Teks: FaridahYusof
Ibu atau suri di rumah seharian bersama anak-anak. Pelbagai karenah anak dilalui dari awal pagi sehingga malam. Ada masanya, waktu malam juga perlu bangun dan berjaga untuk memantau anak yang kurang sihat. Ibu selalu mendahulukan keperluan anak-anak sehingga ada masanya keperluan dan diri ibu sendiri terabai.
Tugas ibu yang banyak dan tidak habis-habis memang memenatkan. Itu belum lagi termasuk tugas sampingan ibu menjana pendapatan dari rumah. Tidak kurang hebat stress dan tekanannya. Jika ibu tidak mengawal dan mengurus rasa dan fikiran dengan baik, ia boleh membawa kepada situasi yang kurang baik kepada diri dan emosi ibu.Seterusnya akan memberi kesan kepada anak-anak dan keluarga.
Lebih memeritkan dan mencengkam jiwa, apabila ibu juga menanggung derita emosi dari suami yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan.
Ada ibu yang merasakan diri tidak berguna dan tidak hebat seperti rakan-rakan mereka yang lain. Ibu merasa rendah dan kurang keyakinan pada diri apabila tidak dapat buat banyak perkara melainkan mengurus rumah dan anak-anak sahaja.
Maka ibu perlu mempunyai 'me time'.
Apakah itu 'me time'?
'Me time' merujuk kepada masa yang digunakan untuk diri sendiri, berhenti sebentar dari tugasan yang rutin dan biasa dilakukan setiap hari. Bagi seorang ibu, 'me time' dapat dinikmati apabila anak tidur atau selepas suami berehat sebentar setelah pulang dari bekerja atau pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.
'Me time' ini penting bagi seorang ibu. Ia dapat membantu ibu meredakan tekanan sekali gus dapat memulihkan semangat dan emosi ibu setelah penat mengurus rumahtangga.
Setelah ibu dapat meredakan tekanan dan kepenatan, ibu akan kembali ceria, bersemangat bahkan menjadi kreatif dalam menguruskan rumahtangga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan