

Balik dari Hentian Lumut, saya segera berkemas. Isi pakaian saya, Daniyal, lampin kain moden Daniyal, buku catatan, minyak bayi dan botol air. Itu sahaja. Lagi pula, saya balik sekejap sahaja. Sabtu malam bertolak ke Melaka, Isnin pagi bertolak balik Manjung.

Jiha dan Aina asyik bertanya, kenapa mereka tidak boleh ikut? Sedih dan sebak juga rasa. Bukan tidak mahu bawa, ini perjalanan yang tidak dirancang. Saya hanya mampu berdoa yang baik-baik kepada Allah, agar Dia memberi kemudahan dan kelancaran sepanjang perjalanan dan semasa ketiadaan saya di rumah.

Jam 7.45 malam, selepas suami dan anak solat, kami terus keluar. Singgah di Masjid Daerah yang berhampiran dengan stesyen bas untuk solat Jamak dan Qasar. Usai solat, terus segera ke stesyen bas dan ke kaunter Transnasional di situ. Kerani di Hentian Lumut minta saya memaklumkan di kaunter akan naik bas dari Manjung.

Alhamdulillah. Anak-anak yang tinggal tiada yang menangis. Selepas bersalaman, saya terus naik bas. Bas tidak penuh. Masih ada beberapa kerusi kosong. Sebelah saya juga kosong. Saya berdoa sungguh-sungguh supaya orang yang duduk di kerusi sebelah saya perempuan sahaja. Alhamdulillah, sampai ke Melaka kerusi sebelah saya kosong, jadi dapat menyusukan Daniyal dengan selesa.

Bermacam-macam situasi dapat disaksikan sepanjang perjalanan. Nanti saya kongsikan ceritanya di catatan seterusnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...