Selasa, 18 September 2018

Mama, Jom Buat Biskut.

Teks: Faridah Yusof

Kasihan dengan anak-anak. Berulang kali meminta dan mengajak mamanya buat biskut. Mama sibuk yang teramat.

Ya Allah. Hanya Engkau Yang Mengetahui. Dalam hati berdoa dan mengharapkan kesempatan masa untuk buat aktiviti bersama anak. Bahan-bahannya ada, tinggal mahu buat sahaja.

Akhirnya, setelah selesai beberapa tugas yang penting, kami pun memulakan projek membuat biskut.

Bila mereka benar-benar mahukan, senang sahaja tugas. Beritahu sahaja apa yang perlu dibuat, anak-anak semua menurut perintah.

Kak Aina dan Kak Jiha, "Keluarkan tepung-tepung, telur, minyak, gula merah, cip coklat, badam hiris, kemudian ambil bekas dulang untuk bakar biskut. Dan bekas serta sudip untuk gaulkan bahan".

Si adik lelaki berdua sudah menunggu di depan meja untuk sama-sama buat biskut.

Telur sudah dibasuh oleh Kak 'Aina.

Ok, jom kita buat biskut.

Minyak dan gula merah dikacau sebati. Kakak dan adik bergilir-gilir mahu menggaul adunan. Si adik pun mahu juga. Baiklah, kita tambah giliran.

Ok, bila sudah larut gula, masukkan telur.

Masukkan pula tepung ubi, beras, jagung. Tepung dimasukkan sedikit-sedikit sehingga menjadi doh.

Sekarang taburkan badam dan cip coklat.

Ok, sekarang, sapukan dulang dengan sedikit minyak, semua boleh bulat-bulatkan adunan menjadi bebola yang sama besar. Si kakak berdua sudah mahir. Si adik lelaki berdua, masih belajar membentuk bola. Inilah 'part' yang paling mereka suka. Macam main plastisin.

Sambil itu, mama panaskan oven mengikut suhu yang sesuai.

Setelah bersusun bebola di atas dulang pembakar, minta kak Aina ambil garfu. Berebut mahu menekan corak garpu di atas bebola biskut. Bila ditekan, bebola menjadi bentuk leper dan corak bergaris-garis di atasnya.

Adik tertekan lebih, maka penyek habislah bebola doh. Tidak mengapa, kita bulatkan semula.

Siap sedia untuk dibakar. Sementara itu, waktu solat pun masuk. Kita solat dulu.

Alhamdulillah. Bau sudah semerbak satu rumah.

Anak-anak menjadi semakin teruja dan tidak sabar-sabar mahu makan.

'Ting'..bunyi dari oven menunjukkan tamat masa membakar yang telah diset terlebih dahulu. Masing-masing menjerit kegembiraan. Biskut dah masak!

Hehehehe, sekali bila mama 'check' belum betul-betul masak. Kena tambah lima minit lagi.
Kasihan melihat wajah kecewa. Sabarlah anak-anak.

'Ting' kali kedua. InsyaAllah kali ini sudah masak biskutnya. Alhamdulillah. Semua menuggu di tepi oven. Panas ni, jauh sedikit.

Agak sudah suam sedikit, semua pakat serbu. Licin sekelip mata.

Alhamdulillah. Ucap terima kasih pada Allah sebab Dia bagi kita buat biskut.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...