Teks: Faridah Yusof
Kenapa para suri di rumah perlu ada 'me time'?
Ya, suri perlu ada 'me time'nya.
Saya pernah melalui fasa tekanan yang begitu menyakitkan. Terasa sayu bila teringatkan keadaan saya dahulu. Syukur alhamdulillah. Segala puji-pujian selayaknya hanya untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia telah menyelamatkan saya dari melakukan perkara yang keji.
Dengan anak ramai yang agak rapat, masalah kewangan, rasa bersendirian dan tertekan, si ibu yang lemah emosi pasti mahu segera keluar dari masalah. Jika menurut rasa hati, mahu lari dari rumah, mahu terjun dari kereta atau mahu tamatkan riwayat di dunia. Tinggallah segala masalah. Sedangkan masalah yang lebih besar sebenarnya menanti iaitu kehidupan yang hina di akhirat. Malah itulah kehidupan yang kekal. Na'uzubillahiminzalik.
Tetapi sewaktu emosi tidak tenteram dan jiwa yang sungguh kacau. Kewarasan fikiran tidak ada untuk memandu ibu melihat hakikat yang dilalui. Mungkin doa insan lain seperti doa ibubapa, doa suami atau doa sahabat atau mungkin doa anak yang Allah sambut sebagai asbab hidayah dari Allah supaya ibu insaf dan sedar.
Alhamdulillah, dengan petunjuk, hidayah dan kasih sayang Allah, sekarang saya dapat melihat hikmah-hikmah kesusahan dan penderitaan yang saya lalui sebelum ini. Syukur, Allah memberi saya kesedaran. Saya tidak mengikut rasa hati yang sakit dan menderita.
Timbul rasa simpati dan empati bila membaca kisah ibu yang tertekan dan cuba untuk terjun dari jambatan bersama anak-anaknya. Saya menangis di dalam hati. Sungguh pedih di hati seperti melihat diri sendiri. Hanya mampu berdoa kepada Allah agar wanita tersebut diberikan hidayah dan kekuatan jiwa oleh Allah. Saya yakin, pasti ada hikmah-Nya.
Apabila ibu merasa seperti tertekan, cepat naik angin dan marah-marah kepada orang sekeliling terutama suami dan anak-anak, rasa penat, lemah dan tiada semangat, maka segeralah cari jalan untuk menghilangkan tekanan. Usahakan untuk 'me time'.
Pertama sekali, berdoa dan mengadu kepada Allah. Dia yang tidak tidur dan Maha Mendengar sentiasa ada untuk kita. Rayulah kepada-Nya dengan rendah hati dan akuilah kelemahan diri. Terus dan terus berdoa.
Cari dan berkongsi dengan sahabat yang amanah yang sedia membantu. Ini juga perlu minta dari Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan