Teks: Faridah Yusof
Semalam banyak urusan di luar. Ke klinik untuk temujanji kemudian kami singgah sekejap di bank.
Saya dan anak-anak tidak ikut masuk ke bank. Hanya tunggu di luar.
Semasa menunggu, terpandang seorang wanita yang agak berumur duduk di luar pintu bank tidak jauh dari kami. Penat agaknya, di situ tiada kerusi jadi dia duduk di lantai sahaja. Kasihan pula melihatnya.
Sambil menunggu suami, saya memandang sekeliling. Ramai juga orang ketika itu. Waktu makan tengahari. Cuaca juga agak panas.
Entah kenapa, rasa sayu. Saya melihat beberapa orang lelaki, di hujung kiri, di hujung kanan di luar bank masing-masing menyedut asap rokok.
Tiba-tiba, terpandang pula makcik yang duduk dekat pintu bank itu, diam-diam juga sedang menghisap rokok. Ini lagi memeranjatkan.
Ingatkan saya sahaja yang nampak. Sekali, anak juga terlihat perkara yang sama.
Benarlah seperti yang terdengar di dalam radio baru-baru ini. Kata ahli panel dalam perbincangan tentang isu rokok pada hari itu, secara tidak lansung kita semua juga perokok dan boleh menerima kesan dari asap rokok. Paling kasihan ialah kanak-kanak, wanita mengandung dan mereka yang mengalami masalah paru-paru.
Saya hanya mampu berdoa kepada Allah. Semoga zuriat keturunan kami tiada yang merokok. Semoga para perokok dikurniakan hidayah dan kekuatan untuk berhenti merokok. Aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan