Teks: Faridah Yusof
Alhamdulillah, naik bas saya terus cari kerusi mengikut nombor yang tertera di tiket. Saya pilih untuk duduk di tepi tingkap. Terintai-intai juga jika suami dan anak-anak masih ada.
Dapat lihat permandangan di luar bas. Semasa bas mula bergerak, bukan Daniyal sahaja nampak teruja, ibunya juga. Bertahun-tahun lama tidak naik bas. Seronok dapat lihat suasana luas dari atas bas. Yang tidak seronoknya, dapat lihat satu bahagian sahaja. Duduk di sebelah kanan, jadi dapat lihat sebelah kanan sahaja.
Dari Manjung, bas singgah mengambil penumpang di Teluk Intan. Di Teluk Intan beberapa orang penumpang naik. Di kerusi depan kami dua orang gadis berbangsa Cina. Sesekali mereka mengusik Daniyal yang berdiri tidak mahu duduk. Daniyal pula berdiri sambil mukanya diletakkan di antara kerusi di hadapan. Sempat saya lihat salah seorang gadis mengambil gambar selfie dengan Daniyal.
Bas bergerak keluar ke Lebuhraya menghala Kuala Lumpur. Tak pasti lalu Tol Slim River atau Sungkai. Bas bergerak pada kelajuan sederhana. Daniyal masih belum tidur walaupun jam menunjukkan jam 10.00 malam. Suasana di dalam bas tenang sahaja. Pandang tempat duduk berdekatan, semua orang sedang tidur.
Saya susukan Daniyal, akhirnya dia tidur. Saya juga terlelap sekejap. Sedar-sedar dengar suara pemandu bas berkata, ada 'road block'. Ya, saya terus menjenguk di tingkap. Hairan melihat di tol kereta berderet panjang. Barisan kereta di lorong Smart Tag dan Touch n Go tidak bergerak. Apa lagi di barisan bayaran tunai. Memang lama juga. Rupanya benarlah seperti kata pemandu ada sekatan jalanraya. Lorong yang banyak, cuma satu lorong sahaja yang dibuka. Bas juga ditahan.
Selepas melalui sekatan jalanraya, bas terus bergerak ke TBS. Pertama kali saya lihat dan singgah di TBS. Kemudian bas terus bergerak ke lebuh raya untuk meneruskan perjalanan menghala ke Seremban. Di jalan raya kereta masih banyak walaupun jam menghampiri 12 tengah malam. Daniyal masih tidur di dalam pelukan.
Saya perhatikan di tepi jalan raya di ibu kota, banyak kereta berhenti di bahu jalan. Hairan juga. Ada kemalangan kah? Rupanya kereta-kereta diberhentikan untuk menyaksikan bunga api sempena tahun baru 2017. Yang paling saya terkejut, kereta-kereta di atas lebuh raya dari arah bertentangan kami berhenti di tengah jalan beramai-ramai. Dalam masa yang sama saya dapat dengar bunyi dentuman yang kuat seperti bom yang meletup dan nampak percikan bunga api yang besar. Itulah pertama kali saya lihat sambutan Tahun Baru secara lansung.
Entah kenapa, saya lansung tidak teruja melihatnya. Biasa -biasa sahaja. Saya mengantuk sebenarnya.
Dan saya terus tidur. Tidur-tidur ayam sahaja.
Kemudian saya sedar lagi apabila,bas berhenti beberapa tempat iaitu di Hentian R & R Serdang dan di Terminal Seremban. Akhirnya kami selamat tiba di Melaka. Syukur, alhamdulillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan