Isnin, 17 September 2018

Isteri Yang Diuji

Teks: Faridah Yusof

Hati isteri mana yang tidak kecewa apabila suami masih tidak berubah perangai. Masih tidak mengurus kewangan dengan baik. Hutang buat tidak tahu. Walau sudah mengambil kaunseling di pejabat agama. Bahkan menyusahkan isteri dan anak dengan sikapnya yang sambil lewa, asyik makan dan tidur sahaja pada hari cuti. Sehingga gas di rumah dah habis pun, boleh pula nak pinjam duit isteri.

Geram pula saya bila mendengar cerita ini. Saya sendiri tidak dapat membantu untuk bagi pendapat. Hanya mampu membiarkan si isteri meluahkan rasa hatinya. Semoga lega sedikit tekanan perasaan yang ditanggungnya. Syukur, dia seorang yang positif. Bila dirudung ujian, hanya doa, Al-Quran dan zikir jadi peneman. Cuma dia berfikir, apa lagi yang perlu dia buat. Tidak mahu hanya duduk dan sabar sahaja. Apa yang boleh dia usahakan?

Saya bertanya pendapat seorang sahabat yang saya percayai. Apa yang patut wanita yang diuji ini dibantu.

Alhamdulillah, sahabat saya yang doktor ini sungguh bijak dan berpengalaman.

Mudah sahaja sahabat saya meneka situasi si isteri ini walau saya belum bercerita sepenuhnya perihal masalah suami dan isteri ini.

Dari hasil perbincangan, wanita kebanyakan dari awal mula berkahwin selalu memanjakan suami. Semua kerja di rumah dibuatnya seorang diri. Belum ada anak tidak apa, bila anak sudah ramai, diri sendiri yang terasa penat. Bila suami tidak ambil peduli hal rumah atau tentang pendidikan anak-anak, itu lebih menyakitkan hati.

Begitu juga bila suami tidak cukup duit, cepat sahaja menghulur duit. Membantu tidak salah, malah sangat bagus. Tetapi jangan dibiasakan. Sampai suatu peringkat suami tidak kuat berusaha, dia tahu isteri pasti membantu menghulur duit atau barang kemas untuk dirahnukan.

Jadi, solusi yang dicadangkan ialah isteri jangan berleter atau membebel lagi. Diam dan buat seperti biasa. Memang sakit di dalam hati. Teruslah berdoa, berzikir dan bermunajat memohon bantuan dan kemudahan dari Allah. Yang isteri perlu lakukan, bila sudah sejuk keadaan, tanyakan masalah dan ambil berat tentang suami. Dengarkan masalahnya. Memang suami ada egonya. Tetapi isteri jangan mencari salah, menyalahkan atau menambah masalah si suami. Dengar sahaja. Menjadi isteri yang diuji begini memang perlu extra sabar. InsyaAllah, Allah bersama-sama orang yang bersabar.

Sesekali, luahkan rasa kebimbangan dan biar suami pula yang berfikir mencari jalan. Kata doktor sahabat saya ini, suami si isteri ini pasti ada banyak lagi sudut baik, sebab jarang suami mahu mendapatkan kaunseling di pejabat agama. Carilah titik-titik kebaikan si suami. Bantu suami dengan terus berdoa memohon petunjuk dan hidayah dari Allah.

Sahabat saya ini turut berkongsi ada rakannya yang lebih teruk di uji. Si suami berzina berulang kali. Berzina, bertaubat. Berzina lagi. Allahuakbar. Si isteri masih mampu bersabar dan bertahan. Katanya, mungkin ujian ini untuk dia lebih dekat dengan Allah.

MasyaAllah, saya pula dapat pengajaran dari masalah orang lain. Turut belajar dan mengambil iktibar.

Untuk semua suri dan isteri di luar. Yakinlah Allah sentiasa melihat, mendengar. Yakinlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...