Jumaat, 21 September 2018

Minum Air Gula

Teks: Faridah Yusof

Hari ini ada temujanji untuk ujian MGGT atau biasanya  kita panggil minum air gula. Saya buat buku pink di klinik panel suami, jadi ujian MGGT dijalankan di Path Lab.

Dari mengandung anak sulung memang kena minum air gula sebab saya termasuk kategori berisiko untuk mendapat diabetes semasa mengandung. Anak ketiga memang saya ada diabetes. Alhamdulillah, diabetes yang terkawal. Tidak perlu makan ubat atau cucuk insulin. Memang kena jaga pemakanan. Alhamdulillah, mengandung anak keempat tiada risiko diabetes. Semoga kandungan kali yang keenam ini juga saya tiada risiko diabetes. Aamiin.

Sebelum menjalani ujian MGGT, kena berpuasa dari malamnya. Maka, pagi ini memang tidak ambil sebarang sarapan. Cuma sediakan sarapan anak-anak. Tengok sahajalah mereka makan tadi.

Kami ke Path Lab sekitar jam 9.30 pagi sebab suami ada program di tempat kerja. Alhamdulillah, tidak ramai orang, maka cepat sahaja urusan. Dilayan mesra oleh dua orang staff Path Lab berbangsa Cina yang ramah dan murah dengan senyuman. Salah seorang staff memberi penerangan ringkas untuk prosedur. Saya mengangguk faham kerana sudah melaluinya beberapa kali sebelum ini.

Memang mencabar bila kena minum satu mug air gula yang bukan main lagi manisnya.

Sebelum minum air, baca Bismillah dan berdoa semoga ujian dapat dijalankan dengan lancar. Tak mahu kena ulang ujian jika termuntah selepas minum. Yakinkan diri, insyaAllah boleh lalui ujian ini dengan baik.

Staff sudah sediakan air gula di dalam mug putih yang bersih. Suam sahaja airnya.

Minum dengan tenang, tarik nafas dan minum. Fokus untuk selesaikan ujian. Jangan fikir manisnya air ni. Dalam hati, berdoa agar Allah beri kemudahan untuk menjalani ujian ini. Self talk dalam hati, you can do it, mama.

Semasa ujian tu anak dan suami ada berhampiran. Saya minum, tengok mereka, saya senyum. saja tak nak fokus kepada air. Saya minum tengok staff, saya beri senyuman lagi. Kemudian saya minum dan habiskan.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Selesai minum air gula.  Lega rasa. Selepas satu jam, kena datang semula untuk ambil sample darah lagi. Sepanjang itu, saya hanya boleh minum air putih sahaja.

Selepas satu jam, datang lagi ke Path Lab dan ambil sample darah dan urin. Kali ini kami tidak balik rumah, singgah ke Kedai Eco yang berhampiran dengan Path Lab. Suami terpaksa ke tempat kerja semula. Maka tinggal saya dan tiga lagi anak.

Alhamdulillah, selepas satu jam, pergi semula ke Path Lab untuk ambil sample darah dan urin lagi.
Selesai.

Saya dan anak tidak menunggu di ruang menunggu di situ. Kami menunggu di tempat menunggu bus yang berhampiran dengan Path Lab. Sempatlah menjamah beberapa keping biskut setelah berpuasa dari malam tadi.

Sambil menunggu suami datang, saya membawa anak melihat sekeliling. Lihat bas, kereta, motor. Di tepi tempat menunggu bas itu ada dua batang pokok bunga raya berwarna merah yang rimbun dan banyak bunga yang sedang berkembang. Tiba-tiba nampak seekor burung kelicap sedang terbang dari satu bunga ke satu bunga. Alhamdulillah, leka sekejap mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...