Teks: Faridah Yusof
Ibu bekerja atau berbisnes dari rumah sudah semestinya banyak menggunakan laptop atau komputer dan telefon di rumah. Anak-anak kecil yang melihat ibu bekerja pasti tertanya-tanya, apa yang dilihat ibu di tapak tangannya itu atau apa yang di tekan-tekan di atas meja. Mereka juga mahu mencuba.
Pantang sahaja telefon tersalah letak, anak mesti akan ambil dan meniru aksi yang biasa dilihat.
Secara peribadi saya tidak menggalakkan anak mengambil telefon saya. Bagi yang sudah bersekolah, mereka memang tidak mengambil telefon saya. Sesekali sahaja saya beri mereka peluang menonton video kartun di You Tube atau bermain game 'bricks' sebagai hadiah kerana menyelesaikan tugasan dengan baik. Itupun ada had masa. Mereka akur.
Namun bagi anak ketiga yang berusia tiga tahun, hal ini lebih mencabar. Pantang tersalah letak, telefon sudah berada di tangannya. Mahu mendapatkan semula telefon bukan mudah. Bermacam-macam cara dicuba. Namun kesimpulannya, cara yang lembut dan berhemah lebih baik.
Pada peringkat awalnya, saya berulangkali ucap, telefon itu untuk mama buat kerja dan minta dengan lembut. Mahu dia faham dan mengerti ibunya buat kerja. Adakalanya berkesan, bila dia nampak telefon saya, dia segera ambil dan hulurkan kepada saya. Adakalanya juga, bila dia nampak telefon saya, dia bawa lari menyorok tepi sofa dan buka kartun di You Tube.
Cara lain saya matikan suis untuk WIFI supaya dia tidak dapat menggunakan internet. Bila tidak dapat capaian internet, maka telefon itu diletakkan sahaja.
Adakalanya penuh drama. Selalunya, saya menggunakan telefon lain menghubungi telefon di tangannya dan ada orang telefon mama tu. Cepat-cepat dia berikan pada saya.
Ada juga masanya, saya mengalihkan perhatiannya dengan mengajak anak memberi makan kepada kucing atau ikan atau siram pokok. Itu lebih menarik minatnya berbanding telefon. Ini selalunya berjaya. Namun risikonya, perlu menangguhkan kerja seperti menjawab soalan pelanggan atau prospek di Whatsapp atau 'inbox'.
Seboleh mungkin, saya meminimakan penggunaan telefon di hadapan anak kecil. Lebihkan komunikasi dan aktiviti dengan anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan