Teks: Faridah Yusof
Anak-anak yang sudah bersekolah, bila saya bagitahu sahaja mahu ke perpustakaan, punyalah seronok. Mana tidak seronoknya, ada banyak buku dan ada aktiviti kraf yang menyeronokkan kata mereka. Boleh dikatakan setiap minggu ada aktiviti yang telah disusun untuk kanak-kanak. Tambah seronok, selalunya anak-anak dapat buah tangan sumbangan pihak perpustakaan kepada kanak-kanak yang menyertai aktiviti.
Sekarang sudah boleh pinjam tiga buah buku berbanding sebelum ini dua buah buku. Bertambah gembira kami. Kami pinjam dua belas buah buku untuk tempoh dua minggu. Enam buku untuk dewasa, enam buku untuk anak-anak. Buku-buku di perpustakaan juga sudah semakin banyak dan meriah.
Bagi Darwisy dan Daniyal, mereka suka berlari-lari dalam Perpustakaan Desa tersebut. Ada banyak hiasan dari kraf yang digantung di dalam perpustakaan dan di rak-rak yang menarik perhatian mereka. Antaranya rama-rama, bintang, semut, pelangi, awan dan banyak lagi. Sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah objek, Darwisy menyebut berulang kali nama objek tersebut seperti bintang , semut.
Biasanya jika ada aktiviti di perpustakaan, saya akan tinggalkan Jiha dan Aina sahaja di perpustakaan. Beri masa kepada mereka untuk berdikari dan bersosial dengan kanak-kanak lain. Terutamanya kepada 'Aina supaya dia lebih yakin untuk bergaul dengan kanak-kanak sebayanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan